Saturday, May 25, 2013

Kekal DNA tahan lasak dan jimat bahan api



SELEPAS sekian lama menunggu, trak pikap popular keluaran Isuzu iaitu D-Max generasi kedua akhirnya dilancarkan secara rasmi pada malam Rabu lalu. Jika dilihat kepada skala majlis pengenalannya, Isuzu Malaysia Sdn. Bhd. (Isuzu Malaysia) nampak serius untuk memberitahu semua orang tentang kemunculan produk terkininya itu.
Harus tahu bahawa ia bukanlah model naik taraf. D-Max yang tampil dengan rekaan lebih segar dan kontemporari itu merupakan model serba baharu. Sama ada dari segi penampilan, teknologi, mahupun rangkaian kuasanya.
Model itu sebenarnya telah menjenguk pasaran Thailand sejak tahun 2011. Sambutan yang diterimanya juga amat menggalakkan apabila 250,000 unit telah berjaya dijual. D-Max bukan popular di Thailand sahaja. Kalau dilihat di pasaran antarabangsa, trak pikap itu sudah terjual lebih 2.5 juta unit di 80 buah negara di seluruh dunia.
Program pembangunan komprehensif
Pengguna di Malaysia mula diperkenalkan dengan D-Max pada tahun 2003. Sejak itu, ciri utama D-Max iaitu ketahanan, kebolehpercayaan dan penjimatan bahan api sudah diketahui oleh rakyat negara ini.
Maka, tidak hairanlah jika lebih 30,000 unit D-Max sudah menemui pemiliknya. Malah, semuanya berpuas hati dengan kualiti yang ditawarkannya.
Bagi menjadikannya terus kekal relevan dalam segmen trak pikap yang begitu sengit, D-Max juga telah menjalani proses penambahbaikan sebanyak beberapa kali.
“Pasukan jurutera Isuzu bukan sekadar meningkatkan ciri-ciri utama seperti ketahanan, kebolehpercayaan dan penjimatan bahan api. Malah pakej keseluruhan seperti keselesaan, keselamatan dan prestasi pada Isuzu D-MAX serba baharu ini juga telah dibawa ke tahap lebih tinggi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Kimitoshi Kurokawa.

KUROKAWA (kiri) dan Pengarah Eksekutif Kanan Isuzu Motors Ltd., Katsumasa Nagai ketika melancarkan Isuzu D-Max serba baharu di Kuala Lumpur pada Rabu lalu.


Merupakan hasil daripada program pembangunan paling komprehensif dalam sejarah Isuzu Motors, D-Max kini nyata tampil dengan lebih bersedia untuk memenuhi apa jua keperluan pelanggannya.
Program pembangunan D-Max baharu melibatkan penyelidikan dan kaji selidik pelanggan dari seluruh dunia secara ekstensif. Hasilnya, trak pikap itu mampu menjelma menjadi sebuah kenderaan yang benar-benar tahan lasak. Tidak percaya? D-Max sudah pun ujian ketahanan sejauh lebih empat juta kilometer!
Menyambung kolaborasi daripada model generasi pertama, D-Max baharu turut dibangunkan bersama General Motors (GM). Tetapi Isuzu mengetuai proses pembangunan tersebut. Maka, produk yang mereka hasilkan iaitu D-Max dan Chevrolet Colorado adalah berbeza dari segi enjin, transmisi, dinamik pemanduan dan gayaan luaran. Apa yang sama cuma platform dan ruang dalamannya sahaja.
D-Max kini mempunyai saiz yang lebih besar pada setiap dimensi. Selain mampu menawarkan ruang kabin dan kargo lebih luas, penampilannya juga semakin maskulin dan agresif.
Sekiranya diteliti, profail rekaan badan yang berbentuk seperti baji itu sebenarnya direka untuk kecekapan. Fokus kepada aspek aerodinamik, rekaan itu dicipta menggunakan kemudahan terowong angin milik Institut Penyelidikan Teknikal Kereta Api Jepun. Ia merupakan kemudahan sama yang digunakan untuk membangunkan kereta api laju Jepun yang terkenal itu.
Hasilnya, tahap pekali seretan (coefficient of drag, Cd) D-Max adalah yang paling rendah dalam kelasnya. ia sekaligus menjadikannya sebah kenderaan yang lebih senyap dan cekap terutama ketika memecut di lebuh raya.
Isuzu menyatakan bahawa kualiti ruang kabin D-Max sekarang sudah seperti sebuah SUV. Selepas duduk seketika di dalamnya, saya bersetuju dengan kenyataan tersebut. Ruang kokpitnya kini semakin luas, moden dan mewah.
Sistem audio mewah
Pereka Isuzu memastikan semua butang kawalan diposisikan agar mudah dicari dan dicapai oleh pemandu. Sebagai contoh, posisi pemilihan mod pacuan empat roda sebelum ini diletakkan pada fascia papan pemuka. Kini, tombol itu diletakkan lebih hampir dengan pemandu dan tuil gear. Ini membolehkan pemandu untuk memilih mode pemanduan tanpa perlu mengalihkan pandangan daripada jalan raya.
Kefungsian ruang juga dipertingkatkan. Kini terdapat sepuluh tempat untuk anda meletak minuman dan 15 kompartmen barang, termasuklah di bahagian bawah tempat duduk belakang.
Untuk keselesaan maksimum penumpang, tempat duduk belakangnya mempunyai sudut kedudukan terbaik dalam kelasnya. Ketiga-tiga orang penumpang belakang juga mempunyai perehat kepala dan tali pinggang keledar tiga poin sendiri. Jika tiada penumpang di tengah, perehat tangan boleh diturunkan untuk menambah keselesaan. Untuk mereka yang mempunyai anak kecil, ciri ISOFIX disediakan.
Berita baik untuk peminat muzik, D-Max kini dilengkapi sistem audio mewah yang mampu menghasilkan bunyi berkualiti tinggi. Di samping pembesar suara, Sistem Audio Premium Isuzu turut hadir dengan sepasang tweeter 'exciter' yang dipasang kemas pada kemasan bumbung di bahagian atas kepala penumpang.
Bercakap tentang prestasi pula, sumber kuasa trak pikap tersebut diperoleh daripada unit enjin 2.5 liter Super Commonrail baharu. Ia dilengkapi sistem turbo Variable Geometry System (VGS) yang dikawal oleh komputer.

RUANG kabin trak pikap ini menggunakan warna hitam dan calitan warna perak sebagai latar utamanya.


Enjin berkenaan bukan sahaja memberikan maklum balas pendikit dan prestasi yang lebih baik, malah para jurutera Isuzu berjaya mengimbanginya dengan mengurangkan emisi ekzos serta penggunaan bahan api lebih efisien sehingga sepuluh peratus .
Enjin baharu dengan kod nama 4JK1-TCX itu mampu menghasilkan kuasa sehingga 100kW (136PS) @ 3,600 rpm dan tork 320Nm di antara 1,800rpm hingga 2,800rpm. Ia sememangnya lebih berkuasa jika dibandingkan dengan prestasi enjin 3.0 liter sebelum ini.
Berbanding enjin 2.5 liter terdahulu, kuasa dan tork enjin baharu meningkat sebanyak 17 dan 14 peratus. Selain memaksimumkan kecekapan enjin, pengecas turbo VGS berfungsi menghilangkan 'turbo lag' bagi memberikan pecutan lebih pantas. Saiz intercooler juga ditingkatkan bagi menambah baik prestasi penyejukan dan memastikan suhu operasi yang konsisten untuk jangka hayat enjin lebih lama.
Enjin itu kemudian dipadankan dengan pilihan kotak gear lima kelajuan manual atau automatik yang baharu bersama mode penukaran berurutan bagi memberikan kawalan sepenuhnya kepada pemandu.
Tidak pernah kompromi dengan keselamatan pengguna, D-Max dilengkapi pelbagai ciri keselamatan aktif dan pasif. Misalnya Traction Control System (TCS), Electronic Stability Control (ESC), ABS dengan Electronic Brake Distribution (EBD) dan Brake Assist. Kerangka dan dinamik tubuh juga menerima penambahbaikan ketara.
D-Max ditawarkan melalui lima varian berbeza. Varian-varian tersebut dibezakan oleh sistem pacuan roda, enjin, transmisi, aksesori dan jumlah beg udara yang ada padanya. Harga D-Max bermula dari RM69,799 hingga RM101,150 seunit.
Bagi memberi pilihan lebih luas kepada bakal pemiliknya, D-Max hadir dalam lima warna menarik iaitu merah, kelabu, hitam, putih dan perak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: