Wednesday, May 22, 2013
Model skala plastik aset ketenteraan
PEMINAT model plastik berskala pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat model-model ketenteraan yang dipamerkan pada Pameran Model Plastik Berskala 2013 di Straits Quay, Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
Pameran anjuran Kelab Peminat-Peminat Model Plastik Berskala (PMA) berlangsung selama tiga hari iaitu pada 24 hingga 26 Mei ini.
Kebanyakan model skala plastik yang dipamerkan seperti aset-aset ketenteraan yang digunakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selain berlatar belakang diorama sejarah peperangan.
Tidak kurang 200 model plastik pelbagai skala termasuk bersaiz gergasi bakal dipamerkan kepada pengunjung. Ia merupakan koleksi ahli-ahli PMA yang juga pembina model profesional dan amatur.
Antaranya, pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM, MiG-29N, kereta kebal Pendekar PT-91M serta beberapa kelengkapan yang pernah digunakan ATM sebelum ini seperti pesawat A-4PTM Skyhawk dan F-5E Tiger.
Diaorama ketenteraan pula seperti berlatar belakang pertempuran semasa Perang Dunia Kedua, Perang Vietnam termasuklah operasi yang melibatkan ATM di perbatasan negara.
Menurut penyelaras media PMA, Ridhzuan Mohd. Halim, pameran percuma itu bertujuan mendedahkan orang ramai kepada model-model plastik berskala ketenteraan.
Jelas beliau, PMA yang ditubuhkan setahun lalu bertujuan menyatukan orang ramai yang mempunyai minat atau hobi membina model skala ketenteraan. PMA kini mempunyai kira-kira 200 orang ahli di seluruh negara.
“Walaupun hobi ini agak mencabar serta memerlukan perbelanjaan tinggi tetapi ia memberi ruang dan peluang kepada individu agar sentiasa berfikiran kreatif selain melatih sifat sabar.
“Pada masa sama, mereka dapat meningkatkan pengetahuan mengenai sejarah, perkembangan teknologi persenjataan dan industri pertahanan dalam serta luar negara.
“PMA berharap pameran ini dapat mendedahkan masyarakat, terutama golongan remaja dan belia tentang dunia model berskala,” ujarnya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Antara aktiviti lain yang diadakan ialah bengkel memasang dan mengecat model plastik berskala, kelas kemahiran lanjutan membina model serta demonstrasi menyiapkan model berskala.
Menariknya, PMA juga akan membuka kaunter pendaftaran untuk ahli baharu yang berpeluang menerima cenderahati iaitu kit model berskala 1/72, kemeja-T kelab dan kad keahlian.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang membeli kit-kit model berskala pada potongan harga sehingga 25 peratus yang dilakukan oleh penaja utama program iaitu World Hobby Miniatures.
“PMA juga berhasrat untuk menambah keahlian kepada individu yang berminat selain berkongsi tip-tip baharu.
“Walaupun kali pertama diadakan, kami yakin pameran ini mampu menarik kehadiran ramai pengunjung terutama kepada mereka yang ingin berjinak-jinak dengan dunia model berskala plastik,” ujar Ridhzuan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: