Friday, March 8, 2013

Tidak mahu bersikap hipokrit

NABILA sedar setiap perlakuannya menjadi perhatian, namun dia tidak mahu terkongkong dengan persepsi khalayak.


CAKAP apa saja mengenai Nabila Huda, pelakon berwajah eksotik itu tetap dengan pendiriannya menggayakan apa jua busana seksi. Bukan bertujuan mencetuskan kontroversi tetapi, ungkap Nabila, itu adalah kehidupannya dan dia tidak mahu bersikap hipokrit.
Penampilan seksi Nabila atau lebih mesra disapa Abil itu bukan satu isu baharu. Ia isu lapuk yang sering dibangkitkan setiap kali aktres tersebut tampil dalam mana-mana acara hiburan, mahupun bergaya untuk kehidupan peribadinya.
Terbaharu, Nabila sekali lagi tampil seksi mengenakan bikini ketika bercuti di Pulau Mabul, Sabah dan memuat naik gambar-gambarnya bercuti di laman sosial Instagram miliknya, selain aksi dia bergambar dengan seorang model lelaki untuk muka depan sebuah majalah yang menjadi bualan.
Masih menerima kutukan dan amarah daripada peminat-peminatnya menerusi gambar-gambar tersebut, Nabila tetap bergaya seksi ketika menghadiri Festival Filem Malaysia yang ke-25 di Pusat Konvesnyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.
Pelakon berusia 29 tahun itu mengakui gambar-gambar yang dimuat naik di laman sosial Instagram miliknya bukan bertujuan untuk menimbulkan kontroversi tetapi sekadar untuk berkongsi tentang kegiatannya dengan peminat.
Ungkap heroin filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam itu, gambar tersebut kebanyakannya berkisark tentang tempat-tempat cantik yang pernah dikunjungi ketika penggambaran atau percutian.
NABILA memberitahu dia tidak terburu-buru untuk berkahwin semula.


"Ini adalah kehidupan saya. Jadi kenapa saya perlu hipokrit? Sebenarnya bukan pakaian yang ingin saya tunjukkan sebaliknya gambar pemandangan tempat percutian yang saya pergi.
"Saya tidak perlu privasikan gambar-gambar saya kerana saya public figure. Saya cuba normalkan kehidupan saya," jelasnya yang mengakui bukan mudah hidup sebagai seorang selebriti yang sentiasa diperhatikan orang.
Pinta anak kepada legenda rock, Amy Search itu, jika terdapat cerita kontroversi mengenai dirinya jangan melibatkan ayahnya kerana dia (Amy) tidak tahu aktiviti anaknya itu.
"Apabila ada perkara negatif mengenai saya, tolong cari saya sahaja. Jangan melibatkan ayah saya kerana saya sudah besar dan mempunyai kehidupan saya sendiri serta rumah sendiri.
"Saya tidak mahu dia risau dan kalau boleh saya mahu dia melihat bakat dan mutu kerja berbanding kontroversi saya," luahnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar pengumuman Rafflesia sebagai penaja Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) di Kuala Lumpur.
Putus asa
Mengulas mengenai kutukan yang diterimanya, ujar Nabila, dia pernah berasa putus asa daripada dunia seni tetapi minatnya yang mendalam dalam lakonan membuatkannya kuat dan tidak berputus asa.
"Saya pernah rasa putus asa dengan komen-komen orang. Ada yang cakap akidah saya terpesong dan sebagainya. Tetapi kerana minat yang mendalam dalam dunia lakonan saya tidak putus asa," ulasnya yang tidak mahu lagi ambil peduli apa yang orang ramai katakan.
Tutup kisah kontroversi, Nabila bercerita pula mengenai perkembangan terbaharunya. Ibu kepada Keisha Laila, 3, itu bakal menjalani penggambaran pada bulan April ini untuk sebuah filem berjudul Yasmin.
Ujar Nabila, filem tersebut merupakan pencapaian tertingginya sebagai seorang pelakon kerana ia dihasilkan melalui gabungan Malaysia dengan dua buah lagi negara iaitu Indonesia dan Brunei.
"Ini adalah pencapaian terbesar yang diperoleh selama saya berkecimpung dalam bidang lakonan. Mungkin ini adalah peluang saya untuk mengembangkan karier lakonan ke negara Indonesia," ujarnya yang enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai filem tersebut.
Pada majlis sidang akhbar pengumuman Rafflesia sebagai penaja Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) itu bersama anak perempuannya, Keisha, ibu tunggal itu diajukan soalan bagaimana menjaga puteri kesayangannya memandangkan dia sibuk berlakon.
NABILA bersama anak kesayangannya, Keisha Laila. Dia mahu anaknya yang berusia tiga tahun itu menjadi seorang penyanyi.


Tidak sempurna
Ujarnya, walaupun dia tidak sempurna sebagai seorang ibu, dia juga berusaha memberikan yang terbaik buat masa depan anaknya.
Buat masa sekarang, kongsinya, dia akan memberi pendedahan kepada anaknya dengan membawa Keisha ke majlis-majlis hiburan dan juga lokasi penggambaran.
Bukan mendedahkannya kepada dunia lakonan, tetapi, menurut Nabila, dia mahu anaknya pandai bergaul dengan orang.
"Saya tidak sempurna seperti ibu-ibu yang lain, tetapi saya akan pastikan kasih sayang dan perhatian saya tidak kurang untuk dia.
"Bukan bermakna saya bawa dia ke lokasi penggambaran kerana ingin dia menjadi seorang pelakon. Kalau boleh saya mahu dia menjadi seorang pemuzik," tuturnya yang mahu anaknya mengikut jejak langkah seperti datuknya, Amy Search.
Mengakui sangat rapat dengan anaknya, jelas Nabila, setiap kali ada kelapangan dan tidak menjalani sebarang penggambaran drama atau filem, dia akan menghabiskan masa berkualiti dengan Keisha.
Ujarnya, dia dan Keisha lebih suka duduk di rumah dan dia memasak serta menghabiskan masa menonton televisyen bersama.
Ditebak sama ada dia tidak membawa anaknya bercuti ke pulau, ujar Nabila, Keisha masih lagi kecil dan tidak sesuai dibawa bercuti ke pulau dan menjalani aktiviti lasak.
"Dia kecil lagi. Tidak sesuai bawa pergi bercuti jauh atau ke pulau. Kalau saya mahu bawa dia mungkin hanya di pulau-pulau berdekatan saja," jelasnya.
Ujarnya lagi, jika dia sibuk bekerja Keisha akan dijaga oleh pembantu rumahnya. Keisha juga dihantar ke rumah Amy dan kadangkala anaknya itu juga dijaga oleh bekas suaminya, Zaidi Zailani.
Walaupun sudah bercerai, Nabila mahu Keisha mendapat kasih sayang yang lengkap daripada mereka sebagai ibu dan bapa kandungnya.
Nabila dan Zaidi bercerai pada Ogos 2011 kerana tiada persefahaman selepas tiga tahun berkahwin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: