Sunday, March 10, 2013
Modenkan 50 bengkel belia
BERA - Koperasi Belia 1Malaysia (KOB1M) diberi tanggungjawab untuk memodenkan sebanyak 50 bengkel kenderaan milik golongan belia di seluruh negara bagi fasa pertama.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemodenan yang dilakukan di bawah program Projek Pemodenan Bengkel Automatif (Atom) itu dilakukan kerana pihaknya mendapati ia berkesan dan berupaya menarik minat golongan belia menyertainya.
"Pihak KOB1M diberi tanggungjawab memodenkan 20 bengkel dan seterusnya 30 lagi di seluruh negara bagi fasa pertama.
"Bagi fasa kedua, kerajaan akan meluluskan 30 buah di mana kos untuk memodenkan sebuah bengkel adalah RM100,000," katanya selepas majlis pelancaran Karnival Himpunan Anak Muda Berkoperasi Belia 1Malaysia (KOB1M) di Dataran Kerayong di sini semalam.
Tambah beliau, kos tersebut meliputi pembelian peralatan, alat ganti dan pengubahsuaian yang diberi secara pinjaman melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
Setakat ini, katanya, program Atom berjaya membawa kepada peningkatan keuntungan kepada para pemilik bengkel.
"Ramai peserta program Atom mencatat peningkatan keuntungan antara 30 hingga 50 peratus dan ada juga yang mencecah sehingga 90 peratus.
"Jadi, saya percaya sekiranya pemilik ikut manual yang diberikan, mereka akan berjaya," katanya.
Dalam perkara berkaitan, beliau mengakui kementerian dalam usaha untuk memperkenalkan koperasi kepada golongan muda agar ia tidak dilabel sebagai institusi 'jurrasic' atau hanya untuk orang tua.
Kata beliau, golongan muda bukan sahaja memerlukan aktiviti sukan dan hiburan tetapi juga meningkatkan ekonomi menerusi koperasi.
Sementara itu, lebih 10,000 orang mengunjungi karnival berkenaan hingga lewat malam tadi.
Pelbagai acara menarik diadakan termasuk pertunjukan dan pameran motosikal, aktiviti sukarelawan, pertandingan MotoGP Simulator serta penampilan khas pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin dan bekas juara Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Wazi Abdul Hamid.
Karnival turut dimeriahkan dengan persembahan artis-artis popular seperti kumpulan Bunkface dan artis undangan dari Indonesia, Opick.
Beliau turut merasmikan Skim Perniagaan Bermotosikal Roda Tiga yang menawarkan pinjaman tanpa faedah sehingga RM15,000 kepada golongan muda bagi menjalankan perniagaan secara bergerak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: