Tuesday, March 19, 2013

Mira gugurkan nama Ranbir


RANBIR KAPOOR


PENGARAH terkenal kelahiran India yang berkarya di Amerika Syarikat (AS), Mira Nair sebelum ini mahukan aktor muda tersohor di Bollywood, Ranbir Kapoor untuk membintangi filem terbaharu arahannya, The Reluctant Fundamentalist.
Filem itu ditayangkan buat julung-julung kali pada Festival Filem Antarabangsa Venice ke-39 di Itali, Ogos, tahun lepas.
Namun baru-baru ini pada satu acara forum filem, FCCI Frames 2013 di Mumbai, India, Mira telah mendedahkan dia terpaksa menggugurkan nama Ranbir daripada membintangi filem tersebut selepas mereka membuat pertemuan dan perbincangan.
Filem yang diadaptasi daripada novel dengan judul sama terbitan tahun 2007 karya novelis terkenal Pakistan, Mohsin Ahmed itu turut menampilkan lakonan beberapa pelakon terkenal Hollywood seperti Kate Hudson, Keifer Sutherland dan Liev Schreiber.
Berlatarkan bandar New Delhi (India), Lahore (Pakistan) dan New York (AS), ia berkisar tentang seorang pemuda Pakistan, Changez yang pada mulanya hidup di jalanan di Lahore sebelum melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di AS dan kemudian sukses dalam kerjayanya di Wall Street, New York.
Namun segala yang diusahakannya itu hancur hanya kerana sebuah cinta.
Mira yang pernah mengarah filem-filem seperti Salaam Bombay!, Monsoon Wedding dan The Namesake itu kemudian memilih aktor kelahiran Pakistan, Riz Ahmed yang menetap di London dan merupakan seorang penyanyi rap untuk menghidupkan karakter Changez.
MIRA NAIR (dua dari kanan) bersama (dari kiri) Kate Hudson, Riz Ahmed dan Liev Schreiber pada Festival Filem Antarabangsa Venice ke-39 di Itali.


Katanya kepada The Indian Express: "Saya ada berbincang dengan Ranbir Kapoor untuk dia memegang watak utama filem, The Reluctant Fundamentalist. Dia seorang pemuda yang baik dan aktor yang hebat.
Dia boleh buat apa sahaja, namun, bukan dia yang saya cari untuk filem ini. Saya perlukan seorang aktor yang pernah secara realitinya mengharungi kehidupan dalam pelbagai tempat yang berlainan dalam dunia ini. Sebab itu saya akhirnya memilih Riz Ahmed."
Apa yang menarik, Mira telah mengeluarkan kenyataan yang agak pedas apabila memperkatakan tentang pelakon di India atau lebih tepat Bollywood dalam melakonkan karakter bukan warga negara tersebut.
"Saya fikir setiap kali melakonkan karakter yang bukan dalam kalangan warga negara mereka, pelakon-pelakon di India melakukannya dengan janggal dan ia kelihatan palsu. Mereka tidak boleh melakukannya dengan betul," tegas Mira yang turut mendedahkan bahawa seorang lagi aktor muda terkenal Bollywood iaitu Imran Khan turut datang untuk uji bakat bagi karakter Changez tetapi juga gagal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: