Wednesday, March 13, 2013
Penduduk Falklands pilih Britain
STANLEY, Kepulauan Falkland - Penduduk Kepulauan Falkland kelmarin sebulat suara memilih untuk berada di bawah penguasaan Britain berbanding Argentina berdasarkan keputusan pungutan suara yang dilakukan kelmarin.
Pegawai-pegawai pungutan suara itu mengumumkan, 99.8 peratus mengundi bersetuju untuk kekal berada di bawah pentadbiran Britain.
Sebanyak 92 peratus daripada 1,672 penduduk pulau tersebut keluar mengundi dalam pungutan suara yang diadakan selama dua hari.
Hanya tiga orang yang memilih untuk tidak berada di bawah penguasaan Britain.
Sebelum ini berlaku perbalahan antara Britain dan Argentina berhubung Kepulauan itu.
Argentina menegaskan kepulauan itu yang terletak dalam negaranya merupakan miliknya.
"Pastinya, ia merupakan mesej paling kuat yang boleh kami beritahu kepada dunia," kata seorang penduduk, Roger Edwards.
Perang Falklands meletus pada tahun 1982 apabila Presiden Argentina ketika itu, Leopoldo Galtieri menghantar tentera untuk menawannya.
Perang yang berlangsung selama 10 minggu itu menyebabkan 650 penduduk Argentina dan 255 warga Britain terbunuh.
Sementara itu, Perdana Menteri Britain, David Cameron semalam menggesa Argentina menghormati hasrat penduduk Pulau Falkland selepas mereka mengundi untuk kekal di bawah jajahan Britain.
Cameron turut memberi amaran terhadap sebarang tindakan ketenteraan oleh negara Amerika Selatan itu selepas keputusan pungutan suara tersebut diperoleh.
"Kepulauan Falklands mungkin berada jauh beribu-ribu kilometer tetapi penduduknya merupakan rakyat Britain. Kami akan sentiasa berada di sana untuk mempertahankan mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: