Wednesday, May 8, 2013

Kejayaan Amy Mastura Kerana Bijak Urus Kerjaya, Rumah Tangga

Amy Mastura.
PETALING JAYA: Penyanyi Amy Mastura menyifatkan pengurusan jadual kerja yang baik amat penting buat dalam mengendalikan jadual kerja dan juga hal rumah tangga.
Amy atau nama penuhnya Amy Mastura Suhaimi, 42, berkata, sebagai seorang isteri, ibu, penyanyi dan pelakon, dia perlu bijak membahagikan masa agar kesemua tanggungjawab itu berjalan dengan lancar.
"Sebagai seorang wanita, kita mempunyai tanggungjawab besar dalam hal pengurusan rumah tangga lebih-lebih lagi berkaitan anak-anak.
"Memandangkan saya juga mempunyai karier sendiri, jadi pengurusan kerja yang baik amat penting.
"Pada mulanya mungkin agak sukar untuk membahagikan masa, tetapi lama-lama ia sangat mudah dan kita sudah boleh mengagak dan merancang masa dalam setiap perkara yang ingin dilakukan," katanya.
Bagaimanapun tambah Amy yang kini popular dengan lagu Tapi Itu Dulu, keluarga akan menjadi keutamaa dalam setiap keputusan yang dilakukan.
Sementara itu, beritahu Amy , dia juga tidak menghalang anaknya untuk berkecimpung dalam dunia seni lebih-lebih lagi apabila melihat anak keduanya iaitu Adalia, 7, meminati bidang lakonan.
"Saya tak pernah menghalang minat anak-anak. Andai kata mereka ingin mengikuti jejak langkah saya dalam dunia seni, saya benarkan.
"Asalkan mereka tidak buat benda-benda yang tidak elok sudah cukup.
"Setakat ini apa yang saya nampak, Adalia begitu bersemangat dalam hal-hal berkaitan lakonan. Dia juga sebelum ini pernah membintangi teater Gamat bersama-sama dengan saya," tuturnya.
Dalam perkembangan lain, Amy bakal muncul dengan teater Nyonya & The Gang yang bakal dipentaskan bermula 14 hingga 20 Jun depan.
Nyonya & The Gang yang merupakan sebuah persembahan teater yang menggabungkan dua cerita dalam satu pementasan turut menampilkan barisan pelakon Mardiana Alwi, Misha Omar, Rozita Che Wan, Taiyuddin Bakar dan Fara Fauzana.
"Ini merupakan penglibatan teater 'berat' pertama saya bawakan. Selama ini saya hanya berlakon teater berkonsepkan kanak-kanak.
"Harap-harap lakonan saya berkesan dalam teater ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: