Wednesday, May 22, 2013
Syiling Afrika ditemui di Australia
LONDON - Lima syiling tembaga yang mempunyai perkataan seperti tulisan Arab yang ditemui di utara Australia pada tahun 1944 dipercayai berasal dari Afrika, lapor akhbar dalam talian MailOnline semalam.
Sekumpulan penyelidik dari Universiti Indiana, Amerika Syarikat kini mahu mencari jawapan bagaimana syiling berusia ribuan tahun itu boleh berada di Australia.
Menurut kajian mereka, Australia mungkin telah ditemui enam abad sebelum seorang penjelajah terkenal dari Britain, Kapten James Cook tiba pada tahun 1770.
Warga Eropah yang terawal tiba di Australia sebelum Cook ialah seorang ahli pelayaran dari Belanda, Willem Janszoon pada tahun 1606.
Penduduk asli Australia pula dipercayai tiba di Australia dengan perahu dari Kepulauan Melayu antara tahun 40,000 hingga 60,000 tahun lalu.
Ketua penyelidik itu, Ian McIntosh dari Australia menyatakan, syiling itu ditemui oleh seorang askar, Maurie Isenberg pada tahun 1944 semasa Perang Dunia Kedua.
Isenberg bertugas di Kepulauan Wessel di pantai utara Australia.
Askar Australia itu menemui syiling tersebut tertanam di dalam pasir.
Pada tahun 1979, Isenberg menghantar syiling tersebut ke sebuah muzium Australia supaya kajian dibuat tentang bagaimana ia boleh tiba di utara negara itu.
Isenberg juga menemui empat syiling pada era Syarikat Hindia Timur Belanda.
Penemuan itu menyokong dakwaan bahawa penjelajah Belanda menemui Australia lebih awal daripada Cook.
McIntosh percaya, syiling itu mungkin memberi petunjuk bahawa terdapat laluan perdagangan yang menghubungkan timur Afrika, Arab, India dan Kepulauan Spice lebih 1,000 tahun lalu.
Syiling itu mungkin berasal dari bekas Kesultanan Kilwa di Afrika.
Kilwa mempunyai pelabuhan perdagangan dan mempunyai hubungan dengan India pada abad ke-13 hingga ke-16.
Ia terletak di sebuah pulau di Tanzania.
Syiling itu mungkin wujud sejak tahun 900 Masihi.
Jika teori itu benar, ia bermakna terdapat peradaban lain yang telah membuat hubungan dengan penduduk Australia enam abad sebelum warga Eropah tiba.
Teori lain ialah syiling tersebut mungkin dihanyutkan ke pantai selepas sebuah kapal karam.
Namun, McIntosh akan melancarkan ekspedisi ke kepulauan itu pada Julai depan untuk melakukan kajian tentang bagaimana syiling tersebut boleh berada di Australia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: