Hijabista TV yang diterjemahkan dari majalah Hijabista itu dikendalikan empat pengacara baru iaitu, Syakirin Husnal, Yasmin Matthews, Dayah Bakar dan Faatin Akib.
Pertama kali bergelar pengacara dan menggalas tugas berat bagi memastikan Hijabista TV terus menarik, empat pengacara ini sedia menerima kritikan membina bagi memperbaiki kemahiran mereka.
Gadis kacukan Melayu-British, Yasmin Matthews Mohd Redwan, 21 yang baru pertama kali bergelar pengacara ini akui dirinya masih mentah dalam dunia pengacaraan dan sedia menerima kritikan daripada penonton.
“Saya baru lagi, kalau penampilan saya dalam Hijabista ini mendapat kritikan, saya akan terima. Mungkin ada betul dalam apa yang mereka katakan.
“Jadi, saya akan cuba perbetulkan diri, baiki apa yang patut. Tetapi jika saya masih terus dikritik, tak boleh buat apalah,” katanya kepada Sinar Harian Online, ketika ditemui baru-baru ini.
Yasmin yang baru bertudung sekitar lapan bulan lalu merupakan penyanyi band indie, Maddthelin.
Apa yang menarik, Yasmin akui banyak belajar menjadi lebih kewanitaan melalui program Hijabista TV ini.
“Pada awalnya, mereka bimbang juga sebab saya macam ganas sedikit tapi bukan saya nak jadi ganas...inilah saya.
“Jadi, apabila menjadi pengacara di Hijabista ini, saya belajar banyak untuk menjadi lebih perempuan,” kata pelajar tahun kedua jurusan Seni Bina di IUKL ini.
Faatin Akib, 23 turut menyuarakan perkara sama memandangkan dirinya juga tidak mempunyai sebarang latar belakang berkaitan dunia penyiaran.
“Mungkin hanya 10 orang yang mengkritik, tapi 100 orang yang puji. Tapi jika kritikan itu memang yang perlu kita ubah, Faatin akan ubahlah,” katanya yang baru menamatkan pengajian dalam bidang Teknologi Maklumat di UKM.
Berkongsi pengalaman menjadi pengacara TV buat pertama kali, Faatin menafikan kekok.
“Kami berempat dapat bekerjasama dengan baik mungkin kerana jarak umur kami yang dekat. Jadi, tak rasa buat kerja. Macam keluar dengan kawan-kawan, cuma ada kamera ikut,” katanya yang memasang impian untuk berniaga sendiri.
Penulis lirik lagu Sisa Kisah Kita, Dayah Bakar, 24 pula tidak menyangka terpilih antara ratusan peserta yang datang ke uji bakat Hijabista, hujung tahun lalu.
“Ini pertama kali saya cuba nasib dalam pengacaraan. Saya pun tak sangka terpilih untuk jadi pengacara Hijabista.
“Jika selepas ini saya dikritik, saya akan cuba mencari kebenaran di sebalik kritikan itu, dan baiki. Apa-apa yang ke arah kebaikan, saya terima. Macam mana pun, kena terus positif,” katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Sivil) dari UIAM.
Sementara wajah pengacara yang satu ini mungkin tidak asing, namun Syakirin Husnal masih dikategorikan baru dalam dunia pengacaraan.
Pernah bergelar peserta rancangan realiti On Air sebelum ini bukan tiket kepada pengacara berusia 24 tahun ini untuk mengacarakan Hijabista TV.
“Saya terpilih di Hijabista ini bukan atas bantuan Astro, meskipun saya berada di bawah Astro. Saya sendiri yang pergi ke uji bakat. Alhamdulillah, apabila saya diterima, pihak On Air Talent Management turut menyokong saya.
“Hijabista merupakan program pertama saya sebab sebelum ini saya hanya mengendalikan berita,” kata anak kelahiran Pahang ini.
Syakirin dilihat mempunyai kelebihan dari sudut pengalaman jika dibandingkan dengan tiga hos Hijabista yang lain.
“Seorang pengacara yang baik bukan seorang yang ‘conquer’ dan ‘over-shadow co-host’ tapi memberi peluang serta sokong bahan ‘co-host’. Itu yang saya buat. Orang lain saya tak tahu.
“Saya terbuka kepada kritikan membina. Saya masih baru dalam industri ini dan masih banyak kena belajar dan perbaiki. Jadi, mana-mana kritikan yang boleh membantu saya menjadi seorang pengacara yang lebih berkualiti, saya tak keberatan untuk pertimbangkan,” katanya.
Bersiaran setiap Ahad pada jam 7 malam di Astro Ria, penonton bakal disajikan empat segmen menarik dalam setiap episod iaitu, Travel in Style, Bicara Personaliti, Pilihan Editor dan Drama Mini bersiri ‘Dunia Lola’.
Dunia Lola turut menampilkan Nelydia Senrose, Mira Filzah, Ryzal Jaafar, Mustapha Kamal dan Susan Manen.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: