Monday, March 11, 2013

Nukilan seni Kaer Azami

REKAAN Kaer mampu menyerlahkan sisi segak lelaki yang ringkas.


NAMANYA pernah meledak menerusi rancangan realiti TV nyanyian popular negara, Akademi Fantasia (AF) musim kedua terbitan Astro pada tahun 2004.
Meskipun gagal mendapat tiga tempat teratas pada peringkat akhir AF, Wan Mohammad Khair Wan Azami Hamzah tetap dijulang sebagai juara di hati peminatnya.
Rentetan seni hidup lelaki yang senang dipanggil Kaer Azami itu terus mekar apabila lagu dendangannya, Izinku Pergi menerima sambutan hangat. Populariti lagu ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik tulisan Sulu Sarawak itu juga kekal sehingga ke hari ini.
Lagu berhantu itu juga diangkat sebagai pemenang kategori balada pada Anugerah Juara Lagu ke-22 pada tahun 2007. Ia turut diangkat sebagai Lagu Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun yang sama.
Ironinya, jejaka berusia 28 tahun itu tidak menyepi dalam dunia seni tanah air. Empat tahun menimba ilmu dalam kursus perniagaan di sebuah universiti swasta di Jakarta, Indonesia, Kaer sebenarnya secara senyap telah membina empayar kecil dalam dunia fesyen busana jejaka.
“Segalanya bermula ketika saya menghadiri sebuah majlis di Jakarta. Sebelum ke majlis tersebut, saya buntu memikirkan pakaian apa yang sesuai untuk digayakan. Idea bagi menghasilkan pakaian yang ringkas terus datang dan saya bertekad hadir dalam persalinan rekaan sendiri.
“Pada majlis tersebut, ada seorang lelaki menegur saya dan bertanya tentang pakaian yang saya pakai. Dia sangat tertarik dengan rekaan yang saya buat dan terus meminta saya mereka pakaian yang sama untuknya,” imbas Kaer yang turut memiliki diploma seni bina dalaman.
Peluang yang hadir itu dimanfaatkan sepenuhnya Kaer bagi membina namanya di bumi Indonesia. Saban hari, hasil kerja Kaer mula dipandang pencinta fesyen di sana, malah dia juga membuat keputusan bagi memasarkan jenamanya ke beberapa buah negara lain seperti Itali dan Filipina.
Kombinasi seni
Menjadikan Jakarta sebagai pusat pergerakan label pakaiannya, anak jati Petaling Jaya, Selangor itu kini bersedia membawa pulang eksperimen beraninya ke Malaysia.
Sebagai permulaan, Kaer giat mempromosikan produknya secara kecil-kecilan, termasuk membuka gerai di bazar Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur pada penghujung November tahun lalu. Difahamkan, sebanyak 80 peratus item berjaya dijual di bazar tersebut.
Usaha bagi menempatkan rekaannya, Kazami Homme dan Quhji di sebuah butik dalam negara, telahpun berjaya dilaksanakan.
Mereka yang ingin melihat sendiri atau teringin menyarungkan pakaian rekaan Kaer bolehlah mengunjungi Butik Seethrough Concept Store, Bangsar, Kuala Lumpur. Kedua-dua koleksi Kaer telah pun diletakkan di butik itu sejak awal bulan Februari lalu.
Sementara itu, mengikut perkiraan awal, Kaer telah bersiap sedia untuk menjalankan pertunjukan fesyen sulungnya pada bulan Mei depan.
Ujarnya lagi: “Saya mengidamkan pertunjukan fesyen yang unik dan sarat dengan unsur kesenian. Oleh yang demikian, saya sangat senang dapat bekerjasama dengan pereka arca muda yang sedang meningkat naik iaitu Faiz Yunus.
“Saya berasa terpanggil untuk sama-sama mengangkat penggiat seni sebegini ekoran kurangnya publisiti yang mereka terima. Fesyen adalah cabang daripada kesenian dan saya melihat kolaborasi ini sebagai satu medium sempurna bagi mengembangkan industri seni negara.”
PERCUBAAN awal Kaer telah menerima sambutan yang menggalakkan.


Kazami Homme
Tatkala mengamati setiap helaian rekaan Kaer, rasa kagum terus terbit dalam diri. Bagaimana seorang penyanyi bersuara lunak, memiliki bakat luar biasa mencipta pakaian penuh artistik dan teliti dari segi strukturnya?
Mungkin secara semula jadi, Kaer telah dianugerahkan kepintaran dalam nukilan kesenian. Kecintaannya sendiri terhadap lapangan tersebut pula membantu pelantun lagu Menjelma itu membawa busana karyanya ke peringkat antarabangsa.
Pada awalnya, koleksi bernama Quhji menjadi percaturan Kaer. Ia tertumpu kepada rekaan bersifat eksperimental dan avant garde, sesuai untuk lelaki yang berani mencuba sesuatu di luar kebiasaan dan lari daripada gaya harian tipikal.
Menurut Kaer, Quhji bukan pakaian yang direka mengikut musim tetapi bercirikan episod. Ia mempunyai kesinambungan unik, yang bermaksud setiap keluaran adalah sambungan penceritaan rekaan sebelumnya.
Selepas selesa dengan keutuhan Quhji, Kaer dengan berani memperkenalkan rekaan baharu di bawah nama Kazami Homme. Berbeza daripada Quhji, Kazami Homme dipusatkan kepada pakaian sedia pakai yang ringkas dan stailo.
“Item seperti kemeja, jaket, seluar pendek dan panjang, kasut, sandal dan baju T antara yang diberi fokus dalam koleksi Kazami Homme. Material yang saya gunakan pula pelbagai termasuk kapas, fabrik biri-biri (wool), twil dan poliester,” bicara anak kedua daripada empat beradik itu.
Pelayaran karier
Pertemuan Stailo dengan Kaer baru-baru ini, bukan sahaja membicarakan tentang profesion baharu jejaka berbintang Virgo itu, malah turut menyentuh lanjutan kerjayanya dalam bidang seni suara.
“Sebelum ini ramai orang mengenali saya sebagai penyanyi dan kini saya bersedia untuk turut dikenali sebagai seorang pereka fesyen,” tegas Kaer penuh semangat.
Sudah lebih dua tahun, Kaer tidak tampil dengan material untuk album baharu. Bagaimanapun, ia bukan bermaksud minat terhadap nyanyian itu telah terkubur. Dia masih aktif memenuhi undangan nyanyian untuk beberapa majlis.
“Sekiranya berkesempatan menghasilkan album baharu, saya akan tumpukan kepada aspek artistik. Lagu-lagu di dalamnya tidak hanya sedap didengar tetapi mempunyai mesej tersirat dan penceritaan bermakna,” jelas Kaer.
Menyifatkan nyanyian sebagai hobi dan bukan karier utama pilihannya, Kaer merasakan dirinya mempunyai kepelbagaian seni yang perlu diasah. Dia enggan bakat yang ada itu terpendam tanpa dikembangkan.
Tambah Kaer, dia seorang individu yang sukar melekat terhadap satu-satu pekerjaan. Jika boleh, dia mahu mencuba nasib dalam beberapa cabang seni.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: