Monday, March 11, 2013

Sentimen cinta Muslimah

BLAUS rona lembut ini pasti menyerlahkan keayuan.


CINTA merupakan nilai paling kerap dibicarakan individu. Sama ada dalam hubungan kekasih, suami isteri mahupun sesama sahabat, cinta sering menjadi kayu ukur dalam sesuatu keputusan.
Begitu juga dalam dunia fesyen, kecintaan terhadap sesuatu gaya mendorong seseorang memilih penampilan yang mampu melambangkan personaliti diri mereka.
Perkataan cinta dalam bahasa Rusia, lyubove barangkali asing dalam kamus harian kita. Oleh yang demikian, seorang pengusaha label Muslimah tempatan, Hani Mohd., 27, tampil berbeza dengan memperkenalkan jenama fesyennya, MoyaLyubove.
Sentimen cinta dalam pakaian Muslimah rekaannya menarik pandangan mata dan mampu menggetar hati kaum Adam yang mengerling ke arah wanita berbusana MoyaLyubove.
“Kami menyediakan banyak item berkonsep Muslimah. Antaranya ialah blaus yang didatangkan dalam lima koleksi seperti MoyaElyda, MoyaNezara dan MoyaDhuhaa.
“Setiap koleksi blaus dihasilkan daripada material berbeza. MoyaElyda menggunakan sepenuhnya kapas Itali manakala MoyaNezara pula diperbuat daripada campuran likra kosong dan bercetak.
“Potongannya longgar dan sengaja direka kembang agar syarat menutup aurat itu tidak lari. Kami mahu mendidik pembeli kami berfesyen dengan cara yang betul terutamanya dari segi hukum berpakaian yang dianjurkan agama Islam,” jelas Hani yang juga bertugas sebagai seorang peguam.
Banyak menerapkan rona pastel, blaus-blaus MoyaLyubove juga bermain dengan blok warna seperti merah, ungu cair, hitam dan putih kekelabuan (off white).
Penataan coraknya juga kurang dan lebih menekankan kepada busana polos yang ringkas. Tetapi usah risau, wanita yang sukakan pakaian bercorak boleh memilih busana dengan cetakan puak (tribe).
Kelebihan pada blaus daripada MoyaLyubove itu juga terletak pada fungsinya. Zip pada bahagian depan blaus memudahkan wanita yang menyusukan anak untuk melakukan tugas itu tanpa gusar.
Selendang
Sementara itu, bagi melengkapkan gaya minimalis, tutup kepala anda dengan selendang koleksi Zahra keluaran MoyaLyubove. Variasi warna lembut tanpa sebarang corak pasti membuatkan anda selesa, tambahan pula ia diperbuat daripada sifon georget.
“Selendang kami juga direka lebih besar daripada biasa supaya ia dapat menutup penuh bahagian depan tubuh,” ujar Hani.
Bagi mendapatkan harga istimewa item-item MoyaLyubove, anda boleh pergi ke laman rasmi Facebook MoyaLyubove menggunakan nama MoyaLyubove.
Seterusnya, klik butang Like dan tulis mesej anda pada ruangan Message dengan menyatakan ‘saya mengetahui tentang MoyaLyubove daripada akhbar Kosmo!’.
Tawaran tersebut dibuka bermula hari ini sehingga penghujung Mac ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: