Saturday, May 25, 2013

Dua tayar khas untuk negara ASEAN



TREND para pengeluar motosikal membawa masuk dan melancarkan produk baharu nampaknya agak rancak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pelbagai model yang ditawarkan oleh pemain-pemain dalam pasaran sudah berwajah baharu. Sekali gus membuatkan segmen motosikal sedia ada kini menjadi semakin meriah.
Contoh mudah, motosikal kembara, motard, off-road, jentera berkuasa tinggi, skuter maxi dan motosikal berkuasa tinggi boleh dilihat di mana-mana sahaja.
Salah satu faktor penyumbang kepada situasi itu adalah kuasa pasaran dan pemansuhan duti import motosikal dari negara-negara ASEAN (ASEAN CKD).
Malah, motosikal juga tidak lagi dilihat sebagai kenderaan kegunaan harian semata-mata. Ia menjadi sebahagian daripada gaya hidup pemiliknya.
“Lihat sahaja pada kehadiran Kawasaki Ninja 250 dan Honda CBR250R di atas jalan raya di negara ASEAN. Pengguna motosikal di Asia Tenggara lebih cenderung ke arah keseronokan tunggangan.
“Ini mewujudkan keperluan untuk produk-produk lebih sesuai dengan corak kegunaan jentera,” kata Pengarah Komersial Dua Roda Michelin Asia Pasifik dan India, Laurent Lemonnier pada taklimat dua produk terbaharu Michelin di Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Tambahnya, Michelin percaya Asia Tenggara berpotensi muncul sebagai pasaran paling pantas berkembang di dunia tidak lama lagi.
Pilot Street
Bersandarkan kepada perkembangan itu, Michelin menghasilkan dua rangkaian tayar khas untuk para pengguna negara ASEAN iaitu Pilot Street dan Pilot Street Radial.
Pilot Street dibangunkan untuk kegunaan harian iaitu 100 peratus di atas jalan raya biasa. Tayar itu ditumpukan kepada kelas motosikal di bawah 250cc.
Profail penggunanya ialah golongan lelaki muda urban yang meminati sukan bermotor. Mereka juga mementingkan imej motosikal.
Corak penggunaan pula lebih ke arah tunggangan sporty dengan purata jarak tunggangan sekitar 150km sehari.

KUMPULAN peserta sedang bersiap sedia untuk menguji tayar Michelin Pilot Street di Bangkok baru-baru ini.


Jadi, kumpulan sasar itu mengharapkan tayar yang memberi pengendalian terbaik, kestabilan dan tunggangan tepat, jangka hayat lebih lama, selain cengkaman di atas jalan basah atau kering.
Pilot Street Radial
Demi menampung keperluan segmen jentera supersports berkapasiti 250cc pula, Michelin tampil dengan Pilot Street Radial.
Bezanya, produk itu sudah dicampur dengan silika dalam kandungan getah tayar. Silika ialah material yang diekstrak daripada pasir.
Campuran silika pada bunga tayar dapat membantu mengurangkan rintangan, menjimatkan minyak dan menambah baik aspek cengkaman di atas jalan basah.
Rangkaian tayar terbaharu itu direka di Pusat Teknologi Michelin di Ladoux, Perancis. Kilang pengeluarannya pula terletak di Thailand.
Saya bersama kumpulan media Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam berpeluang menguji Pilot Street dan Polit Steet Radial di Thailand Circuit Nakhon Chaisri, Bangkok.
Dua baris motosikal berkapasiti 250cc disediakan. Barisan pertama dilengkapi tayar standard keluaran kilang. Barisan kedua menggunakan Pilot Sport Radial.
Pusingan pertama menggunakan tayar standard, sebelum ia ditukar dengan tayar Pilot Street Radial.
Sewaktu tunggangan lurus, tidak banyak perbezaan di antara tayar standard dan Michelin. Tetapi perbezaan dapat dirasai ketika di selekoh.

KEKUATAN cengkaman dapat dirasai dengan agak ketara apabila motosikal dipasang tayar Pilot Street Radial.


Apabila keluar dari kawasan selekoh dan pendikit minyak dipulas lebih, saya mendapati Pilot Street Radial lebih stabil cengkamannya.
Selepas sembilan pusingan di litar, apa saya boleh katakan ialah produk Michelin itu memberi keyakinan untuk menurunkan jentera lebih rapat ke bahu litar. Tayar belakang nyata tidak membuang.
Kami kemudian beralih kepada tunggangan motosikal underbone. Tayar digunakan ialah Pilot Street jenis tiub.
Ujian sama dibuat pada jentera 125cc itu. Tahap cengkaman tayar cukup memuaskan, sehinggakan pemijak kaki menyentuh litar.
Bagi menguji aspek kendalian tayar Pilot Street, kami dijemput untuk menunggang di trek berhalang dengan had masa 45 saat sahaja.

KUMPULAN media yang hadir di Thailand Circuit Nakhon Chaisri, Bangkok untuk sesi pelancaran rangkaian tayar Michelin Pilot Street dan Pilot Street Radial.


Cabaran setiap penunggang ialah meniti titi kayu, membelok di sudut berbentuk huruf L, membuat pusingan kecil di lorong sempit dan slalom.
Itulah antara halangan yang lazimnya dihadapi ketika mengharungi kesesakan lalu lintas di bandar. Bukan mahu puji lebih-lebih, tetapi prestasi tayar itu memang cukup memuaskan.
Senarai harga tayar Pilot Street dan Pilot Street Radial untuk pasaran tempatan masih belum diumumkan secara rasmi.
Pengedar tunggal tayar motosikal Michelin untuk Malaysia ialah Verati Sdn. Bhd. Maklumat lanjut berkenaan tawaran tayar itu boleh didapati dengan menghubungi talian 03-9075 2609 atau e-mel ke alamat info@verati.net.
Pengenalan dua rangkaian tayar itu disifatkan sebagai satu permulaan bagi Michelin di ASEAN. Bak kata Lemonnier, banyak lagi model akan ditawarkan tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: