Tuesday, March 5, 2013
Sindiket seludup diesel tumpas
KOTA TINGGI – Satu sindiket penyeludupan diesel bersubsidi dipercayai terbesar di negeri ini tumpas selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 membuat serbuan di jeti pemunggahan kargo Tanjung Belungkor, Pengerang di sini awal pagi semalam.
Timbalan Komander PPM Wilayah 2, Superintendan N. Kalai Chelvan berkata, ketika diserbu kira-kira pukul 12.30 pagi, beberapa pekerja sindiket yang didalangi rakyat Singapura itu sedang leka mengepam minyak diesel daripada sembilan buah treler ke dalam sebuah kapal tangki.
Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya merampas sebanyak 300 tan metrik diesel bersubsidi dianggarkan bernilai RM600,000 dan menahan 20 lelaki berusia antara 20 hingga 40-an, terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar, Singapura dan rakyat tempatan.
Mereka yang ditahan terdiri daripada sembilan pemandu treler, seorang penyelia kargo dan 10 anak kapal tangki berkenaan.
“Kejayaan ini merupakan hasil daripada intipan selama dua hari. Ketika kejadian, kami membuat serbuan dari dua penjuru melalui darat dan laut menyebabkan sindiket ini tidak sempat melarikan diri.
“Hasil siasatan awal, kami percaya sindiket ini merupakan yang besar memandangkan penyelia kargo mengaku terdapat lebih 10 buah kapal milik mereka yang sentiasa keluar masuk ke jeti ini untuk memunggah minyak diesel,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di jeti berkenaan semalam.
Menurut Kalai Chelvan, kapal tangki berkenaan mampu mengisi sebanyak 400 tan metrik minyak.
Ketika ditahan, ujarnya, hanya terdapat 200 tan metrik minyak di dalam kapal dan selebihnya 200 tan metrik) di dalam kesemua sembilan lori tangki berkenaan.
Jelasnya, siasatan mendapati, minyak diesel terbabit diperoleh dari beberapa kawasan termasuk Kulaijaya, Johor Bahru dan Mersing sebelum dipindahkan ke kapal tangki berkenaan untuk dijual kepada kapal dagang yang berlabuh di perairan Johor Timur.
“Siasatan awal juga mendapati, sindiket ini beroperasi sejak setahun lalu, manakala kapal tangki yang didaftarkan di negara ini adalah kepunyaan seorang warga Singapura.
Beliau berkata, kesemua rampasan dan tahanan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: