Wednesday, March 20, 2013
Umie Aida mahu anak
MASUK tiga tahun usia perkahwinan pelakon terkenal Datin Paduka Umie Aida dan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan pada tanggal 14 Mac lalu namun, tempoh itu kata Umie ibarat baru tiga hari.
Umie yang ditemui ketika tayangan perdana filem Sembunyi: Amukan Azazil di Cathay Cineleisure e@Curve, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini memberitahu dia teringin untuk mempunyai zuriat sendiri.
Dalam pada itu, Umie, 40, menyatakan impian dan harapan masa depan sepanjang melayari bahtera rumah tangga bersama Khairuddin selain perancangannya dalam karier.
Kosmo! mendapatkan kenyataan lanjut daripada Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-16 itu.
Kosmo!: Tiga tahun tempoh perkahwinan Umie bersama Datuk Khairuddin, bagaimanakah perjalanan kehidupan berumah tangga dan apakah harapan Umie selepas ini?
UMIE AIDA: Tidak sangka sebenarnya sudah tiga tahun kami berkahwin, rasanya seperti baru tiga hari (ketawa). Sangat sekejap. Saya berdoa supaya Tuhan beri rezeki untuk saya mempunyai anak sendiri.
Mungkinkah Umie sendiri ada mendapatkan rawatan tertentu sama ada secara tradisional atau moden untuk tujuan mendapatkan zuriat?
Saya sentiasa mengharap dan mencuba, tidak berhenti berikhtiar. Selain mengambil vitamin dan pil hormon, saya juga sebenarnya dinasihatkan untuk mendapatkan rehat yang secukupnya oleh doktor. Tapi masalahnya, saya seorang yang tidak boleh duduk diam dan suka bekerja. Selain sibuk dengan penggambaran, saya juga aktif bersukan menerusi kelab sukan yang saya tubuhkan iaitu Kelab Sukan Sutera yang biasanya melibatkan aktiviti badminton bersama selebriti.
Terlibat dengan filem seram pertama arahan Kabir Bhatia, Sembunyi: Amukan Azazil, sudi sekiranya Umie menceritakan sedikit sebanyak watak dalam filem ini?
Saya melakonkan watak Ibu Yani, seorang wanita misteri yang handal mengubati orang yang sakit di kampungnya. Tapi jalan cerita dan watak saya selanjutnya tidak boleh didedahkan sebaliknya, penonton sendiri perlu menyaksikan filem ini terlebih dahulu.
Apakah cabaran dalam filem ini?
Saya perlu memakai topeng silikon yang memerlukan tempoh masa lebih dua jam untuk disolek. Sepanjang tempoh penggambaran, adakalanya saya harus memakai topeng itu dari petang sampai ke malam dan apabila berpeluh topeng itu akan terkopek kemudian terpaksa disolek semula berkali-kali. Selain itu, faktor cuaca yang tidak menentu, penggambaran yang dilakukan di dalam hutan pada bulan puasa sedikit sebanyak menguji ketahanan mental dan fizikal kami sebagai pelakon.
Antara rumah tangga dan karier, yang mana prioriti?
Lakonan tiada nombor bagi saya dan saya akan sentiasa merindui dan akan terus melakukannya. Mengenai kepuasan watak kali ini, saya seronok untuk melakonkan watak yang berbeza daripada sebelum ini. Walaupun watak seakan-akan sama dengan drama Kekasihku Seru, tapi watak kali ini lebih terbuka dan tidak selantang drama itu. Melaksanakan sesuatu watak menjadi lain mencabar kerjaya sebagai pelakon sebenarnya.
Apakah perkembangan terkini Umie?
Saya baru selesai penggambaran telefilem arahan Erma Fatima berjudul Aku Tahu bersama Erra Fazira dan Aqasha. Selain itu saya kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri Ummi arahan Faisal Ishak. Insya-Allah tahun ini menerusi syarikat milik bersama saya dan Erra Fazira, Frensis Production kami akan menerbitkan sebuah teater yang judulnya masih dirahsiakan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: