Tuesday, May 7, 2013

Perjuangan tanpa henti Judika



TEPAT memandang ke dalam bota mata saya dan sambil mengangguk yakin, Judika mengaku dirinya seorang yang popular. Dia tidak teragak-agak untuk menjawab persoalan tersebut. Bukan kerana riak atau perasan, tapi kerana beranggapan dirinya relevan dalam industri seni suara di republiknya, Indonesia.
"Ya, saya popular," katanya saat ditemui usai showcase yang diadakan di Hotel Royal, Kuala Lumpur, hujung minggu lalu.
Dia yang bernaung di bawal label Sony Music ini kemudian bersungguh-sungguh menyambung bicara: "Saya maksudkan sekarang. Sekarang, saya memang popular berbanding dulu.
"Hal ini dapat saya lihat apabila saya tidak lagi boleh bebas keluar ke pusat beli-belah untuk membeli barang atau sekadar bersiar-siar. Saya pasti dikerumuni peminat untuk bergambar dan sebagainya. Jadi saya anggap saya memang popular."
Judika mengaku dia popular, tetapi mungkin masih ramai yang tidak mengenali dirinya. Namun, jika disenaraikan beberapa hit seperti Bukan Rayuan Gombal, Malaikat dan terkini, Aku Yang Tersakiti, barangkali senang khalayak mencerna lagu-lagu patah hati yang didendangkan oleh pemilik vokal tinggi ini.
Bagaimanapun, harus diakui nama Judika barangkali tidak sebesar nama rakan-rakan penyanyinya yang lain seperti Afghan atau Rossa di Malaysia.
Namun, sesiapa yang mengenali Judika, semua pasti bersetuju, magis pemilik nama sebenar Judika Nalon Abadi Sihotang terletak kepada vokal luar biasa yang dimilikinya.
Dia tersenyum saat disua tentang magis seorang Judika yang mampu meruntun hati banyak orang dengan vokal yang dimilikinya. Bagaimanapun penyanyi itu lebih senang menyifatkan, magis yang ada pada dirinya disokong oleh untaian lagu yang indah nyanyiannya.
"Saya kira magis itu terletak bukan hanya pada vokal saya, tetapi pada lagu-lagu yang dinyanyikan. Mungkin, banyak yang terpesona kerana hampir semua lagu saya, saya akan memulakan ia dengan rentak perlahan, sebelum ia naik tinggi," katanya merendah diri.
Ironi, Judika bukan nama baharu dalam belantika muzik di Indonesia. Dia mula meraih perhatian selepas mendapat tempat kedua dalam program realiti Indonesian Idol pada tahun 2005.

POPULARITI Judika mungkin tidak seiring dengan lagunya Aku Yang Tersakiti yang kini cukup hit di Malaysia.


Sejak itu kehidupannya sebagai seorang penyanyi tidak ubah seperti permainan rollar coaster.
Malah, dia menyifatkan bahawa saat kemunculan album pertamanya dahulu iaitu, Seri Cinta, adalah detik paling parah dalam karier seninya.
Dia mengaku, itu bukan waktu yang tepat buatnya muncul dengan sebuah album berpaksi pop rock kerana saat itu pasaran muzik di Indonesia sedang didominasi dengan muzik kemelayuan seperti daripada grup ST 12.
"Saya seperti masuk ke dalam industri pada waktu yang salah. Ia tahun yang amat sukar buat saya. Namun, syukur, selepas dua tahun perlahan-lahan saya naik selepas itu," imbas anak keenam daripada tujuh beradik ini.
Judika kemudian melebarkan empayar dan mencairkan hati lebih banyak peminatnya saat album kedua, One, lahir.
Malaikat dan Bukan Rayuan Gombal umpama peluru yang tepat menusuk di tangkai hati banyak peminat, yang telah membuatkan namanya mendadak naik.
Bersama dua lagu tersebut, Setengah Mati Merindu kemudian menjadi penyambung kepada lagu-lagu patah hati ciptaannya yang melekat di dalam hati peminat. Terkini, Aku Yang Tersakiti tidak ubah seperti satu candu buat para penggemarnya.
Mengulas tentang karya-karya yang dihasilkannya, Judika memberitahu, dia hanya menuangkan segala rasa yang di simpan di dalam minda dan hatinya dengan sejujur mungkin.
"Intinya, harus selalu jujur. Apabila kita jujur, semua akan menjadi baik dan positif," katanya ringkas.
Solo dan Mahadewa
Selain sukses dengan karier sebagai penyanyi solo, sejak dua tahun lalu, Judika juga merupakan vokalis kepada grup Mahadewa. Selain Judika, grup tersebut dianggotai oleh bukan calang-calang pemuzik Indonesia. Mereka termasuklah Ahmad Dhani yang merekrut grup tersebut serta Andry (gitar), Wawan (bass), Ikmal (drum) dan Vega (gitar).

RAMAI yang tidak menyedari kehadiran Judika di Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu. Dia sempat menghiburkan peminatnya dengan enam buah lagu dalam showcase di Hotel Royal, Kuala Lumpur.


Ditanya keperluan buat dirinya duduk dalam sebuah grup, sedang namanya sudah terkenal sebagai penyanyi solo, Judika memberitahu, kegilaannya terhadap bidang nyanyian membuat dia tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama Mahadewa.
Jelasnya: "Saya seorang pencinta muzik. Saya telah gila menyanyi sejak kecil. Sebelum menjadi artis, saya terlebih dahulu menyanyi di banyak kelab malam dan telah menyanyi pelbagai genre lagu.
"Justeru, saat dilamar menjadi vokalis Mahadewa, saya sayang untuk menolaknya kerana dalam karier solo, saya seorang penyanyi pop rock, tetapi sebagai vokalis Mahadewa, saya menyanyikan lagu yang kebanyakannya merupakan electro muzik.
"Jadi secara tak langsung Judika sebagai penyanyi solo dan selaku vokalis Mahadewa itu sangat berbeza."
Dia juga memberitahu sengaja menggunakan nama Mahadewa agar tidak dibandingkan dengan penyanyi asal Dewa 19 dan Dewa iaitu Ari Lasso dan Once.
Lakonan
Satu lagi cabang seni yang juga menuai sukses buat dirinya, bidang lakonan. Mengaku tidak begitu serius berlakon, dia menerima lamaran berlakon dalam filem Si Jago Merah pada tahun 2008 kerana ia mengenai bangsa Batak.
"Saya orang Batak. Jadi sewaktu diajak bermain dalam filem tersebut, saya bersetuju," katanya yang telah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Baru Terbaik dalam Indonesian Movie Awards 2009 menerusi lakonannya dalam filem tersebut.
Selain Si Jago Merah, dia juga terbabit dengan dua buah lagi filem dan saat ditanya kebarangkalian khalayak menonton dia kembali berlakon, Judika memberitahu jadual yang ketat tidak mengizinkan dia aktif berlakon dalam masa terdekat ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: