Thursday, March 14, 2013

Ziana perlukan RM2 juta


PENGURUS Besar Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Hasni Hashim (tiga dari kiri) bersama selebriti (dari kiri) Tauke daripada kumpulan Jambu, Ziana Zain dan Awie tidak ketinggalan menghulurkan derma bagi tabung Lahad Datu pada sidang media mengenai minggu setiausaha di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di Johor Bahru baru-baru ini.


SELEPAS impian yang dipendam oleh Anuar Zain untuk muncul dengan konsert solo yang diberi judul Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari tercapai 16 Februari lalu, kini, kakaknya, Ziana Zain turut mengidamkan perkara yang sama.
Ujar Ziana, dia kagum dengan kesabaran Anuar yang sanggup menunggu kira-kira 30 tahun untuk berbuat demikian.
Hasilnya, penghibur itu berjaya mengumpulkan kira-kira 6,000 peminat fanatiknya di Stadium Malawati, Shah Alam untuk menikmati alunan muziknya.
Justeru, kata Ziana, kejayaan adik kandungnya itu memberi inspirasi kepadanya untuk mengikut jejak langkah yang sama.
Pelantun lagu Kemelut Di Muara Kasih itu yakin, meskipun usianya kini menginjak 45 tahun, auranya masih luar biasa dan vokalnya tetap berbisa.
Ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Minggu Setiausaha yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada), Johor Bahru pada 10 April ini, Ziana meluahkan segalanya kepada Kosmo!. Ikuti temu bual bersama Ziana.
Kosmo!: Selepas menunggu hampir 30 tahun, akhirnya Anuar Zain berjaya mengadakan konsert solo yang disifatkan begitu berjaya. Justeru, bagaimana Ziana melihat perkembangan ini?
ZIANA ZAIN: Sebenarnya, saya sudah lama mengidamkan untuk muncul dengan konsert solo. Namun, untuk berbuat demikian bukanlah sesuatu yang mudah kerana kos yang perlu dibelanjakan sangat tinggi. Kalau setakat perbelanjaannya menelan sekitar RM500,000 bagi saya ia tidak apa-apa. Untuk pengetahuan semua, bagi penganjuran konsert solo berskala besar, saya perlukan sekurang-kurangnya RM2 juta hingga RM3 juta untuk merealisasikannya. Dalam hal ini, penaja memainkan peranan yang penting.
Ziana bukan asing kepada industri hiburan dan mempunyai nama yang cukup besar dalam bidang ini. Memang sukarkah untuk menarik penaja untuk menaja konsert Ziana?
Itulah sebenarnya, di manakah pergi semua penaja? Kenapa tidak ada penaja yang sanggup menaja kami artis tempatan? Namun, untuk membawa artis luar negara, penaja dilihat begitu berminat. Mentaliti sesetengah penaja ini cukup menyedihkan kami.
Melihat layanan kelas kedua itu, apakah harapan Ziana agar kemelut ini tidak berterusan?
Sebelum saya menjawab soalan itu, ingin saya kongsikan bahawa di Malaysia, kalau seseorang penyanyi itu hendak buat konsert, ada yang sanggup jual rumah dan kereta. Rintihan kami tidak mendapat perhatian mereka. Jadi, saya berharap selepas ini ada pihak yang buka mata dan dapat menaja penyanyi kita untuk buat konsert solo sendiri di tempat sendiri.
Dalam perkembangan berkaitan, bila agaknya Ziana mahu muncul dengan album baharu?
Belum pasti lagi kerana sekarang ini trend artis ialah mengeluarkan single terlebih dulu. Bagi saya, pendekatan itu lebih baik. Saya juga masih lagi menunggu sekurang-kurangnya tiga buah single selepas Dingin, Pawana dan Misteri Cinta (duet bersama Sohaimi Meor Hassan). Insya-Allah, semuanya dalam perancangan.
Jika tidak silap, ini merupakan kunjungan Ziana kali kedua untuk majlis minggu setiausaha di Johor setelah beberapa tahun tidak berkunjung ke sini. Jadi apa agaknya persembahan yang akan dipersembahkan khusus untuk para setiausaha di negeri ini?
Istimewanya pada kali ini, saya akan berkolaborasi bersama pasangan duet saya iaitu rockers terkenal, Awie. Saya percaya, gandingan kami dinanti-nantikan oleh ramai peminat. Selain itu, sudah semestinya saya akan menyanyikan beberapa lagu hit termasuk lagu-lagu terkini saya. Persembahan yang bakal berlangsung selama tiga jam itu turut menampilkan naib juara Maharaja Lawak Mega 2012, Jambu, selain penampilan istimewa pelakon kacak dari Singapura, Ady Putra. Cadangan untuk membawakan lagu rakyat Johor, turut saya pertimbangkan nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: