Tuesday, March 19, 2013

Mandi sauna pirt Latvia


SEORANG pengunjung kompleks pirt Lielzemenes membenamkan muka dan tubuhnya di atas salji selepas menjalani ritual di rumah mandian tersebut.


MEMBENAMKAN muka dalam salji dan berbogel dalam keadaan cuaca sejuk sudah cukup untuk membuatkan seseorang itu berfikir dua kali sebelum melakukannya.
Namun, ia merupakan cabaran melampau yang diperlukan untuk meneroka misteri pirt, iaitu istilah Latvia yang merujuk kepada kompleks sauna atau dipanggil banya, hammam, mandian Roman atau rumah peluh di negara berbeza.
Bagi Juris Batna, pemilik Lielzemes iaitu kompleks pirt yang terletak di selatan di ibu negeri Riga, tidak ada jalan pintas apabila berbicara tentang ritual di rumah mandian Latvia itu.
"Turut dikenali sebagai Strawberi Besar, pirt dianggap seperti kuil bagi penduduk Latvia. Di sini, tiada ruang untuk membesar-besarkan cerita," kata Batna, 56.
Memakai baju T linen putih yang dikenakan dengan pin perak berkilau, perilaku yang tenang dan kulitnya yang halus menjadikan diri Batna sendiri umpama iklan segera dalam mempromosikan pirt sebagai destinasi gaya hidup sihat.
"Sebelum agama Kristian bertapak di Latvia melalui tentera salib Jerman, pirt merupakan gereja kami," katanya sambil mengimbau kembali ke zaman sebelum kedatangan Kristian pada abad ke-13.
"Tidak banyak perbezaan antara sauna, banya dan pirt jika dilihat dari luar. Semuanya mempunyai bilik kecil dengan suhu yang tinggi. Namun, perbezaan besarnya adalah perkara yang kami lakukan di dalamnya. Kami menyifatkan ia sebagai upacara keagamaan," ujarnya.
Ranting dan daun
Ritual pirt bermula dalam sauna yang tenang. Lama-kelamaan, ia menjadi serangan skala penuh deria apabila Batna dan isterinya, Aelita, membanting, menggosok dan mencampakkan pengunjung pirt dengan gumpalan ranting yang diikat seperti penyapu ahli sihir dongeng.
Penggunaan batu panas, kayu, rimbun daun, simbol tenunan, loceng serta minyak digabung dalam upacara tersebut yang diiringi irama mengasyikkan. Seterusnya, suhu meningkat secara mendadak dan pengalaman diselang-seli dengan kesan visual, bau, bunyi, sentuhan, rasa serta sensasi perpeluhan
Menurut Batna, dalam upacara penuh yang dikendalikan secara teratur menggunakan 12 penyapu berlainan, ia mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga enam jam.

AELITA meletakkan ikatan ranting dan daun di belakang badan seorang pengunjung pirt bagi memulakan upacara mandian tradisi.


Sentuhan terakhir biasanya akan dilakukan menurut rasa hati setiap individu. Sama ada untuk terjun di dalam kolam sejuk atau bagi mereka yang lebih tradisional, bergolek di dalam salji beku di luar pirt.
Namun sebelum memulakan tahap terakhir itu, Batna bingkas bangun untuk memberitahu sesuatu.
"Inilah saat di mana sesetengah orang menggelarnya sebagai pengalaman merasai saat kematian," ujar tersenyum lalu membuka pintu.
Bagaimanapun, dia tidak mempunyai masa untuk maraton sauna yang menjadi tajuk utama akhbar pada 2010. Laporan itu mendedahkan tentang seorang lelaki Rusia yang mati akibat hipertermia ketika menyertai Kejohanan Sauna Dunia di Finland.
"Saya boleh katakan bahawa saya benci acara tersebut," keluhnya yang menyifatkan acara maraton itu berkonsep perlumbaan bukan menghayati falsafah dan tujuan di sebalik ritual bersauna.
Hidupkan tradisi
Terdiri daripada beberapa buah bangunan kayu yang memaparkan varian pirt berbeza, Lielzemenes telah berkembang pesat menjadi lokasi perhimpunan peminat cerita rakyat, sejarawan dan pihak yang berminat dalam memahami susur-galur Latvia.
"Terdapat lebih daripada 300 lagu lama Latvia atau daina mengenai pirt dan ia sentiasa menjadi tempat yang penting dalam hidup kami.
"Orang Latvia telah dilahirkan di pirt dan pada akhir kehidupan, mereka akan dibawa pulang ke sana sebelum dikebumikan," terang Batna.
Wanita yang terlibat untuk berkahwin akan menjalani upacara khas dengan kaum kerabat perempuan mereka beberapa hari sebelum perkahwinan.
Batna dan isterinya telah menghidupkan semula tradisi memasuki pirt bagi ibu dan bayi yang baru dilahirkan. Ia menandakan permulaan kehidupan mereka bersama.
Selain itu, satu lagi upacara di pirt yang hampir dilupakan ialah kanak-kanak lelaki yang sudah memasuki usia baligh dan diberi status lelaki.

BERDEPAN cuaca sejuk yang melampau, pengunjung ini bersedia untuk menyempurnakan ritual di Lielzemenes.


Sebelum bekerja sepenuh masa di pirt, Batna merupakan seorang ahli psikoterapi klinikal. Kini, masanya diabdikan untuk mengajar ratusan kanak-kanak mengenai cara untuk menjiwai perasaan bangga menjadi warga Latvia.
"Pirt merupakan satu perkara yang tidak pernah berubah melalui sejarah sejak ribuan tahun dahulu. Ia terselamat daripada revolusi pekerjaan, perang, pengusiran dan sebagainya.
"Sewaktu era Sovuet apabila banya popular, pirt Latvia masih boleh ditemui di belakang rumah ladang," ungkap Batna.
Tambahnya, adalah amat penting bagi orang Latvia untuk memehami cara memanfaatkan pirt dengan betul.
"Biasanya, sebaik mereka mula mempelajarinya, mereka seolah-olah tidak puas dan mahu terus mendalaminya," tuturnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: