Pemandu, Mohd Azrul Hamid, 26, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika dia bersama pengawal keselamatan dan dua pengendali wang pemindahan (CIT) dalam perjalanan ke sebuah bank di Batang Kali.
Katanya, sebaik membelok di persimpangan itu, dia gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan terbalik kerana jalan berpasir.
“Jalan berpasir, jadi masa membelok menghala ke Rasa, van terbabas ke kanan dan terbalik sebelum melanggar pembahagi jalan.
"Tapi, saya bersama tiga yang lain bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di tempat kejadian.
Mohd Azrul berkata, terdapat 13 beg besar dan enam beg kecil mengandungi wang tunai dianggarkan lebih RM12 juta untuk kegunaan mesin juruwang automatik (ATM) serta deposit tunai, tersimpan dalam peti simpanan keselamatan van itu.
Menurutnya, jumlah berkenaan dinilai berdasarkan bilangan bil yang ada dengan setiap satu bil tertera jumlah RM500,000 dan ia tidak termasuk enam beg kecil berisi simpanan wang tunai.
“Kami baru selesai urusan di bank sekitar Rawang, Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung. Sepatutnya wang ini dibawa ke Batang Kali sebelum berakhir di Tanjung Malim.
“Tapi disebabkan kemalangan, kami perlu tunggu van keselamatan lain untuk membawanya,” katanya.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, wang itu berjaya dipindahkan ke van lain tepat jam 2 petang dengan kawalan ketat polis bersenjata.
Penduduk sekitar turut berkumpul menyaksikan pemindahan wang melebihi RM12 juta itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: