Memey: Ikut Abby bertudung tapi bukan politik
Memey: Ikut Abby bertudung tapi bukan politik
Memey Suhaiza
Dari kiri: Abby Abadi, Norman Hakim dan Memey Suhaiza
Memey Suhaiza
Memey Suhaiza
JIKA sebelum ini, Natasha Hudson, Puteri Sarah Liyana dan Alyah memilih untuk mengenakan imej bertudung, kini giliran isteri kepada pelakon, Norman Hakim, Memey Suhaiza pula.
Mula mengenakan tudung ketika menghadiri majlis sukan anak tirinya, Mohamed Danish Hakim, 8, dua minggu lalu, akui Memey atau nama sebenarnya, Suhaiza Suhaimi, 25, dia mula selesa dengan imej itu.
"Alhamdulillah, akhirnya di usia ini, saya mendapat hidayah dari-Nya.
"Sebelum ini, abang (Norman) pernah meminta saya untuk bertudung ketika ulang tahun kelahirannya pada 8 Januari lalu.
"Namun, ketika itu saya masih belum bersedia walaupun niat untuk bertudung sudah lama difikirkan. Pun begitu, abang tidak mendesak dan memahami situasi saya. Apabila saya beritahu abang, dia sangat gembira dan menyokong penuh keputusan saya," katanya yang baru sahaja melahirkan bayi pertamanya, Mohamed Darwisz Hakim, pada 1 Februari lalu.
Selain Mohamed Danish Hakim, Memey turut mempunyai dua lagi anak tiri, Marissa Dania Hakim, 6, dan Maria Danisha Hakim, 3, hasil perkongsian hidup Norman bersama bekas isterinya, Abby Abadi.
Ditanya mengenai keputusannya untuk bertudung berkait rapat dengan silaturahimnya bersama Abby Abadi, Memey tidak menafikan perkara itu.
Malah, menurut Memey, dia dan Abby pernah berborak dan Abby turut menasihatinya untuk berhijrah.
"Saya tidak kisah sekiranya ada yang berpendapat, penampilan dan penghijrahan Abby membuatkan saya terpengaruh untuk berhijrah kerana ia adalah sesuatu perkara yang baik.
"Dia (Abby) sering menasihati saya, namun ketika itu hati saya masih belum bersedia dan terbuka untuk berubah.
"Namun, saya tidak setuju jika ada yang mengaitkan saya dengan fahaman politik Abby. Walaupun saya bertudung, namun kami tidak pernah berbincang mengenai politik dan saya memilih untuk tidak mencampuri urusan politiknya," katanya yang mengakui menerima banyak tawaran sejak bertudung.
"Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang lakonan semakin mencurah-curah walaupun saya tampil bertudung.

"Sebelum ini, saya sering dihantui dengan persoalan dan dilema sekiranya perubahan saya ini sukar diterima industri. Namun, saya tak sangka, rezeki saya masih ada.
"Apa yang penting, keikhlasan kita dalam membuat sesuatu keputusan dan percaya pada rezeki ALLAH SWT," katanya yang baru sahaja menjalani penggambaran rancangan, Roda-Roda KL.
Ingin hamil lagi

Walaupun usia Darwisz baru sahaja menghampiri tiga bulan, Memey terpaksa meninggalkan anak kesayangan di bawah jagaan adiknya untuk keluar bekerja.

Menurut Memey, walaupun terpaksa keluar bekerja, namun dia akan tetap mencuri masa untuk bersama puteranya itu.

"Bila saya di set penggambaran, memang tak sabar-sabar rasanya untuk pulang ke rumah. Kadang-kadang, saya akan 'curi masa' sejam dua ketika rehat untuk pulang dan datang semula ke set selepas itu.

"Masa yang ada akan digunakan sepenuhnya untuk keluar bersama dan melayan karenah anak. Walaupun saya masih muda, namun saya perlu belajar untuk menguruskan anak sendiri.

"Saya bersyukur kerana Darwisz sangat baik dan tidak mudah meragam. Malah, melihat keletahnya, saya tidak menolak untuk mengandung lagi," katanya yang turut mengamalkan penyusuan badan kepada anaknya.

Ditanya mengenai siaran drama yang diulang tayang, Memey berkata, dia tidak akan menyalahkan pihak televisyen atau penerbit sekiranya lakonan sebelum bertudung ditayangkan.

"Saya perlu bersikap open minded dan profesional dalam bekerja. Penonton sendiri boleh menilainya.

"Lagipun, sebelum ini, saya bukanlah pelakon yang seksi. Hanya tudung sahaja yang membezakan antara dulu dan sekarang.

"Pun begitu, saya tetap menjaga batas-batas sebagai wanita Muslimah dan bertepatan dengan status serta imej sekarang," katanya.