Saturday, May 25, 2013

Produk terlaris di bazar larut malam



SUASANA di bazar larut malam yang terletak di Shah Alam, Selangor itu hiruk-pikuk. Deretan kedai menjual pelbagai barangan seperti pakaian, aksesori telefon, kasut dan produk kecantikan disinggahi pengunjung yang bertali-arus ke bazar tersebut.
Antara barangan paling popular di bazar itu ialah cermin mata. Memandangkan majoriti pengunjung bazar itu terdiri daripada golongan pelajar berusia lingkungan 20-an, cermin mata pelbagai bentuk dan saiz menjadi item paling laris ekoran naluri muda-mudi yang gemar bergaya.
Sambil tangan membelek-belek cermin mata yang dipamerkan, terfikir sejenak, adakah aksesori yang dijual pada harga murah itu selamat dipakai? Secara logiknya, harga jualan barangan itu memang menguntungkan pembeli tetapi adakah penjualannya sah di sisi undang-undang?
Dijual meluas
Cermin mata tiruan pelbagai jenama antarabangsa yang dijual di bazar tersebut dipecahkan mengikut gred. Menurut seorang peniaga yang ditemui, 5A merupakan gred yang paling tinggi. Ia mampu dijual pada harga RM500 ke atas kerana rupa bentuk dan kehalusannya hampir menyamai cermin mata asli.
"Cermin mata tiruan biasa pula dijual pada harga standard antara RM10 hingga RM15. Ia diperbuat daripada plastik dan tidak mempunyai kuasa yang boleh memberi efek pada mata.
"Bagi cermin mata polaroid yang disertakan dengan bingkai tambahan, kami jual pada harga RM40 sepasang. Harganya sedikit tinggi memandangkan warna dan kualiti yang digunakan lebih baik berbanding cermin mata biasa," jelas peniaga itu ketika Kosmo! melakukan tinjauan di bazar tersebut.
Selain cermin mata tiruan jenis biasa, pengunjung juga boleh membeli cermin mata bagi aktiviti berbasikal. Jenama tiruan seperti Oakley Radar dijual secara terbuka di kawasan tersebut pada harga dari RM150, lengkap dengan tiga bingkai percuma.
Harga cermin mata Oakley Radar yang asli dijual pada harga RM800.
Penjualan cermin mata tiruan secara meluas menimbulkan spekulasi negatif masyarakat terhadap penguatkuasaan barangan tiruan.

Penggunaan cermin mata hitam penting untuk melindungi mata daripada sinar ultra ungu.


Difahamkan, Bahagian Penguat Kuasa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sentiasa menjalankan pemeriksaan dan memantau semua bazar lewat malam yang ada di Malaysia bagi membanteras penjualan cermin mata tiruan dan membantu para peniaga yang beretika menjalankan perniagaan berteraskan barangan tulen.
Berdasarkan statistik yang diperoleh daripada KPDNKK, sebanyak 76 kes berkaitan cermin mata tiruan diambil tindakan dengan nilai rampasan berjumlah kira-kira RM387,000 dicatatkan dari tahun 2007 hingga 2012.
Menurut Pengarah Penguat Kuasa, Bahagian Penguat Kuasa, KPDNKK, Mohd. Roslan Mahayudin, cermin mata termasuk dalam kategori barangan 'panas' dibawa masuk menerusi pembekal dari China dan negara lain dalam kuantiti besar.
"Peniaga mampu mengaut keuntungan segera kerana modal yang diperlukan bagi membeli cermin mata tiruan daripada pembekal adalah kecil dan ia mampu dijual pada harga berlipat ganda kepada pengguna. Ia menjadi antara faktor mengapa ada peniaga yang berani menjual barangan sebegini meskipun berdepan risiko tindakan penguatkuasaan.
Cap dagangan tiruan
"Namun pengimportan dan penjualan cermin mata tidak menjadi satu kesalahan jika mereka mematuhi peruntukan perundangan yang dikuatkuasakan negara ini. Ia menjadi kesalahan apabila cermin mata yang dijual menggunakan cap dagangan tiruan, tidak meletakkan tanda harga dan tidak mempamerkan label maklumat barangan tersebut.

CERMIN mata hitam tiruan untuk tujuan bergaya atau melindungi daripada cahaya matahari tidak memberi kesan sampingan kepada mata.


"Bagi mengelakkan kewujudan cermin mata tiruan, pemilik jenama asli perlu mendaftarkan cap dagangan agar perlindungan barangan keluaran mereka dapat dilaksanakan. Ia boleh didaftarkan di Perbadanan Harga Intelek Malaysia, KPDNKK (MyIPO)," jelas Roslan yang dihubungi Kosmo! menerusi e-mel.
Di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, di bawah seksyen 8, memperuntukkan bahawa mana-mana individu yang menjual, mengedar dan membekal barang yang menggunakan apa-apa perihal dagangan palsu berhubung cap dagangan boleh diambil tindakan.
Sepanjang tahun 2011 dan 2012, KPDNKK telah mengambil tindakan sebanyak 46 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM107,861 bagi kes terbabit.
Tambah Roslan, apa jua barangan termasuk cermin mata yang tidak didaftarkan cap dagangan di Malaysia tidak boleh dilindungi dan diambil tindakan penguatkuasaan khususnya di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Perlindungan sinar ultra ungu
Bagaimanapun, KPDNKK mendedahkan bahawa pola rampasan barangan itu sebenarnya telah menunjukkan penurunan.
"Meskipun statistik kes KPDNKK semakin berkurangan, ia bukan bermakna kes jualan cermin mata tiruan telah berjaya diatasi. Para peniaga mula beralih menjual cermin mata tiruan yang mempunyai cap dagangan tidak berdaftar bagi mengelirukan pengguna dan pihak penguatkuasa.
"Memang kebanyakan bazar lewat malam yang menjual cermin mata tiruan memiliki lesen perniagaan sah, namun sekiranya ada peniaga yang masih menjual barangan tiruan, tindakan boleh diambil," ujar Roslan.
Selain isu cap dagangan, kesan sampingan cermin mata tiruan kepada daya penglihatan turut membelenggu pengguna.
Berdasarkan laporan yang diperoleh daripada laman web berita Time.com pada tahun 2009, seorang doktor mata dan jurucakap bagi Akademi Oftalmologi Amerika Syarikat, Dr. Wayne Bizer mendedahkan, cermin mata hitam tanpa perlindungan terhadap dua jenis sinaran ultra ungu (UV) iaitu UVA dan UVB boleh menjejaskan kesihatan mata.
Apabila mata terdedah kepada cahaya yang terlalu terang, seseorang akan mengecilkan mata dan pupil akan mengecut bagi mengawal jumlah cahaya yang masuk ke dalam mata.
Apabila anda memakai cermin mata hitam, efek yang diberikan hampir serupa seperti berada di dalam bilik gelap. Pupil akan mengembang bagi membenarkan lebih banyak cahaya masuk.
Cermin mata hitam tiruan yang tidak menghalang sinaran UV mungkin memberikan sedikit perlindungan terhadap cahaya terang dan mengurangkan pengecilan mata. Namun pendedahan ekstra terhadap UVA dan UVB mungkin membahayakan mata.
"Jika anda memakai sepasang cermin mata hitam, pupil anda terbuka dan berubah saiz daripada separuh milimeter (mm) kepada 5 atau 6mm. Ia mengalami peningkatan yang tinggi dan secara langsung membenarkan lebih banyak cahaya masuk ke dalam mata.
"Cermin mata tiruan kebiasaannya dihasilkan tanpa fungsi perlindungan UVA dan UVB malah hanya menapis cahaya sekeliling dan silau. Ia tidak membantu melindungi mata anda malah mampu meningkatkan risiko terhadap katarak, degenerasi makular dan pembentukan kanser yang amat jarang ditemui iaitu melanoma okulus," jelas Bizer.
Bagaimanapun, pakar mata dan juga pakar motivasi terkemuka, Profesor Dr. Muhaya Mohamad memberitahu, cermin mata hitam tiruan untuk tujuan bergaya atau melindungi daripada cahaya matahari tidak memberi kesan sampingan kepada mata.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: