Ketiga-tiga badan itu ialah Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP), Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan Public Perfomance Malaysia Sdn Bhd (PPM).
Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abd. Halim berkata, dengan pengiktirafan terbabit, ia diharap tidak berlaku kekeliruan siapakah pihak yang layak bagi menjalankan urusan berkenaan.
“Ketiga-tiga badan tersebut telah mendapat sijil pengisytiharan sebagai sebuah badan pelesenan daripada kerajaan untuk menjalankan kerja-kerja kutipan royalti.
“Entiti ini akan melaksanakan peranan mereka secara telus dan juga berintegriti untuk urusan agihan dan kutipan royalti kepada mereka yang layak menerimanya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis sidang media bersama melibatkan badan-badan berkenaan di Hotel Le Meridien di sini pada Selasa.
Turut hadir Pengerusi MACP, Habsah Hassan, Pengerusi PPM, Adrian Lim dan Pengerusi RPM, Datuk Sheila Majid.
Untuk rekod, MACP bertindak sebagai agensi pengutip royalti untuk komposer dan penulis lirik membabitkan 3,100 penulis tempatan serta dua juta komposer dan penulis asing seluruh dunia. Ia turut melibatkan 12 juta karya muzik.
RPM pula yang ditubuhkan hampir dua tahun lalu dianggotai kira-kira 250 ahli mewakili artis rakaman bunyi dan pemuzik sementara PPM adalah agensi yang berperanan menyediakan perkhidmatan kolektif untuk manfaat pengguna muzik dan syarikat rakaman di negara ini.
MACP mendapat perisytiharan tersebut pada September 2012 manakala PPM dan RPM masing-masing pada 6 Mac lalu oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Sehubungan itu Norman berkata, semua pihak haruslah memberi kerjasama termasuklah menyokong badan ini terutamanya di kalangan karyawan seni dan mereka yang berhak untuk mendapat royalti.
Sementara itu Sheila berkata, keanggotaan RPM yang dilihat agak sedikit itu bukanlah halangan untuk pihaknya menjalankan urusan berkenaan dan berharap mereka yang layak agar mendaftar sebagai ahli secepat mungkin bagi memudahkan soal kutipan dan agihan royalti.
Jelas Shiela, beliau akan memastikan RPM bukan sahaja bersifat telus terhadap amanah yang diberikan tetapi pelaksanaannya akan lebih sistematik agar ia selari dengan tahap piawaian kutipan royalti peringkat dunia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: