Monday, March 11, 2013

Penasihat Kiram disoal siasat

JAMALUL KIRAM III (kanan) berbual dengan adiknya, Sultan Bantilan Esmail Kiram II di rumahnya di Bandar Taguiq, selatan Manila semalam.


MANILA - Satu siasatan berhubung konspirasi Sultan Jamalul Kiram III menghantar sekumpulan lelaki bersenjata ke Sabah adalah wajar dan konsisten dengan usaha-usaha untuk menamatkan keganasan, kata Istana Presiden Filipina kelmarin.
Menurut laporan akhbar dalam talian Philstar.com semalam, pihak istana membuat penjelasan tersebut sehari selepas Biro Siasatan Nasional menyaman penasihat Jamalul Kiram III, Pastor 'Boy' Saycon supaya datang untuk disoal siasat esok kerana disyaki menjadi sebahagian daripada konspirasi tersebut.
Konspirasi itu bertujuan untuk mewujudkan suasana tidak stabil apabila para pengikut Jamalul Kiram dihantar ke Sabah dan menuntut negeri Malaysia tersebut sebagai milik mereka.
Saycon merupakan Setiausaha Agung Majlis Hal Ehwal Filipina.
Timbalan Jurucakap Presiden Filipina, Abigail Valte menyatakan kepada stesen radio dzRB, adalah sesuatu yang penting untuk menentukan kenapa situasi di Sabah bertukar menjadi insiden ganas sehingga melibatkan kematian.
Saycon telah mengaku menjadi penasihat kepada Jamalul Kiram semasa beliau mengemukakan tuntutan Sabah kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Menurutnya, beliau menjadi penasihat Jamalul Kiram tentang hubungan asing, ekonomi dan kebudayaan selama 12 tahun.
Sebelum ini, Saycon menafikan menghasut tentera Kesultanan Sulu pergi ke Kampung Tanduo, Lahad Datu pada bulan lalu.
Menurutnya, beliau bekerjasama dengan Kiram atas kehendaknya sendiri berhubung tuntutan Sabah.
Presiden Benigno Aquino III sebelum ini menyatakan Filipina akan memberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung konspirasi pencerobohan para pengikut Jamalul Kiram yang mendakwa sebagai Sultan Sulu.
Aquino juga akan memberitahu identiti ketua konspirasi itu kepada Najib.
Presiden itu pernah menyatakan bahawa para pengikut Jamalul Kiram dijanjikan bayaran AS$600 (RM1,862) setiap orang untuk menceroboh Sabah pada 12 Februari lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: