Monday, March 25, 2013

Peminat berhujan demi Demi Lovato

AURA dan tenaga Demi Lovato menguasai sepenuhnya pentas Konsert Twin Tower @Live 2013.


KONSERT Twin Tower @Live 2013 yang berlangsung selama dua hari bermula Jumaat lalu telah menarik ribuan penonton hadir di pekarangan Menara Berkembar Petronas.
Penyanyi remaja popular Demi Lovato menjadi pelaris kepada konsert tersebut di samping kumpulan Korea Selatan yang mempunyai ramai peminat di Malaysia, U-Kiss.
Persembahan dibuka oleh penyanyi jazz Malaysia, Atilia dengan lima buah lagu seperti Curiga, Sangkar dan Indah. Suasana menjadi hangat dengan persembahan K-Town Clan yang membawakan irama hip hop.
Tepat pada pukul 8.30 malam, peminat yang terdiri daripada remaja perempuan menjerit tanpa henti apabila kelibat penyanyi pujaan mereka kumpulan U-Kiss muncul di tengah pentas.
Mungkin disebabkan sudah terlalu kerap kumpulan U-Kiss berkunjung ke Malaysia, persembahan mereka dilihat sama sahaja dengan showcase mereka sebelum ini.
Cuma, mereka bijak mempromosikan lagu-lagu daripada album, Collage yang merupakan album ketiga mereka dengan menyanyikan secara langsung tanpa muzik khas buat peminat.
Jika dilihat secara fizikal dan muzik, kumpulan U-Kiss tidak ada bezanya dengan kumpulan K-Pop yang lain. Bagaimanapun disebabkan mereka cukup fasih berbahasa Inggeris dan Mandarin menyebabkan mereka mudah diterima oleh peminat Malaysia.
“Ini merupakan kali kelima kami berkunjung ke Malaysia. Sungguhpun begitu, kami tidak sempat untuk menikmati keindahan dan budaya Malaysia kerana jadual kerja yang ketat.
“Kami berharap dapat datang lagi ke Malaysia untuk mengadakan konsert dan bertemu peminat di sini,” kata Eli salah seorang anggota kumpulan U-Kiss ketika sesi sidang media beberapa jam sebelum konsert berlangsung.
Malam itu, mereka mendendangkan enam buah lagu iaitu Neverland, Someday, Standing Still, Man Man Ha Ni, Believe dan 0330.
Selepas kumpulan U-Kiss meninggalkan pentas, persembahan akrobatik pula mengambil tempat. Persembahan tersebut dilihat tidak relevan dengan konsert serta penonton yang hadir.
Wanita yang beraksi penuh ghairah di atas gelung dan berpakaian cukup seksi dengan hanya kain renda menutup bahagian badan yang terbuka itu tidak ubah dilihat seperti sebuah persembahan erotik.
ATILIA mempersembahkan lima buah lagu.


Rata-rata penonton cukup terkejut dengan persembahan yang tidak sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat itu.
Bertempiaran lari
Pekarangan Menara Berkembar Petronas bertukar sedikit kecoh apabila hujan renyai mulai turun pada pukul 9.50 malam.
Pihak media yang bertugas terpaksa bertempiaran lari menyelamatkan peralatan kamera dan komputer riba masing-masing kerana hujan turun dengan lebat.
Dalam keadaan hujan yang semakin lebat, satu lagi persembahan yang disifatkan tidak relevan dengan konsert itu adalah persembahan fesyen.
Diakui pakaian yang diperagakan cukup memikat hati dan indah-indah belaka tetapi agak pelik apabila persembahan konsert dihentikan semata-mata memberi laluan kepada persembahan fesyen sedangkan penonton yang hadir telah basah kuyup hanya untuk menunggu Demi Lovato.
Disebabkan hujan semakin lebat, dilihat ramai penonton mula beredar mencari tempat untuk berteduh, tidak kurang juga ada yang terus pulang tanpa menyaksikan persembahan Demi Lovato.
Penyanyi yang popular dengan lagu Skyscraper itu hanya muncul pada pukul 11.20 malam dengan pakaian serba hitam. Diiringi oleh empat pemuzik dan dua penyanyi latar, persembahannya cukup memukau.
Selama satu jam, Demi Lovato menyampaikan 11 lagu popularnya seperti Here We Go Again, Get Back, Remember December, U Got Nothing On Me, Falling Over Me, We Rock, This Is Me, Skycraper dan Heart Attack.
“Ini persembahan dan kunjungan kali pertama saya di Malaysia. Berada di Malaysia merupakan satu pengalaman yang manis.
“Sama ada hujan atau tidak, saya mahu anda semua bergembira dan nikmati persembahan saya,” katanya ketika di atas pentas.
Diakui vokal Demi Lovato cukup mantap untuk sebuah persembahan secara langsung tanpa henti selama satu jam. Bukan itu sahaja, dia juga bijak berinteraksi dengan penonton.
“Bagaimana dengan persembahan saya? Anda semua adalah inspirasi saya. Setiap kali saya jatuh, anda (peminat) merupakan orang-orang yang menyambut saya.
“Pelbagai perkara telah saya lalui. Beberapa tahun lalu saya dimasukkan ke pusat pemulihan tetapi anda semua tetap terus memberi sokongan kepada saya. Terima kasih semua,” katanya yang cukup menghargai peminatnya.
Konsert malam itu telah berjaya menarik kira-kira 10,000 penonton.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: