TIGA orang pelakon, Fezrul Khan, Pekin Ibrahim dan Yana Samsudin bersatu dalam sebuah filem cinta tiga segi. Tampak seperti klise, namun Cerita Kita punya kekuatan tersendiri.
Filem Cerita Kita mengisahkan Kamal yang bekerja sebagai pencuci kereta mengambil keputusan untuk berubah atas nasihat yang diberikan oleh Ika, seorang gadis yang dicintainya dalam diam.
Kemudian konflik bermula dengan kehadiran Malek, seorang lelaki kaya yang juga rakan kepada Kamal turut mempunyai perasaan terhadap Ika sejak kali pertama mereka bertemu.
Situasi tersebut menyebabkan Ika terpaksa membuat pilihan, sama ada memilih Kamal yang dikenalinya selama tiga tahun atau Malik yang dilihat mampu menjamin kehidupan masa depannya.
Kesudahan filem terbitan Metrowealth Pictures (Metrowealth) yang ke-74 itu akan dapat disaksikan apabila ia mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 7 Mac ini.
Mengulas lebih lanjut mengenai filem tersebut, pelakon Yana Samsudin selaku teraju utama menjelaskan, dia membawakan watak sebagai Ika iaitu seorang gadis biasa yang tinggal di rumah pangsa dan bekerja di kedai buku.
"Pada peringkat permulaan jalan cerita filem ini penonton akan melihat perwatakan Ika, seorang gadis yang periang. Namun, pada pertengahan cerita barulah penonton akan tahu Ika sebenarnya mempunyai keinginan untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa.
"Tidak dinafikan cerita mengenai percintaan tiga segi sudah banyak dipaparkan dalam drama atau filem, tetapi saya percaya penonton akan melihat kelainan dalam filem ini," ujarnya sewaktu menghadiri sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini.
Mengenai gandingannya bersama Pekin Ibrahim dan Fezrul Khan pula, pelakon itu menganggap ia sebagai satu gandingan yang mantap kerana kedua-dua mereka merupakan pelakon yang sangat bagus.
Ujarnya, sebelum ini dia sudah kerap berlakon bersama-sama dengan Fezrul, sebaliknya ini kali pertama dia dapat bergandingan dengan Pekin dalam filem.
"Sebenarnya banyak pengalaman yang saya lalui semasa berlakon bersama Pekin. Salah satu yang paling saya ingat ialah babak tampar yang membabitkan kami berdua.
"Pengarah filem ini iaitu Pierre Andre meminta Pekin menampar saya. Apabila saya ditampar secara tiba-tiba saya bertindak balas dengan menamparnya pula, sedangkan saya tidak diarahkan berbuat demikian," cerita Yana mengenai pengalaman lucunya semasa menjalani penggambaran.
Menurutnya, pengalaman dapat berlakon dengan Pekin merupakan suatu kenangan yang cukup istimewa kerana dia mengakui pelakon itu memang hebat dan berpengalaman luas.
"Sewaktu penggambaran berlangsung saya lihat Pekin seorang yang serius dan begitu komited dengan kerja, tetapi dia seorang yang suka berborak dan kami saling berkongsi pengalaman mengenai dunia lakonan," ujarnya.
|
Empat filem
Tidak dinafikan pada masa ini Yana Samsudin merupakan pelakon wanita yang paling aktif berlakon filem. Buktinya, dalam tempoh empat bulan terdapat empat buah filem lakonannya yang akan ditayangkan di pawagam.
Antara filem-filem lakonannya yang telah ditayangkan pada tahun ini ialah Minyak Dagu (3 Januari), Wawa Semput (31 Januari), Cerita Kita (7 Mac) serta Dua Kalimah yang bakal menemui penonton pada 4 April ini.
Ketika ditanya sama ada dia tidak risau penonton akan muak dengan penampilannya secara kerap di layar perak, pelakon itu beranggapan ia sebagai satu tanda yang positif terhadap karier lakonannya.
"Pertama sekali saya ingin berterima kasih kepada semua pihak terutamanya para peminat dan pihak media yang banyak mempromosikan filem-filem lakonan saya.
"Mengenai perkara tersebut saya rasa penonton tidak akan berasa muak atau bosan kerana kebanyakan filem yang saya berlakon menampilkan genre yang berbeza," jelasnya.
Pengalaman baharu
Bagi Pekin Ibrahim pula, kali pertama berlakon dengan syarikat produksi Metrowealth memberikan pengalaman baharu buat dirinya yang sudah sembilan tahun bergelar pelakon.
Mengakui ada beberapa pihak yang hairan apabila dia mengikat kontrak dengan syarikat berkenaan, Pekin menjelaskan peluang yang ada untuk mengembangkan lagi kerjaya lakonan tidak harus ditolak.
"Saya tidak kisah dan terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja. Lagipun saya ditawarkan berlakon lima buah filem bersama Metrowealth dan mereka memberikan kebebasan kepada saya untuk bekerja dengan produksi lain.
"Pada mulanya saya memang terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk menerima tawaran tersebut, tetapi setelah puas berfikir rasanya ia mampu memberikan impak yang positif terhadap kerjaya saya," ujarnya.
Bercerita tentang pengalaman filem pertamanya bersama Metrowealth itu, dia berkata tidak sukar untuk mencari keserasian bersama Yana dan Fezrul, malah masing-masing telah membawakan watak yang diberikan dengan baik.
"Bekerjasama dengan Pierre juga tidak sukar kerana dia telah memberikan kebebasan untuk saya menghidupkan watak sebagai Kamal dengan cara saya sendiri.
"Cuma pada mulanya saya berasa agak sukar kerana tiada praproduksi atau latihan awal dilakukan sebelum penggambaran bermula, jadi kami banyak melakukan perbincangan ketika di lokasi penggambaran," ujarnya.
Berkenaan dengan wataknya dalam filem Cerita Kita, pelakon itu mengatakan Kamal merupakan seorang lelaki yang hidup miskin, tetapi memang berniat untuk mengubah kehidupannya demi wanita yang dicintainya.
|
"Permasalahan paling besar yang dilalui oleh Kamal adalah dia sangat takut berterus-terang tentang perasaan cintanya terhadap Ika. Kemudian dia terpaksa pula bersaing dengan rakannya sendiri untuk mendapatkan wanita pujaannya itu," jelasnya tentang watak yang dibawakannya itu.
Tidak kejar anugerah
Pelakon yang memegang watak Malek dalam Cerita Kita iaitu Fezrul Khan pula mengakui gembira apabila diberi peluang berlakon dalam filem bercorak romantik memandangkan sebelum ini dia lebih dikenali dalam filem bergenre seram.
Menurut Fezrul, jalan cerita yang dipaparkan juga sangat menarik kerana ia menggambarkan realiti yang pernah berlaku oleh segelintir orang apabila berada dalam dilema untuk membuat pilihan.
"Saya membawakan watak sebagai seorang lelaki kaya dan mungkin orang melihat ia bukanlah watak yang berat. Namun begitu, saya tetap berusaha untuk mendalami karakter Malek supaya ia memberi impak kepada jalan ceritanya.
"Selain itu, saya sangat yakin filem ini akan diminati ramai berdasarkan maklum balas positif daripada beberapa orang yang telah berpeluang menontonnya," ujarnya Fezrul yang berharap filem terbaharunya itu mendapat sambutan ramai.
Mengenai perkembangan kerjaya lakonannya pula, Fezrul meluahkan rasa gembiranya kerana semakin kerap mendapat peluang berlakon filem dan drama bersiri.
Menurutnya, sepanjang pembabitannya sebagai pelakon, dia langsung tidak menaruh harapan yang tinggi untuk merangkul anugerah. Sebaliknya, kerjaya lakonan merupakan punca rezekinya untuk menyara keluarga.
"Pembabitan saya sebagai seorang pelakon bermula dari bawah, tidak seperti kebanyakan pelakon lain. Jadi, saya perlu gunakan peluang yang diberikan sebaik-baiknya serta memberikan komitmen terhadap kerja," ujarnya yang sudah berumah tangga pada tahun lalu.
Biarpun kini semakin sibuk dengan aktiviti lakonan, Fezrul memberitahu dia turut menjalankan, perniagaan menyewa peralatan penggambaran menerusi syarikatnya MRG Entertainment Sdn. Bhd.
"Kebanyakan wang yang diperoleh hasil daripada lakonan saya gunakan untuk membeli peralatan penggambaran seperti kamera dan lampu. Meskipun melibatkan kos yang besar, saya bersyukur kerana perniagaan saya sekarang semakin berkembang," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: