Sunday, March 2, 2014

Laung azan enam penjuru




PANDANGAN mata Mariam Zam, 61, tertumpu ke arah pasukan penyelamat yang sedang menjalankan operasi mencari mangsa lemas di Sungai Muar dekat Buluh Kasap, Segamat, Johor, 22 Februari lalu.
Dia tidak senang duduk. Sesekali air mata yang mengalir dikesat. Bibirnya pula tidak putus-putus mendoakan semoga anaknya, Mohd. Shafiq Shukor segera ditemui.
Keadaan Mariam itu turut meruntun perasaan orang ramai yang berada di tempat kejadian.
Mereka yang rata-rata terdiri daripada penduduk Taman Mewah dan Kampung Kuning Patah mengerumuni lokasi kejadian selepas berita lapan pelajar yang ingin mandi di sungai itu mati lemas disedut pasir jerlus tersebar luas.
Walaupun hanya beralaskan surat khabar dan berteduhkan payung, mereka sabar menunggu di tepi tebing sungai bagi menyaksikan operasi menyelamat yang masuk hari kedua itu.
Berkat laungan azan Zuhur dan solat hajat yang dilaksanakan ahli keluarga mangsa, kesemua baki lima mayat mangsa tragedi lemas berjaya ditemui satu persatu dalam tempoh sejam.
Suasana sedih dan hiba menyelubungi lokasi kejadian apabila proses pengecaman mangsa dibuat.
Mariam yang sabar menanti sejak pukul 9.30 pagi bagai orang hilang akal tatkala menatap sekujur tubuh kaku anaknya itu.
"Semasa mayat anak saya dibawa naik ke darat, tubuh rasa lemah. Saya rebah beberapa kali sehingga terpaksa dipapah ahli keluarga," ceritanya sebak.
Korek pasir
Mayat Mohd. Shafiq yang tenggelam ke dasar sungai berjaya dijumpai kira-kira pukul 2.06 petang.
Remaja berusia 16 tahun itu merupakan mangsa kedua yang dijumpai dalam operasi yang mengambil masa lebih 30 jam itu.

APABILA mangsa terpijak pasir jerlus, kaki mereka terbenam dan disedut sehingga sukar menyelamatkan diri. – Gambar hiasan


Terdahulu, mayat rakannya, Mohd. Nazreen Zainal, 14, yang terapung kira-kira 20 meter dari tempat mereka ditelan pasir jerlus ditemui pada pukul 1.45 petang. Mayat ketiga dan keempat, Mohd. Zaki Zaidi, 16, serta Mohd. Izuan Hakimi Amin, 13, ditemui pada pukul 2.41 petang manakala mangsa terakhir, Mohd. Hafizuddin Kamal, 16, dijumpai pada pukul 2.46 petang.
Mayat tiga mangsa lain, Mohd. Hafizul Daniel Norhisham, 16, Mohd. Zikri Zaidi, 14, dan Mohd. Nazrul Aminuddin Zamri, 16, ditemui pada hari sebelumnya.
Kejadian yang meragut nyawa lapan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Buluh Kasap itu dipercayai berpunca daripada pasir jerlus di dasar sungai berkenaan.
Permukaan tanah yang lembut seolah-olah 'menyedut' mangsa apabila mereka terpijak dasar sungai tersebut.
Penolong Ketua Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk So'iman Jahid berkata, tempat kejadian didapati lebih dalam berbanding lokasi lain ekoran kegiatan mengorek pasir tidak jauh dari tempat kejadian.
Menurutnya, aktiviti tersebut dipercayai mengakibatkan paras air sungai itu semakin dalam selain menyebabkan pemendapan dan pembentukan ruang-ruang pasir di dasar sungai.
"Pemendapan itu turut membentuk teluk dan beting pasir jerlus di dasar sungai.
"Oleh sebab itu, apabila mangsa terpijak pasir, kaki mereka terbenam dan disedut sehingga gagal menyelamatkan diri," jelasnya.
Lubuk puaka
Kejadian yang berlaku di bahagian sungai yang berkedalaman hampir 7 meter itu turut dikaitkan dengan cerita-cerita mistik.
Ada penduduk mendakwa lokasi itu agak 'keras' dan berpenunggu.

LAGUN Kuala Semerak di Pasir Puteh, Kelantan telah mengorbankan 28 nyawa dalam tempoh 31 tahun.


Perkara itu diakui oleh seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Pak Long. Ceritanya, dia pernah ternampak kelibat lembaga besar berwarna hitam di kawasan pokok berembang di tebing sungai berkenaan.
"Pada waktu itu, saya sedang membawa bot secara berseorangan untuk menjala ikan. Secara tiba-tiba, di hadapan saya muncul satu lembaga berhampiran lubuk itu namun hilang dalam sekelip mata.
"Orang kampung kata lembaga itu 'mengawasi' kawasan tersebut daripada dicerobohi manusia. Mungkin sebab itulah kebanyakan penduduk di sini mengelak pergi ke sungai kerana takut selepas mendengar cerita lubuk puaka itu," jelasnya.
Tambah Pak Long, beberapa kejadian aneh yang dialami menambah kisah misteri yang sering melingkari kaki-kaki pancing di kawasan itu.
"Ada yang pernah mengalami kejadian bot tiba-tiba berpusing, enjin bot mati di tengah sungai dan bot dikatakan berat sehingga sukar bergerak.
"Suasana sunyi dan menyeramkan tidak kira siang atau malam juga menyebabkan orang tidak berani ke sini," katanya sambil memberitahu, sungai itu telah terbiar sejak 20 tahun lepas sebelum kerja mengorek pasir dimulakan tahun lalu.
Menurut Imam Masjid al-Muhajirin di Buluh Kasap, Samsuri Ismail, selepas usaha mencari dan menyelamat menemui jalan buntu, dia tergerak hati untuk melaungkan azan dari atas bot bomba.
Katanya, azan Zuhur itu dilaungkan di enam penjuru bot bagi mengesan sama ada operasi mencari dan menyelamat itu 'diganggu' kuasa mistik atau sebaliknya.
Mati berdiri
"Saya buat demikian untuk membantu mencari mangsa serta memohon kepada Allah agar mempermudahkan urusan kami," tuturnya.
Selain kes tersebut, negara juga pernah digemparkan dengan beberapa kes kematian akibat ditelan pasir jerlus di sekitar kawasan Lagun Kuala Semerak, Pasir Puteh, Kelantan.
Lagun berkeluasan 13.8 hektar itu dikatakan telah mengorbankan 28 nyawa antara tahun 1980 hingga 2011 sebelum ditutup kepada pengunjung berkuat kuasa 6 September 2011.
Apa yang menakutkan, kebanyakan mayat mangsa lemas di lagun itu ditemui dalam keadaan berdiri selepas mereka ditenggelamkan air pasang besar.

PASUKAN penyelamat mengangkat mayat yang dijumpai di dasar Sungai Muar 22 Februari lalu.


Perkara itu terjadi kerana kaki mangsa seolah-olah 'terikat' dalam lumpur di dasar lagun itu.
Di Malaysia, kira-kira 20 kejadian pasir jerlus dilaporkan akhbar dalam tempoh sembilan tahun lalu.
Bagaimanapun, tragedi yang berlaku di Port Royal, Jamaica dianggap peristiwa paling buruk pernah berlaku dalam sejarah apabila satu pertiga daripada bandar pelabuhan itu lenyap disedut pasir jerlus.
Lebih menakutkan, kejadian 7 Jun 1962 itu turut menelan lebih 3,000 penduduk bandar berkenaan.
Saksi kejadian, Hans Sloane berkata, fenomena itu menenggelamkan bandar tersebut dalam masa dua minit manakala beberapa bangunan di tepi dermaga tenggelam dalam masa kurang seminit.
"Gegaran kuat menyebabkan pasir merekah dan penduduk mula ditelan ke dalamnya," ujarnya.
Kejadian itu dikatakan berpunca daripada gempa bumi yang menyebabkan air laut meresap ke dalam pasir pantai.
Air laut mengakibatkan ikatan antara butiran pasir yang berfungsi menampung bandar tersebut menjadi longgar.
Ia seterusnya menukarkan pasir padat itu menjadi pasir jerlus sebelum menenggelamkan kawasan bandar terbabit bersama penduduknya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: