|
AKTRES popular Tiz Zaqyah kini lebih bersikap terbuka bercerita tentang kekasih baharunya, Daniel Haziq berbanding ketika dia bercinta dengan aktor Remy Ishak dahulu.
Tidak hanya terbuka bercerita, Tiz juga seringkali memuat naik gambar dia bersama kekasihnya itu di laman sosial instagram miliknya untuk tatapan peminat-peminatnya.
Menurut Tiz, kematangannya berada dalam industri membuatkan dirinya memahami situasi berkongsi hal peribadi dengan peminat adalah lebih baik daripada berselindung.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Tiz selanjutnya mengenai kekasihnya itu dan juga pendedahan Tiz mengenai gandingannya bersama bekas kekasihnya, Remy dalam drama Cinta Jangan Pergi ketika ditemui pada majlis pratonton drama arahan Khabir Bhatia itu di Panggung Cathay Cineplex Cineleisure, Petaling Jaya, Selangor kelmarin.
Kosmo!: Kenapakah Tiz kini lebih bersikap terbuka bercerita dan berkongsi gambar mengenai kekasih berbanding percintaan dahulu?
TIZ: Kalau kita sorok mengenai perkara ini (percintaan bersama Daniel), lambat laun orang tetap tahu. Lebih baik saya kongsikan kepada peminat. Lagipun, saya lebih selesa berkongsi daripada menyorokkannya.
Ada khabar mengatakan anda bersikap begitu (bercerita dan muat naik gambar kekasih) kerana mahu membalas dendam kepada Remy? Benarkah begitu?
Tidaklah. Lebih baik kita hormat antara satu sama lain. Setelah berada lama dalam industri seni, saya lebih matang dan tahu perkara peribadi juga harus dikongsikan kepada peminat. Tetapi tidaklah berkongsi perkara yang terlalu peribadi.
Bagaimanakah penerimaan kekasih mengenai tindakan Tiz bercerita dan muat naik gambarnya?
Dia terkejut kerana instagramnya tiba-tiba ramai pengikut (ketawa).
Berapa lamakah hubungan anda dan Daniel berlangsung?
Sudah masuk tiga bulan.
Bagaimanakah anda berdua boleh bertemu?
Dia (Daniel) adalah rakan sekolah menengah saya. Kami berjumpa semula ketika majlis reunion sekolah dan akhirnya rapat.
Apakah menyebabkan anda jatuh cinta padanya?
Dia seorang yang lemah lembut dan sangat penyabar.
Boleh ceritakan mengenai gandingan anda bersama Remy dalam drama Cinta Jangan Pergi?
Saya dan Remy berbincang untuk cuba menampilkan kelainan daripada segi karakter berbanding ketika kami berlakon bersama dalam drama Nur Kasih. Drama ini sangat bagus dan saya yakin ia dapat menyentuh hati penonton.
Bagaimanakah perasaan anda berlakon bersama Remy dalam drama Cinta Jangan Pergi? Khabarnya ketika itu anda berdua baru berpisah?
Memang saya akui sukar untuk kami berlakon bersama sebagai pasangan kekasih sedangkan ketika itu kami sudah berpisah. Tetapi saya cuba bersikap profesional. Akhirnya, saya okey dan tidak ada masalah berlakon bersamanya.
Bagaimanakah jika selepas ini anda dan Remy digandingkan lagi untuk filem dan drama lain?
Kalau ada tawaran berlakon bersama lagi saya tiada masalah, cuma kalau boleh tak nak selalu sangat, takut penonton bosan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: