Sunday, March 2, 2014

Budak kampung jadi guru BI


ZALILAH menyimpan cita-cita untuk menjadi guru bahasa Inggeris sejak kecil lagi.


IMPIAN Zalilah Azmi untuk menyambung pelajaran hingga ke menara gading di England sentiasa membara, lebih-lebih lagi setiap kali selepas membaca naskkah fiksyen karya Enid Blyton.
Ketika ditemui kru Jurnal di Institut Pendidikan Guru Antarabangsa Lembah Pantai, Kuala Lumpur baru-baru ini, gadis berusia 24 tahun itu mengakui meminati bahan bacaan bahasa Inggeris sejak berumur 10 tahun.
“Saya memang suka membaca buku lebih-lebih lagi kalau jalan ceritanya berunsur penyiasatan. Membaca dapat memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dari segi tatabahasa serta perbendaharaan kata,” ujarnya tersenyum.
Ternyata, tuah gadis kelahiran Sungai Petani, Kedah ini benar-benar menyebelahinya apabila dia ditawarkan untuk mengikuti pengajian berkembar peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).
Pengalaman
Menurut Zalilah, kursus tersebut dijalani di Institut Pendidikan Guru Antarabangsa Lembah Pantai dengan kerjasama Universiti Christ Church Cantebury, Britain.
Setelah hampir lima tahun mengutip pengalaman sebagai seorang pendidik, anak bongsu daripada tiga beradik itu dijadualkan tamat pembelajarannya pertengahan Mei ini.
Bermula daripada sekolah rendah hingga ke sekolah menengah, Zalilah telah menanam azam untuk menjadi guru Bahasa Inggeris kerana ia merupakan subjek kegemarannya.
“Sebaik keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan, saya ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi Kedah dan TESL di Universiti Teknologi Mara (UiTM),” katanya.
Ujarnya, kebetulan pada waktu tersebut bapanya terlantar di hospital ekoran kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan dia berbelah bahagi untuk meneruskan pengajian di UiTM, Shah Alam.
“Kata orang kalau ada rezeki itu tidak ke mana. Ketika hari kedua saya di Kolej Matrikulasi, Maybank menghubungi saya dan menawarkan biasiswa untuk membuat program berkembar tersebut,” ceritanya.
Sebulan selepas menghadiri temu duga, dia ditawarkan untuk mengikuti program tersebut selama tiga tahun.
Dia yang kini sedang menjalani latihan praktikal di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Sentosa, Kuala Lumpur berkata, impian tersebut tidak mungkin menjadi kenyataan jika dia tidak menghadiri kelas di Pusat Giat Ilmu yang khusus dianjurkan oleh Yayasan Maybank untuk anak-anak desa di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, seorang lagi pelajar, Muhammad Safwan Mohd. Fuad dari Kampung Bendang Dalam, Merbok, Kedah berkata, pusat bimbingan percuma itu menyediakan prasarana yang kondusif bagi membantu aktiviti pendidikan pelajar.

SEBAHAGIAN kanak-kanak yang menerima sumbangan menerusi Program Cahaya Kasih yang dianjurkan oleh Maybank.


Bahasa Inggeris
Dia yang ditemui di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini memberitahu, pusat itu diasaskan oleh pesara Timbalan Pendaftar Universiti Sains Malaysia (USM), Romli Abu Bakar atau Tok Su Romli bersama isterinya, Hasnah Saad.
Cerita anak sulung daripada tiga beradik ini, pasangan suami isteri tersebut mengajar kelas secara percuma di rumah mereka yang terletak di Kampung Bujang, Merbok sejak tahun 1996.
Menurut jejaka berusia 24 tahun ini, pusat itu bermula apabila Tok Su Romli didatangi kira-kira 10 orang budak kampung yang mahu beliau mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI).
“Saya mula mengikuti kelas percuma BI dan Matematik dua kali seminggu ketika berusia 8 tahun.
“Sebenarnya saya budak kampung sebelah tapi arwah ayah tetap menghantar saya belajar dengan Tok Su Romli kerana tidak ada orang lain yang boleh mengajar,” kata pelajar semester akhir program TESL Institut Pendidikan Guru Kota Bharu dengan Universiti St. Mark & St. John di Plymouth, Britain itu.
Berkat kesungguhan serta usaha gigih, Safwan dan Zalilah menjadi dua anak muda pertama dari kampung mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara melalui biasiswa penuh Kementerian Pendidikan di bawah program berkembar tersebut.
“Saya tidak menyangka pula mencipta sejarah sedemikian dan berpeluang menimba ilmu di negara empat musim itu.
“Didikan Tok Su Romli secara tidak langsung membuka mata serta pemikiran anak-anak kampung yang rata-rata terdiri daripada golongan petani,” katanya.
Bertutur lanjut, Safwan berkata, pihak Maybank juga menganjurkan program From Poverty to England sempena kejayaannya dan Zazilah mencatat keputusan cemerlang dalam bidang akademik.
“Kisah kejayaan kami diambil untuk dijadikan inspirasi serta perangsang kepada pelajar lain.,” katanya yang berhasrat untuk mengajar di negeri Kedah bagi menabur bakti kepada penduduk di situ.
Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Korporat Maybank, Eliza Mohamed dalam satu kenyataan menjelaskan program berkenaan bertujuan meningkatkan keupayaan pendidikan anak-anak desa.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: