Anak kelahiran Yong Peng, Johor, ini mula mencipta nama setelah berjaya melayakkan diri sebagai pengarah di usia 23 tahun. Terpilih menerusi Skim Pengarah Muda oleh penerbit terkenal, David Teo wanita ini membuktikan bakat terpendamnya menerusi filem Selamat Pagi Cinta.
Meskipun filem itu kurang menyerlah, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berada dalam industri seni tanah air. Bernaung di bawah syarikat lubuk emas, MIG, Yana rancak membintangi pelbagai drama dan filem. Ternyata nasib menyebelahinya apabila filem lakonannya, Adnan Sempit di samping Shahizey Sam dan Intan Ladyana, mendapat sambutan box-office. Sejak itu nama Yana semakin meniti di bibir peminat dan wajahnya laris di layar perak.
Sedar persaingan semakin sengit, Yana, bersedia dengan pelbagai percaturan baru demi memastikan karier dalam industri seni tidak hilang dibawa arus.
“Alhamdulillah, sejak memulakan perjalanan sebagai anak seni, keluarga kawan-kawan tidak pernah berhenti menyokong saya.
“10 tahun dalam industri seni, banyak memberi perspektif baru dalam kehidupan untuk saya lakukan yang terbaik.
“Sememangnya saya akui, setiap cabaran itu ada di mana sahaja tetapi yang paling penting bagaimana untuk mengatasi kepayahan itu dan memperbaiki diri untuk mengorak langkah dengan maju ke hadapan,” katanya.
Tak harap menang
Mengejutkan industri menerusi kemenangannya sebagai, Pelakon Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular 2012 April lalu, nama Yana sekali lagi dicalonkan menerusi Heroin Terhebat untuk Anugerah BlokBuster 2013, yang bakal berlangsung Jun ini.
“Saya bermula dalam industri pun dari belakang tabir dan tak terfikir karier lakonan saya akan sampai ke tahap ini. Benar kata Tuhan. Kalau sesuatu benda itu nak jadi, jadi juga dan kali ini Alhamdulillah saya bersyukur dengan setiap rezeki yang diberikan oleh ALLAH kepada saya.
“Untuk Anugerah BlokBuster kali ini, saya tidak pernah berharap untuk menang, sebaliknya saya terima seadanya menang mahupun tidak,” katanya yang turut menyifatkan kelab peminatnya ‘Yana Super Friends’ sebagai 'tulang belakang' kejayaannya.
Mengimbau perjalanan seninya, pelakon Ana LuLu ini sebenarnya terlebih dahulu berkecimpung sebagai penyanyi. Pernah tampil dengan album Ceria, pada tahun 2004, siapa sangka nasibnya dalam bidang lakonan lebih menyerlah kini.
“Sejak dari kecil saya memang minat dalam bidang menyanyi. Namun di sebabkan ke kekangan masa, saya mengambil keputusan untuk memberi fokus dalam bidang lakonan terlebih dahulu.
“Insya-ALLAH saya akan kembali menyanyi sekiranya ada peluang yang baik menanti," katanya.
Tak kejar cinta
Dalam keghairahan meniti kejayaan, nama Yana juga tidak terlepas dari dikaitkan dengan beberapa lelaki. Selain pernah dikaitkan dengan Piere Andre, Yana juga pernah dikaitkan dengan Shaheizy Sam dan juga adik pelakon Farid Kamil iaitu Fadzil Zahari yang sedang berjinak-jinak dalam lakonan.
“Mengenai hubungan saya bersama Fadzil hanyalah khabar angin semata-mata Saya rasa nak tergelak, tak tahu dari mana datangnya gosip itu. Selepas ini tidak tahu dengan siapa pula akan dikaitkan sebagai kekasih saya.
“Saya dan Fadzil hanya sekadar kawan biasa tiada yang istimewa,” katanya.
Bosan dengan gosip-gosip cintanya, tegas Yana, dia masih single dan keutamaannya kini adalah karier.
“Saya tidak pernah meletakkan sebarang sasaran untuk menamatkan zaman bujang.
“Sekarang ini saya tidak mahu fikir soal cinta. Saya mahu fokus kepada karier. Saya juga tidak bercadang untuk mencari teman istimewa atau mengenali sesiapa. Bagaimanapun, soal jodoh ini kita tidak boleh jangka, jika sudah tertulis jodoh saya sampai dalam waktu terdekat ini, saya tidak akan menolak tapi berharap jodoh tersebut bukan dari kalangan selebriti,” katanya,
PROFIL
Nama sebenar: Norliana Samsudin
Nama panggilan: Yana
Tarikh Lahir: 25 September 1984
Umur: 28 tahun
Tempat Lahir: Yong Peng, Johor
Tahap Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Seni Layar, UiTM Shah Alam
Status: Bujang
Kerjaya: Penyanyi, pelakon dan pengarah
Filem 7 Perhentian, Mami Jarum Junior, Main-Main Cinta, Histeria, Shh… Dia Datang, Adnan Sempit, Aku Masih Dara, Kongsi dan Bini-Biniku Gangster,
Drama : E-toyol.com, Bionik, Lu’Lu, Siti Kelembai, 3 Janda dan Suri Bakawali, Bini-Biniku Perkasa
Album : Yana Ceria (2004)
Filem arahan: Selamat Pagi Cinta
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: