Thursday, May 2, 2013

A.Aida & Suffian Sah Cerai Talak Dua

A.Aida berasa lega kerana perceraiannya berjalan dengan baik.
KUALA LUMPUR: Konflik rumah tangga pelakon dan penerbit, A. Aida dan suaminya Deputi Superintenden (DSP) Suffian Sulaiman akhirnya selesai apabila pasangan itu sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada pagi Khamis.
Sehubungan itu A.Aida selaku plaintif menarik balik permohonannya untuk bercerai secara fasakh yang difailkan pada 2 November lalu mengikut Seksyen 52, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Kebenaran Penceraian Secara Fasakh).
Lafaz cerai dibuat Suffian di dalam kamar di hadapan Hakim Syarie Umamuddin Yunus dan mahkamah yang menyabitkan lafaz cerai itu sebagai sah memerintahkan A.Aida untuk menjalani tempoh edah selama tiga bulan bermula Khamis.
Proses penceraian pasangan itu sebelum ini tertangguh apabila Suffian selaku defendan membuat beberapa tuntutan terhadap plaintif sebelum bersetuju untuk bercerai secara baik.
A.Aida sebelum ini menganggap tuntutan yang dibuat oleh defendan sebagai keterlaluan dan melampaui batas menyebabkan dia terpaksa memfailkan fasakh.
Pasangan itu hadir ditemani peguam masing-masing pada prosiding itu.
Kes pasangan itu dibicarakan di bawah Seksyen 47, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Kebenaran Penceraian Secara Baik).
Dalam pada itu, mahkamah memerintahkan Suffian untuk membayar edah sebanyak RM3,000 kepada plaintif dan pihak defendan bersetuju untuk memberikan nafkah anak sebanyak RM300 sebulan.
Peguam syarie kepada plaintif iaitu Zulkifli Che Yong ketika ditemui luar mahkamah memberitahu mahkamah turut membenarkan memberi hak penjagaan kekal anak lelaki mereka Muhammad Rahul, yang berusia empat tahun kepada plaintif sementara defendan mendapat hak lawatan dan bermalam dua kali sebulan pada setiap Sabtu dan Ahad.
Mahkamah turut bersetuju permohonan plaintif untuk memberi sebuah rumah yang didaftarkan secara bersama dengan Suffian kepada anak lelaki mereka itu.
Zulkifli berkata proses itu akan mengikut konsep hibah (pemindahan hak milik harta secara percuma semasa hidup orang yang berhak terhadap harta) dan nazar itu telah lama dilakukan semenjak mereka mendapat anak lelaki.
"Bagi mengelakkan sebarang pertikaian terhadap rumah berkenaan kerana ia didaftarkan atas nama mereka berdua dan sebab itu plaintif dengan rela hati ingin menukar bahagian namanya pada rumah berkenaan kepada anak lelaki tunggalnya.
"Ia merupakan hasrat dan nazarnya apabila dikurniakan anak lelaki dan ingin memberikan rumah tersebut kepada Muhammad Rahul," katanya.
Suffian (kanan) ditemani peguamnya, Ismail Mohamad memberitahu pihak media dia tidak mahu mempunyai apa-apa kaitan lagi dengan A.Aida
Mahu cerai talak tiga
Sementara itu, Suffian yang diwakili peguam syarie, Ismail Mohamad ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu dia pada asalnya ingin melafazkan cerai dengan talak tiga terhadap plaintif namun mahkamah tidak membenarkan dia berbuat demikian.
Suffian berkata, dia ingin melafazkan talak tersebut kerana tidak mahu ada apa-apa kaitan lagi dengan bekas isterinya itu.
"Saya tidak mahu lagi kembali kepadanya (Aida). Cukup sampai di sini sahaja dan sebab itu saya mahu cerai talak tiga tetapi mahkamah tidak membenarkan saya berbuat demikian.
"Bagaimanapun saya bersyukur kerana semuanya telah selesai dengan baik pada hari ini (Khamis) dan fokus utama sekarang adalah untuk sama-sama membesarkan anak kami," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Aida berkata, dia lega apabila 'drama' kekecohan rumah tangganya selesai tanpa sebarang masalah rumit dan dia sudah bersedia untuk memulakan hidup baru.
Tambah Aida, dia terkejut dengan tindakan Suffian yang ingin menceraikannya dengan talak tiga dan menganggap tindakan itu sengaja ingin menghinanya sebagai wanita.
"Apa yang lebih penting kini sudah tidak ada apa-apa lagi bebanan yang perlu saya pikul dan urusan selepas ini akan lebih mudah. Alhamdulillah segala-galanya telah selesai," katanya.
A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 42, berkahwin dengan Suffian yang bertugas sebagai Ketua Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Logistik, Bukit Aman Kuala Lumpur, pada 20 April 2007.
Suffian yang merupakan sorang duda sebelum ini turut mempunyai beberapa orang anak hasil perkahwinan terdahulu.
Sebelum berkahwin dengan Suffian, A. Aida pernah bernikah dengan bekas vokalis kumpulan Spring iaitu Ameng pada tahun 1994 dan berpisah pada tahun 2003.
Hasil perkahwinan itu mereka mendapat dua orang anak iaitu Wan Az Aleesa, 16, dan Wan Azevanatassha yang berusia 11 tahun.
A.Aida juga pernah berkahwin dengan seorang anggota polis berpangkat biasa sebelum mengenali Suffian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: