Sunday, March 2, 2014

Fenomena baharu bertih jagung



BERTIH jagung yang bersalut dengan kekacang mewah menjadi fenomena baharu bagi penggemar makanan ringan ini.


TIDAK lengkap rasanya jika aktiviti menonton wayang tidak ditemani dengan sekotak bertih jagung di sisi.
Daripada golongan kanak-kanak hingga dewasa, semuanya tidak terkecuali daripada menjadikan bertih jagung sebagai kudapan wajib mereka. Malah, boleh dikatakan makanan manis dan rangup itu sudah menjadi trend tatkala menonton wayang.
Sebenarnya, bertih jagung atau dikenali juga sebagai popcorn, sudah mula dihasilkan sejak beribu-ribu tahun dahulu.
Batang, tongkol, jerami, dan bulu jagung yang berusia antara 3,000 hingga 6,700 tahun ditemui di Paredones dan Huaca Prieta di pantai utara Peru oleh penyelidik dari Universiti Vanderbilt, Tennessee, Amerika Syarikat dan Akademi Sejarah Kebangsaan Peru.
Para penyelidik berkata, penemuan sisa-sisa jagung itu menunjukkan manusia purba di negara Amerika Selatan itu makan bertih dan tepung jagung.
Ternyata populariti tanaman semusim yang kitaran hidupnya sekitar 80 hingga 100 hari itu semakin menginjak naik sejajar dengan peralihan zaman.
Inovasi
Ini kerana pelbagai inovasi dari segi rasa dan warna dapat dilihat pada penghasilan bertih jagung.
Daripada perisa asli, muncul pula perisa karamel, keju, coklat, gula-gula getah, kari mahupun rumpai laut, semuanya mampu diterima oleh penggemar bertih jagung.
Melihat peluang yang ada dalam industri makanan tersebut, seorang anak muda dari Kota Tinggi, Johor, Aimez Nashriq Mohd. Zain, 25, mengambil peluang untuk memeriahkan lagi pasaran bertih jagung di negara ini.
"Pada saya lambakan bertih jagung di pasaran sekarang sudah terlalu klise. Kita juga boleh menemui bertih jagung dijual di pasar malam, pasar raya bahkan panggung wayang tetapi rasanya seakan-akan sama.
"Jadi saya fikir kenapa tidak kita variasikan lagi bertih jagung ini supaya nampak lebih istimewa," kata pengedar dan penjual bertih jagung premium jenama Poco Gourmet Popcorn itu.

JAGUNG kering merupakan bahan utama dalam penghasilan bertih jagung.


Menurutnya, walnut, hazel dan badam antara kekacang mewah yang akan ditemui saat jejari halus diunjur masuk ke dalam balang kertas bertih jagung Poco Gourmet.
Kedengaran pelik tetapi itulah kebenaran yang harus diterima apabila bertih jagung yang disalut dengan kekacang mewah mula menjadi fenomena baharu dalam kalangan penggemar kudapan ringan tersebut.
"Pada mulanya saya agak ragu-ragu untuk menjual Poco Gourmet, tetapi apabila tidak sampai dua bulan menjualnya saya sudah mendapat keuntungan lebih RM6,000, saya mula rasakan ia boleh pergi jauh," ujarnya yang mengedarkan Poco Gourmet menerusi internet.
Tambahnya, bertih jagung tersebut bukan sahaja mendapat sambutan dalam kalangan rakyat Malaysia, malah popular sehingga ke Brunei, Indonesia dan Singapura.
Rangup
Bertih jagung itu diperbuat sepenuhnya menggunakan karamel dan mentega yang diimport khas dari New Zealand. Poco Gourment dijual pada harga RM25 bagi satu set yang mengandungi empat balang 85 gram.
Setiap butir bertih jagung Poco dipercayai rangup. Ia menggunakan buah jagung terbaik dan menukar setiap isi jagung menjadi bertih menggunakan minyak jagung 100 peratus.
Walaupun kini orang ramai boleh mendapatkan bertih jagung dengan membelinya menerusi internet, namun itu tidak menghalang Wan Norfamin Wan Kamarudin, 20, daripada cuba menghasilkan sendiri bertih jagung untuk dimakan.
Menurut pelajar jurusan perniagaan di sebuah kolej swasta di Lembah Klang itu, dengan menghasilkan sendiri makanan tersebut, dia mampu bereksperimentasi dengan pelbagai warna dan perisa tanpa perlu mengeluarkan kos yang banyak.
"Sebenarnya saya tergerak hati untuk mencuba setelah melihat rakan saya membawa bertih jagung ke kampus hasil tangan ibunya.
"Mula-mula memang agak rumit dan sampai satu tahap, bertih jagung yang saya buat bertukar hangus kerana saya masih belum pandai mengawal suhu periuk," katanya yang hanya mencampurkan dua genggam jagung kering, gula perang, mentega dan susu manis yang diletakkan di dalam periuk bagi menghasilkan bertih jagung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: