|
BARANGKALI pagi Isnin bukan detik ideal untuk memulakan bicara serius, tapi ruang masa yang diluangkan bersama penyanyi berkulit hitam manis, Nurul Huda Abdul Wahab atau sekarang lebih dikenali dengan panggilan Nurul Depp mengubah atmosfera serta-merta.
Personaliti menarik, ceria disuntik pancaran seri wajah seorang bakal ibu buat ke sekian kalinya selepas hampir 15 tahun melupakan saat-saat getir bersalin, Nurul tidak lokek berkongsi cerita dan perkembangan terbaharunya.
Kata Nurul, biar usia kandungannya kini memasuki 17 minggu (empat bulan), dia masih kekal aktif dan akan terus bekerja sehingga pertengahan bulan Julai depan sebelum dijangka bersalin pada 15 Oktober.
"Dua bulan pertama saya tiada tenaga untuk menyanyi dan rasa terlalu penat. Tapi dalam masa sama saya teruja dan apabila disahkan mengandung, pengalaman ini ibarat kali pertama. Bayangkan selepas 15 tahun tidak mengandung.
"Saya sekarang semakin matang. Kalau dulu mengandung waktu muda saya tidak rasa apa-apa, tapi sekarang tindakan saya lebih tersusun dan kegembiraan itu payah untuk digambarkan.
"Eric (suami) orang yang paling teruja dan sibuk membuat persiapan menyambut kelahiran anak pertamanya. Cuma kami belum membeli pakaian bayi lagi kerana belum tahu jantina," tutur Nurul membuka perbualan.
Melanjutkan bicara usai fotonya dibidik oleh jurugambar Kosmo! Syefry Moniz di butik Syomir Izwa, kata Nurul nalurinya merasakan bayi yang dikandung kini adalah lelaki.
Tanpa berselindung, dia mengakui mahukan cahaya mata lelaki pula selepas anak sulungnya, Ayu Nazirah yang kini sedang menuntut di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor menjadi pengarang jantungnya lebih sedekad.
|
Risiko
Nurul bersyukur diberikan peluang untuk mengandung lagi pada usia 36 tahun. Ujarnya, dia hanya mahu memikirkan hal yang positif dan memfokuskan kesihatan diri serta kandungan sahaja.
"Memang saya ada terbaca risiko mendapat anak sindrom down tinggi apabila hamil pada usia 30-an, tapi saya berdoa agar diberikan kesejahteraan kepada keluarga saya dan bayi yang di kandung. Alhamdulillah, tiada penyakit genetik dalam sejarah keluarga saya sebelum ini.
"Saya mahu fokuskan perkara yang baik-baik saja. Hamil adalah perkara yang saya hajati sebelum berumur 35 tahun. Saya merancang untuk mempunyai dua orang cahaya mata lagi selepas ini, Insya-Allah," katanya yang sudah mula menyusun jadual untuk merakamkan single terbaharu selepas bersalin kelak.
Berkongsi sedikit pengalaman ketika fasa awal hamil sekitar bulan Februari lalu, pelantun lagu Kerana Terluka itu pernah pengsan akibat terlalu tertekan dan panik ketika terbabit dalam sebuah acara di Johor.
"Saya mempunyai penyakit SVT (Supraventricular Tachycardia) iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan kadar degupan jantung bertambah dua kali ganda dan kemuncaknya akan menyebabkan pengsan. Entah bagaimana, ketika hari kejadian saya sedikit tertekan, panik dan terlalu penat. Akhirnya saya rebah dengan penuh bergaya bak kata kru produksi," selanya bersulam ketawa.
Berkahwin dengan lelaki yang berbeza adat, budaya dan bahasa tidak melunturkan rasa cinta Nurul buat Eric. Bagaimanapun, dia mengakui sikap lelaki dari negara Perancis itu berbeza dengan watak tipikal warga tempatan.
"Mereka tidak suka mendedahkan hal peribadi kepada khalayak. Kerja adalah kerja! Kalau perlu, dia akan tampil ke depan (publisiti) tapi kebanyakannya dia menolak. Itulah yang menampakkan kami seperti 'low profile'," kata Nurul yang akan ke Perancis menghabiskan kursus bahasa Perancis ketika cuti musim panas di sana tidak lama lagi.
Berita blog
Memilih untuk berkongsi berita kehamilannya menerusi blog miliknya, nurulwahabdepp.wordpress.com yang telah mula beroperasi sejak lapan bulan lalu, kata Nurul bukan niatnya untuk berlagak sombong atau enggan berkongsi dengan rakan-rakan media.
"Blog itu umpama diari saya tempat saya meluahkan segalanya dari sisi lain seorang Nurul Wahab. Ia ibarat surat terbuka kepada peminat dan pengunjung blog saya. Saya menulis setiap apa yang saya rasa atau fikir, ia cuma pandangan saya dari sudut berbeza daripada sebelum ini.
"Saya mengumumkan kehamilan saya menerusi blog untuk mendapatkan hit mendadak serta-merta untuk tujuan perniagaan selepas ini. Tiada terdetik dalam hati saya untuk berlagak. Lagi pun, saya tidak mahu pilih kasih kepada kawan-kawan media dan biarlah berita itu sampai secara serentak kepada semua," tegas Nurul yang kini sedang sibuk menjadi juri program nyanyian kanak-kanak, Ceria Popstar.
Meneroka ruang sedikit serius mengenai naik turun kariernya sebagai anak seni sejak usianya bergelar remaja lagi, kata Nurul senario itu ibarat alah bias tegal biasa.
"Perkara pokok apabila memasuki industri hiburan adalah jangan melakukan kesilapan, menjaga disiplin dan perhubungan dengan orang sekeliling. Mungkin adakalanya kesilapan itu datang daripada orang lain, tapi kita perlu bijak merencanakan perjalanan seterusnya selepas tersungkur.
"Saya mengaku saya pernah tersilap langkah dan akhirnya saya tidak mendapat lagu yang bagus, tapi saya belajar daripada ralat itu dan bersaing secara sihat. Saya kurang pendedahan menerusi televisyen dan orang yang tidak melihat saya mungkin anggap saya sudah tidak aktif lagi.
"Paling penting, anggap kerjaya sebagai satu bisnes! Ada produksi, penganjur dan pelanggan yang perlu kita jaga sebaik mungkin. Apabila sudah usaha, tapi orang tidak suka kita tidak boleh buat apa-apa lagi," kata Nurul serius.
Dalam pada itu, nasihat Nurul kepada pelapis baharu; "Selagi ada bakat teruskan apa yang sedang dilakukan. Jangan jadi artis yang mahu ada nama untuk mengejar sesuatu lain, senang cakap 'jangan menyemak'!"
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: