Saturday, March 9, 2013

Remy, Maya semakin intim

PROFESIONAL. Hubungan cinta mereka yang berakhir tidak menghalang Tiz dan Remy bergandingan dengan penuh serasi dalam drama Cinta Jangan Pergi.


AKTOR popular Remy Ishak mengakui hubungannya bersama aktres jelita Maya Karin kini semakin intim.
Semuanya gara-gara kekerapan mereka menghabiskan masa bersama seperti keluar makan dan juga melakukan aktiviti lasak.
Begitupun, akui Remy jujur, hubungannya dengan Maya sekadar teman rapat dan belum sampai ke peringkat bercinta.
“Saya akui rapat dengan Maya, tetapi kami tidak mempunyai hubungan istimewa. Walau bagaimanapun, untuk masa depan saya tidak tahu hubungan kami macam mana,” ungkap Remy sekali gus menimbulkan tanda tanya adakah mereka kini dalam proses sedang mengenali hati budi.
Merupakan satu-satunya sahabat wanita yang paling rapat, ujar Remy, dia menyukai Maya kerana mereka mempunyai minat yang sama iaitu melakukan aktiviti lasak.
Dedahnya mengenai peribadi Maya, pelakon wanita terbaik Filem Festival Malaysia ke-25 itu bukan sahaja seorang yang cantik tetapi juga bijak, aktif dan juga berpengetahuan.
“Dia (Maya) merupakan seorang wanita yang mempunyai sikap yang menyenangkan,” luah Remy yang kini dilihat sedikit terbuka bercerita mengenai hubungannya bersama Maya.
Mengulas mengenai percutiannya bersama Maya ke Sabah baru-baru ini, ujar Remy, dia pergi atas jemputan daripada Maya sendiri dan juga pihak Yayasan Sabah.
Bercuti ke Imbak Canyon, Sabah selama empat hari, ujar Remy, dia ke sana bukan hanya ditemani Maya seorang sebaliknya pihak Yayasan Sabah turut bersama mereka.
“Maya menjemput saya ke Sabah bersama pihak Yayasan Sabah bukan semata-mata ingin bercuti sebaliknya mengkaji haiwan dan ekologi di hutan simpan.
“Saya setuju kerana sebelum ini saya hanya meredah hutan, tetapi kali ini aktiviti lasak yang saya lakukan dapat menambah pengetahuan saya tentang alam sekitar dan memupuk saya untuk lebih mencintai alam sekitar,” ceritanya.
Doa buat Tiz
Ditebak kenapa sebelum ini dia sukar untuk membuka mulut bercerita mengenai hal peribadi, kata Remy, dia tidak pandai untuk menyuarakan hal peribadi kepada umum.
Remy juga berharap peminatnya terima dan menghormati pendiriannya yang lebih suka berahsia tentang peribadi.
“Saya tidak nafikan ramai yang salah tafsir tentang diri saya. Puncanya, sebab saya berdiam diri dan tidak suka bercerita tentang peribadi.
“Saya bukan garang tapi tidak tahulah sebab saya jenis orang yang tidak suka bercakap tentang hal peribadi,” ujarnya menolak anggapan sesetengah pihak mengatakan dia seorang yang panas baran.

REMY mengakui Maya merupakan satu-satunya sahabat wanita yang kini rapat dengan dirinya.


Terlanjur berbicara tentang peribadi, Remy turut ditanya adakah dia tahu Tiz kini sudah mempunyai kekasih baharu.
Ujar Remy, dia tahu mengenai perkara itu (kekasih baharu Tiz) melalui teman-teman mereka dan mendoakan yang terbaik untuk bekas kekasihnya itu.
Remy yang ditemui pada majlis pratonton drama Cinta Jangan Pergi di Cineplex Cineleisure, Petaling Jaya, Selangor kelmarin juga disoal mengenai gandingannya bersama bekas kekasih, Tiz Zaqyah, dalam naskhah arahan Khabir Bhatia itu.
Dedahnya, dia tidak sanggup menolak karya yang begitu bagus daripada Kabir Bhatia dan tidak mahu membuang masa melayan perasaan sebaliknya menjayakan drama tersebut dengan sempurna.
Ditebak adakah maksud dia tidak mahu melayan perasaan tersebut gara-gara gandingannya itu adalah Tiz Zaqyah, tutur Remy, dia gembira menjalani penggambaran untuk drama Cinta Jangan Pergi dan tidak berasa kekok berlakon sebagai pasangan kekasih dalam drama tersebut.
Begitupun, Remy mengakui berasa sedikit sebak mengenangkan hubungannya bersama Tiz tatkala mereka berlakon bersama untuk drama tersebut.
“Apabila saya baca jalan cerita dan karakter saya dalam drama ini, saya rasa teruja untuk menjayakannya.
“Sebabnya, cerita Cinta Jangan Pergi sangat bagus. Lagipun saya senang bekerjasama dengan Khabir Bhatia selepas drama Nur Kasih. Dia seorang pengarah yang menjaga keseluruhan aspek sama ada dari segi jalan cerita dan lakonan setiap pelakonnya.
“Jadi, saya tidak mahu ketinggalan berlakon di bawah arahannya. Saya tidak ada masalah berlakon bersama Tiz tetapi saya akui ada rasa sedikit sebak bila mengenangkan kembali.
“Namun, saya tidak mahu berfikir langsung mengenai hubungan saya bersama Tiz sebelum ini dan hanya enjoy berlakon dalam drama ini,” jelasnya yang menjalani penggambaran drama Cinta Jangan Pergi selama empat bulan termasuk penggambaran di Paris dan London.
Selain Remy dan Tiz sebagai teraju utama, Cinta Jangan Pergi juga dilakonkan oleh Nadiya Nisaa, Josiah Hogan, Bil Azali, Esma Daniel, Ramona Zam Zam, Aleza Shadan dan Kartina Ayoob.
Cinta Jangan Pergi mengisahkan tentang dua kekasih Lea Soraya (Tiz Zaqyah) dan Kalil (Remy Ishak) yang berjanji sehidup semati namun siapa sangka dalam sekelip mata, takdir merubah segalanya.
Dua hati yang bersumpah setia terpisah apabila satu insiden tidak diingini menimpa Kalil dalam perjalanannya yang ingin menemui dan melamar Lea Soraya.
Drama bersiri 26 episod itu bakal disiarkan menerusi TV9 setiap hari Sabtu dan Ahad, pukul 8.30 malam bermula 6 April ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: