Air mata saya sangat berharga
Fizo fokus pada kerjaya dan bisnes.
PELAKON kacak, Fizo Omar sering membawakan watak yang menuntutnya bermain dengan emosi.

Akui perkara itu tidak mudah kerana dirinya seorang yang sukar menangis.

“Ia tidak mudah. Saya sebenarnya seorang yang sangat susah nak menangis. Air mata saya sangat berharga. Saya cuma menangis atas sebab-sebab tertentu.

“Cuma, dalam lakonan apabila kita menghayati, lakonan semuanya adalah tentang imaginasi. Kalau imaginasi tinggi, fokus okey, insya-ALLAH apa yang kita nak buat itu menjadi,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui, baru-baru ini.

Dalam drama lakonannya yang terbaru, Surat Dari Langit Biru, Fizo membawakan watak berbeza dari kebiasaan.

Fizo akui dibenci penonton ekoran watak antagonis yang dibawanya dalam drama Surat Dari Langit Biru.

Namun begitu, pelakon berusia 28 tahun ini menganggap kebencian itu sebagai satu kejayaannya membawakan watak tersebut.

“Saya sudah mencuba bawa watak baik dan watak jahat tetapi maklum balas yang saya terima apabila saya bawa watak jahat, contohnya dalam Surat Dari Langit Biru...ramai yang benci dengan saya. Ada yang maki hamun saya.

“Memang itu pertama kali selepas lima tahun saya berlakon. Alhamdulillah lah sebab apabila orang benci itu maksudnya, apa yang saya cuba sampaikan kepada penonton itu berjaya,” katanya yang kini baru selesai dengan penggambaran filem Cinderella.

Meskipun begitu, Fizo beranggapan watak baik lebih sinonim dengannya.

“Tapi ramai yang lagi suka saya bawa watak-watak yang baik, drama, yang buat orang menangis bila babak sedih. Saya rasa watak itu lebih sinonim dengan saya,” katanya.

Cerita tentang Fizo putus cinta sudah bukan rahsia lagi.

Meskipun tidak mahu menjaja kisah cintanya, namun Fizo akur dengan statusnya sebagai ‘public figure’.

“Saya sebenarnya tidak suka bercakap tentang kisah cinta saya dalam media, baik Twitter, akhbar atau TV. Tetapi sebagai ‘public figure’, inilah pengorbanan saya. Ini harga yang perlu saya bayar sebagai selebriti.

“Sedikitlah yang saya boleh cakap tentang kisah cinta saya, mungkin belum ada jodoh untuk bersama. Saya baru putus cinta. Mungkin inilah masa untuk saya lebih fokus pada kerjaya dan bisnes saya. Mungkin dia bukan untuk saya dan saya bukan untuk dia,” katanya.