Wanita berusia 25 tahun ini berkata, faktor itu mungkin disebabkan dia tidak mempunyai laman sosial khas ataupun menubuhkan kelab peminatnya seperti yang dilakukan artis lain.
"Saya tidak pernah rasa saya ada peminat, saya tiada ‘Facebook Fanpage’ atau kelab peminat. Mungkin ada yang mengenali saya sebagai pelakon tapi bukan peminat.
"Sebab itu jika ada orang yang senyum ketika jumpa saya di luar, mulalah saya rasa janggal," katanya.
Disebabkan itu juga, Anzalna berkata dia tidak pernah terfikir untuk memenangi sebarang anugerah dalam industri hiburan terutama berkaitan undian peminat.
Dia juga sedar kerjaya sebagai anak seni yang dikecapnya baru sahaja bermula dan masih banyak yang perlu dipelajari.
"Saya tidak pernah terfikir untuk rangkul sebarang anugerah dalam industri hiburan buat masa ini.
"Namun bukan bermakna saya tidak pernah impikan untuk itu, semua pelakon ada impian untuk dapat anugerah sebagai tanda penghargaan," katanya.
Dalam pada itu, Anzalna mengakui lebih selektif dalam memilih watak dan drama yang akan dilakonkan.
"Sebelum ini saya dikenali dengan watak-watak antagonis dan perempuan jahat, bagi saya watak itu mudah untuk dilakonkan kerana kita boleh keluarkan apa yang kita mahu.
"Tapi tahun ini saya ingin cuba watak-watak baik pula, saya mahu penonton melihat saya dari pelbagai watak dan bukan haya satu watak sahaja," ujarnya yang membawakan watak utama dalam drama Bangkitnya Seorang Perempuan di slot Samarinda, TV3 bermula Rabu.
Sementara itu, bercakap tentang kontroversi, dia sekarang lebih bersedia berhadapan dengan gosip dan kontroversi yang mungkin melanda dirinya selepas berhadapan dengan beberapa kontroversi pada awal kemunculannya tahun lalu.
Pelakon filem Sepah The Movie ini menganggap perkara itu sebagai lumrah kehidupan yang terpaksa dilalui apabila bergelar anak seni.
Jelasnya, peristiwa lalu memberi banyak pengalaman dan pengajaran kepadanya untuk lebih berhati-hati ketika berbicara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: