Monday, March 24, 2014

Oleh-oleh wajib Bumi Kenyalang




'TIGA ekor RM10...tiga ekor RM10...tiga ekor RM10. Begitulah sapaan mesra para peniaga ikan terubuk masin setiap kali pengunjung menjejakkan kaki ke Medan Niaga Satok, Kuching, Sarawak.
Taktik 'jeritan' mesra yang memancing pelanggan berkunjung ke gerai masing-masing itu bagaikan sudah sebati dengan kehidupan peniaga ikan terubuk masin di situ.
Suasana hingar-bingar dengan jerit-pekik suara peniaga yang menjaja 'ikan pelancongan' tersebut di selang-seli dengan suara tawar-menawar antara pembeli dan peniaga.
Menjelang pukul 2 petang, setiap Ahad iaitu sebelum operasi pasar minggu tamat, para peniaga akan saling 'berlawan' menjual ikan terubuk masin masing-masing.
Kadangkala, harga 'runtuh' yang ditawarkan amat rendah dan kedengaran tidak munasabah jika pembeli benar-benar mahu membeli ikan terubuk masin dalam kuantiti yang banyak.
Medan niaga yang terletak di Kubah Ria, Satok yang beroperasi pada 1 Januari 2013 namun ia telah dianggap 'syurga' bagi mendapatkan ikan terubuk masin.
Jumlah pengunjung ke Medan Niaga Satok juga semakin bertambah setiap kali hujung minggu dan musim cuti sekolah.
Malah, tidak lengkap kunjungan pelancong ke Bumi Kenyalang jika tidak membawa pulang oleh-oleh ikan terubuk, terutama terubuk masin dan telur terubuk masin dari Medan Niaga Satok.
Buah tangan
Kepada seorang pembeli, Jamaluddin Ismail, 52, sebaik beliau menjejakkan kaki di Sarawak, perkara utama yang mucul dalam fikirannya ialah mencari ikan terubuk masin untuk dijadikan oleh-oleh selain menikmati sendiri keenakan isinya yang lemak manis.
Dia yang berasal dari Batu Pahat, Johor berkata, kunjungan pertamanya bersama keluarga ke Kuching, Sarawak tidak sah jika tidak berkunjung ke Medan Niaga Satok untuk mendapatkan ikan terubuk masin.

PELANCONG dari Semenanjung akan singgah ke Medan Niaga Satok untuk membeli ikan terubuk masin sebagai oleh-oleh dibawa pulang.


"Peluang berada di Sarawak kali ini tidak akan dilepaskan untuk membeli buah tangan wajib itu lebih-lebih lagi sekarang adalah musim ikan terubuk asli Sarawak.
"Saya membeli ikan terubuk masin untuk simpanan sendiri. Selain itu, saya juga ada membungkus lima kotak lain untuk dijadikan hadiah kepada saudara-mara dan jiran-jiran.
"Saya sangat suka ikan terubuk bakar begitu juga ikan terubuk masin. Kali ini, saya dan keluarga berpeluang untuk membeli sendiri di tempat asal ikan terubuk tersebut," katanya ketika ditemui Kosmo! di Medan Niaga Satok baru-baru ini.
Jamaluddin memberitahu, dia juga sangat kagum apabila dapat melihat sendiri cara-cara ikan terubuk masin diproses oleh para pekerja di Medan Niaga Satok.
Katanya, harga ikan masin di situ berpatutan dan tidak membebankan para pembeli terutama buat pengunjung dari Semenanjung.
Bagi seorang pembeli tempatan, Mohd. Azriq Zaini, 24, ikan terubuk masin seolah-olah menjadi menu wajib bagi dirinya dan keluarga setiap hari.
Terubuk bertelur
"Ikan terubuk masin segar sangat sesuai dimasak lemak, asam pedas atau digoreng. Bagi ikan terubuk masin kering pula, kebiasaannya ia digemari oleh golongan warga emas dan ia sesuai dibuat masak lemak serta digoreng.
"Malah, sebut sahaja ikan terubuk masin, pasti ramai yang terliur dengan keenakannya, apa lagi kalau dapat menikmati ikan terubuk bertelur," katanya.
Seorang peniaga ikan terubuk masin, Suhaimi Ahmad, 31, yang telah 15 tahun terbabit dengan industri ikan terubuk masin memberitahu, Jabatan Perikanan Sarawak (JPS) sentiasa memantau para nelayan menangkap spesies ikan berkenaan yang hanya membiak mengikut musim.

MEDAN Niaga Satok menjadi lokasi utama menjual ikan masin terubuk di Sarawak.


Bermusim
Jelasnya, penangkapan ikan terubuk bukan pada musimnya akan didakwa kerana untuk mengelakkan ikan spesies itu pupus.
"Musim bertelur di Sungai Lupar, Sri Aman agak singkat manakala di Sungai Lassa, Mukah lebih panjang iaitu di antara bulan Mac hingga November. Ikan ini juga terdapat di Batang Sadong di Samarahan dan Batang Saribas di Betong.
"Bagi menampung permintaan ikan terubuk masin yang tinggi, para penjual terpaksa mendapatkan bekalan terubuk import dari Thailand, India dan Myanmar.
"Sebab itu, terdapat dua jenis terubuk di Sarawak iaitu ikan yang diimport dan ikan tempatan," katanya yang berniaga ikan terubuk masin sejak berusia 16 tahun.
Suhaimi menceritakan, ikan terubuk sungai tempatan mempunyai mulut lebih kecil, bersaiz pendek dengan bahagian kepala lebih kecil serta badannya lebih gemuk.
Katanya, dia dan rakan peniaga di situ menjual ikan terubuk masin import mengikut saiz iaitu antara RM5 hingga RM30 seekor manakala telur ikan terubuk masin pula lebih mahal.
"Bagi telur terubuk masin import, ia boleh mencecah sehingga RM200 sekilogram dan telur terubuk masin tempatan lebih mahal iaitu kira-kira RM300 sekilogram kerana sukar didapati.
"Kami menjual ikan terubuk asli Sarawak mahal sedikit berbanding ikan import iaitu antara RM12 seekor dan boleh mencecah RM55 seekor mengikut saiz.
"Bagaimanapun, pelanggan kami tidak merungut, malah jika pada musimnya, mereka pasti memilih ikan terubuk asli Sarawak berbanding import kerana kualiti isinya yang sangat lembut dan lemak," katanya.
Sementara itu, pegawai penyelidik di Institut Penyelidikan Perikanan Sarawak, Albert Chuan, berkata, ikan terubuk asli Sarawak mempuyai keistimewaan tersendiri.
Katanya, ikan terubuk yang menjadi salah satu ikon pelancongan Sarawak yang banyak menyumbang kepada perkembangan ekonomi penduduk dan negeri ini.
Katanya, isi ikan terubuk asli Sarawak lebih berlemak dan telurnya lebih besar berbanding ikan terubuk import.
Albert memberitahu, perbezaan juga dapat dilihat dari segi kesegaran kerana terubuk tempatan lebih sedap kerana ia segar.
Sedangkan terubuk import pula, terpaksa dibekukan terlebih dulu dan sisik terubuk asli lebih mudah tertanggal berbanding sisik ikan import yang keras.
Terubuk sungai
"Terubuk import pula mempunyai bintik hitam di badan tetapi tiada pada terubuk sungai Sarawak. Perbezaan terubuk tempatan dan import juga boleh dilihat pada harga.
"Terubuk sungai lebih mahal berbanding terubuk import. Sekali imbas, memang sukar mencari perbezaan terubuk sungai dan terubuk import. Orang biasa memang selalu keliru," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Albert berkata, terdapat dua jenis terubuk di Sarawak iaitu terubuk laut atau Tenualosa Macrura yang boleh dikenali dengan fizikalnya bermulut kecil, bersaiz pendek dengan bahagian kepala lebih kecil dan badan lebih gemuk.
Ujarnya, terubuk sungai atau Tenualosa Toli mempunyai muncung atau mulut lebih besar dan panjang yang juga dikenali sebagai Terubuk Sarawak di kalangan penduduk negara ini.
Jelasnya, penentuan jantina ikan terubuk hanya dapat dikenal pasti apabila ia menjangkau usia dua tahun dan bertelur.
"Mengikut kajian Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Tenualosa Toli mula bertelur dari bulan September hingga Oktober dan berkurangan pada bulan November," katanya.
Albert menjelaskan lagi, terubuk jantan boleh mencapai ukuran panjang sehingga 12.8 hingga 34 sentimeter manakala betina pula dari 14 hingga 46.2 sentimeter dan masing-masing mempunyai purata berat 178.2 gram dan 533.9 gram.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: