Saturday, May 4, 2013

Gabenor Jakarta lancar projek MRT selepas 20 tahun


GABENOR Jakarta, Joko Widodo (tengah) menunjukkan pelan MRT di hadapan sekumpulan wartawan di Jakarta, semalam.


JAKARTA - Gabenor Jakarta yang baru, Joko Widodo semalam melancarkan projek kereta api transit massa (MRT) bagi membantu mengurangkan kesesakan bandar raya ini.
Projek itu juga dilihat sebagai ujian pertama buat Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi untuk menunaikan janjinya menghapuskan rasuah dan ketidakcekapan pengurusan sejak dilantik menjadi gabenor tujuh bulan lalu.
Projek MRT tersebut telah tertangguh sejak 20 tahun lalu. "Jokowi tidak mempunyai pilihan selain membina MRT untuk memuaskan hati golongan pertengahan yang kian bertambah.
"Namun MRT ini tidak akan mampu menyelesaikan masalah kesesakan di Jakarta dalam tempoh jangka panjang kerana permintaan terhadap pengangkutan awam amat tinggi," kata ketua kumpulan pemikir urban yang berpangkalan di Jakarta, Rujak, Marco Kusumawijaya.
Dua buah konsortium dari Jepun dan syarikat milik kerajaan dijangka memulakan pembinaan fasa pertama MRT yang bernilai AS$1.7 bilion (RM5.15 bilion) menjelang akhir tahun ini.
Agensi Koperasi Antarabangsa Jepun telah bersetuju untuk membiayai hampir 75 peratus kos pembinaan landasan pertama melalui pinjaman mudah. Sementara baki kos akan ditanggung oleh kerajaan Indonesia.
Walaupun berdepan banyak kritikan, Jokowi terus popular dan dilihat sebagai calon berpotensi untuk menjadi presiden dalam pilihan raya umum tahun depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: