Sunday, March 17, 2013

Single Kembara ubat rindu peminat


ANGGOTA- ANGGOTA Kembara yang akan muncul di Esplanade, Singapura, dari kiri, Sharum Basiron, Md. Shah Othman, Datuk M. Nasir, Rahman Suri dan Zoul.


UNTUK generasi X, nama Kembara wujud dalam minda mereka sebagai salah satu grup yang melakar sejarah industri muzik dengan lagu-lagu yang tersendiri. Generasi terkini pula mengenali lagu-lagu Kembara hanya dengan menonton di internet atau mendengar lagu mereka berkumandang di udara. Jelas untuk menonton persembahan mereka baik Kembara versi trio atau generasi kedua, tidak terjangkau mata.
Namun untuk sebuah realiti dan impian yang mahu dijadikan nyata, grup yang mula ditubuhkan pada tahun 1980-an itu berkumpul semula atas nama Konsert Kembara Rakyat. Himpunan dua generasi grup Kembara ini akan memeriahkan ruang Esplanade, Singapura pada 30 Mac ini sekali gus sebuah peluang yang tidak patut dilepaskan.
Single Kembara
Lagu-lagu hit dan punya pengertian tersendiri seperti Ekspres Rakyat, Gerhana, Hati Emas, Kolar Biru dan Duit yang merupakan lagu-lagu siulan anak muda awal 1980-an akan dibawakan oleh grup yang awalnya dianggotai oleh Datuk M. Nasir, S. Sahlan dan A. Ali.
Menariknya, atas kesedaran bahawa lagu-lagu senandung rakyat mereka masih mendapat tempat, anggota kumpulan Kembara berhasrat untuk menerbitkan single baharu sebagai hadiah kepada peminat yang masih menyokong mereka.
Salah seorang pengasas kumpulan Kembara, M. Nasir yang masih aktif berkarya hingga hari ini berkata, selain single baharu, kumpulan tersebut juga berhasrat untuk merakam semula semua lagu-lagu lama mereka dalam bentuk akustik.
"Mungkin Kembara akan merakam semula semua lagu yang pernah dirakamkan sebelum ini ataupun mungkin sebuah lagu baharu, perancangan ke arah itu ada dan satu kemungkinan besar," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan untuk Konsert Ekspres Rakyat Kembara di Muzium Toko, Yayasan Warisan di Johor Bahru untuk rakaman bersama Astro Awani.
Menambah cerita itu, A. Ali berkata, perbincangan untuk menerbitkan sebuah single baharu sedang berjalan bersama syarikat rakaman Luncai Emas. Menurutnya, ketiga-tiga anggota Kembara perlu bersama mencari melodi yang sesuai dan membuat susunan muzik yang beridentitikan Kembara.
Lirik pula akan diserahkan kepada S. Amin Shahab atau M. Nasir sendiri kerana Kembara lebih sinonim dengan lirik ciptaan mereka berdua.
"Kalau 10 atau 12 lagu lama sahaja tidak mencukupi, kami mesti perlu ada satu lagu baharu untuk Kembara.
"Kita akan usaha mencari jalan dengan mencari melodi yang berkonsep Kembara. Kita bertiga berkumpul, keluarlah identiti Kembara, lirik antara Amin Shahab atau M. Nasir, memang tidak jauhlah, dia macam adik-beradik," kata A. Ali yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu 1987 menerusi lagu Menaruh Harapan nyanyian Zaiton Sameon.
Sementara seorang lagi anggota Kembara, S. Sahlan berkata, kemungkinan untuk Kembara keluar dengan sebuah single baharu tidak mustahil kerana mereka benar-benar berjiwa muzik.
"Masih dalam perbincangan. Kalau perbincangan berjalan lancar, kami teruskan, pasal jiwa kami jiwa orang muzik lagi," katanya bersemangat.
Konsert untuk tatapan mata
Giat menjalankan latihan untuk konsert di Esplanade Singapura pada 30 Mac nanti, ini merupakan konsert pertama mereka selepas 20 tahun tidak mengadakan persembahan bersama.

LAGU-LAGU seperti Gerhana, Hati Emas dan Duit akan berkumandang setelah 20 tahun Kembara tidak mengadakan konsert.


Konsert Ekspres Rakyat Kembara akan menampilkan kesemua anggota asal kumpulan tersebut dan akan menjadi salah satu konsert yang dinantikan oleh peminat di Singapura kerana Kembara merupakan ikon muzik negara tersebut.
Bagi penerbit bersekutu Konsert Ekspres Rakyat Kembara, Norhayati Yusuf, kumpulan ini dipilih kerana mereka membawa kelainan berbanding kumpulan muzik lain. Selain itu Kembara dipilih kerana kualiti lagu dan muzik yang mereka bawakan yang masih tiada gantinya.
Perbincangan untuk mengadakan konsert ini sudah dilakukan sejak setahun yang lalu bersama beberapa pihak termasuk anggota kumpulan Kembara.
"Kembara membawa kelainan untuk pemuzik dan juga peminat di Singapura, di Malaysia dan mungkin juga di Indonesia jadi kerana itu kita membawa balik Kembara.
"Saya tahu ramai peminat di luar sana yang menunggukan kepulangan mereka jadi kerana itu dan saya tahu tentang kualiti yang akan dibawa oleh kumpulan Kembara," katanya
Menurut Norhayati, Kembara mempunyai pengaruh yang besar dalam kalangan pemuzik tempatan termasuk pemuzik muda.
"Ramai yang merindukan lagu-lagu yang berkualiti seperti ini seperti yang akan anda dengar dalam konsert Kembara nanti," katanya yang turut merancang persembahan beberapa artis lain di Esplanade tahun ini.
Bagi M. Nasir, nostalgia ketika Kembara masih aktif mungkin tidak dapat dirasakan ketika konsert di Esplanade nanti namun katanya, dengan semua anggota asal masih bersama, kerinduan peminat terhadap Kembara akan terubat.
"Ini agak berbeza, mungkin tidak akan sama. Insya-Allah ia akan mengembalikan nostalgia," katanya yang mahu susunan muzik asal dikekalkan untuk konsert itu nanti.
Selepas konsert di Singapura, kumpulan Kembara berhasrat untuk mengadakan konsert di Kuala Lumpur dan beberapa lokasi lain.
Untuk konsert selama lebih dua jam ini nanti latihan telah diadakan sejak beberapa bulan yang lalu. Mereka tidak mahu berada di atas pentas tanpa persediaan yang rapi hingga menghilangkan kualiti kumpulan Kembara yang pernah umum kenali.
"Kalau tidak betul-betul kita tidak mahu buat. Kita tidak suka kalau tidak serius, jadi kalau mahu buat bagilah kami enam bulan untuk latihan atau setahun latihan sampai keluar (kualiti) apa yang orang hendak dengar," kata A. Ali yang menegaskan Kembara bukan hanya muzik tetapi perjalanan setiap individu dalam menempuh hidup.
Mereka berharap konsert ini akan menjadi kenangan terindah buat semua peminat muzik terutama peminat kumpulan Kembara dan mampu mengubat kerinduan sebahagian besar mereka yang lama menantikannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: