|
PERCERAIAN bukan suatu yang mudah diterima oleh kebanyakan pasangan yang telah berkahwin.
Namun, jika sudah ditakdirkan berpisah, maka sesiapa sahaja harus menerima takdir yang telah ditentukan walaupun pahit untuk ditelan.
Begitulah kisah wanita yang bernama Diyana Mastura Jaafar atau lebih dikenali sebagai Ana Dahlia. Dia menjadi salah seorang mangsa perceraian setelah bercerai dengan bekas suaminya, Chef Riz pada hujung tahun lalu.
Namun jika melihat raut wajah Ana, tidak sedikitpun ditunjukkan kesedihan dan kepedihan yang mungkin sedang dialami olehnya kini.
Menjalani kehidupan seperti biasa, Ana mengakui dia banyak memberi tumpuan terhadap karier sebagai seorang anak seni.
"Selepas bercerai dan sebaik memasuki tahun 2013, saya banyak fokuskan terhadap kerjaya sebagai seorang pelakon.
"Kini, saya bakal muncul dalam sebuah drama yang berjudul Kerana Lelaki Itu dan seterusnya Nyiur Nan Sebatang untuk siaran RTM," tutur Ana tentang jadual kerja terkininya.
|
Gunakan pengalaman
Cerita Ana, setelah sering diberi watak antagonis, sebenarnya dia kini lebih gemar untuk membawa watak wanita baik. Melalui drama Kerana Lelaki Itu, dia yang membawa watak sebagai Munirah memberitahu ia merupakan karakter yang memang digemarinya.
"Munirah merupakan satu watak wanita yang beremosi dan banyak bermain dengan air mata. Namun, watak ini punya cabarannya. Malah, ada babak yang memerlukan saya menangis seharian.
"Jadi, apabila perlu banyak menangis, saya menjadi terlalu letih dan sakit. Mujur pengarah begitu memahami dan tidak memaksa saya untuk melakukan penggambaran apabila melihat keadaan saya begitu," ujar Ana.
Kerana Lelaki Itu, jelas Ana lagi berkisah tentang keputusan seorang wanita yang berkahwin hanya selepas berkenalan dengan suaminya dalam masa yang singkat.
Mungkin secara tidak sengaja, ia juga turut terkena tempias kepada Ana sendiri yang baru sahaja mengalami pengalaman yang memeritkan dalam hidupnya. Jadi, dia banyak menggunakan pengalamannya sendiri untuk menghayati watak tersebut.
Akui rezeki terhadap dunia lakonan makin bertambah, Ana sentiasa bersyukur dan katanya, setakat ini, karier menjadi fokus utama dan dia tidak lagi mahu memikirkan tentang perkara lain.
|
Tertekan
Hanya sempat melayari alam rumah tangga selama 11 bulan bersama Mohd. Nadzri Redzuawan atau Chef Riz dan kemudian berpisah, Ana tanpa berselindung mengaku dia sangat tertekan dengan kejadian yang menimpa dirinya.
"Saya memang rasa sangat lemah serta tidak ada semangat mahu pergi bekerja atau berjumpa dengan sesiapa.
"Dalam masa seminggu atau dua saya mengalami kejadian sukar untuk tidur. Sehinggakan ketika itu (sewaktu baru bercerai) saya rasa seperti ingin mengambil pil tidur sebagai penyelesai masalah saya.
"Namun, syukur saya masih berfikir secara positif bahawa mungkin satu hari nanti saya benar-benar akan mendapat seseorang yang lebih baik.
"Selain itu, rakan baik dan keluarga memang banyak menyokong saya terutamanya adik lelaki saya, Mohd. Zulfahmi," luah Ana yang sentiasa mengukir senyuman sepanjang ditemu ramah.
Tidak mahu dianggap sudah serik dengan lelaki, jelas Ana, jika benar dia ditakdirkan bertemu jodoh dengan seseorang, biarlah dia bertemu dengan seorang lelaki yang setia dan menyayanginya.
Bagaimanapun, buat masa ini ujarnya dia belum terbuka hati untuk menerima mana-mana lelaki dalam hidupnya.
Ujarnya: "Kini saya tidak mahu mencari atau boleh dikatakan buat masa ini, hati saya masih sukar untuk percaya dan terima lelaki. Namun, bagi saya pemulihan dan terapi terbaik sekarang ialah fokus pada kerjaya.
"Walaupun saya masih terasa dengan apa yang terjadi, namun rasanya tidak perlu saya tunjukkan kesedihan yang dialami kepada orang lain.
"Saya juga tidak mahu keluarga nampak saya tertekan dan bersedih," jelasnya yang banyak berdoa semoga semuanya berjalan dengan baik.
Tambahnya, dia sudah memaafkan bekas suami dengan apa yang telah terjadi. Malah, sewaktu diminta memberi komen terhadap gambar bekas suaminya bersama seorang wanita yang tersebar di internet baru-baru ini, Ana enggan memberi komen panjang lebar.
Dia sebaliknya hanya berkata: "Saya harap dia (Chef Riz) bahagia dengan wanita itu dan kehidupannya sekarang. Saya juga harap selepas ini jangan suka menuding jari mencari kesalahan saya lagi."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: