Thursday, March 7, 2013

Mahu setaraf antarabangsa

FILEM animasi Bola Kampung menggunakan tenaga kerja sebanyak 100 orang termasuk animator dan penyumbang suara.


SELAMA ini penonton televisyen terutamanya kanak-kanak di negara ini sering kali dihiburkan dengan pelbagai program animasi yang menarik dari luar negara.
Siri animasi seperti Mickey Mouse, Tom And Jerry, Doraemon dan Crayon Sin Chan merupakan antara produk animasi luar negara yang begitu digemari kanak-kanak di negara ini.
Bagaimanapun, bidang animasi di Malaysia sebenarnya bermula sekitar era 80-an menerusi siri cerita pendek seperti Sang Kancil Dan Buaya, Sang Kancil Menipu Pak Belang dan Arnab Dan Kura-Kura yang disiarkan di saluran TV Pendidikan terbitan Filem Negara Malaysia.
Menariknya, cerita animasi yang diterbitkan itu bukan sekadar hiburan semata-mata, malah ia turut sarat dengan pelbagai mesej yang berguna kepada kanak-kanak.
Kemudian pada tahun 90-an industri animasi tempatan dilihat semakin berkembang dengan pelbagai siri animasi tempatan yang mula mendapat perhatian penonton seperti Usop Sontorian, Kluang Man dan Anak-Anak Sidek.
Seiring dengan peredaran zaman, kualiti produk animasi yang diterbitkan semakin meningkat dan berubah menjadi lebih baik, malah kerajaan menerusi Multimedia Development Corporation (MDeC) juga memang banyak menyokong penggiat animasi tempatan.
Biarpun perkembangan produk animasi tempatan agak lewat berbanding di beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat dan Jepun, ketika ini sudah banyak syarikat penerbitan produk animasi tempatan yang telah diwujudkan.
Salah satu syarikat tempatan yang kini semakin proaktif menerbitkan produk animasi ialah Animasia Studio Sdn. Bhd. (Animasia Studio) yang terletak di Taman Sri Jati, Jalan Puchong, Kuala Lumpur.
Pengarah Urusan Animasia Studio, Edmund Chan berkata, syarikat yang mula ditubuhkan pada tahun 2005 itu sememangnya memberikan tumpuan kepada penerbitan produk animasi seperti siri televisyen.
"Matlamat utama penubuhan syarikat ini adalah untuk menghasilkan pelbagai produk animasi yang menarik dan bermutu, memandangkan industri animasi di Malaysia sekarang semakin berkembang maju.
"Sepanjang lapan tahun beroperasi, syarikat ini sudah mempunyai seramai 150 orang animator dan 98 peratus daripadanya merupakan animator tempatan," ujarnya selaku pengasas syarikat tersebut.
Menurutnya, setakat ini Animasia sudah menerbitkan banyak siri animasi Bola Kampung, Supa Strikas, Balla Bowl, Chuck Chicken, ABC Monsters, Ask Lara dan Harry & Bunny.
Menganggap Animasia Studio masih lagi setahun jagung dalam industri animasi tempatan, Edmund menyatakan, pihaknya melahirkan rasa bangga dan gembira dengan pencapaian yang telah diraih.
Ujarnya, setakat ini Animasia Studio merupakan syarikat animasi pertama yang memperoleh sijil ISO certified (ISO 9001:2008) dan mendapat status Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia.
"Kebanyakan produk-produk animasi yang kami hasilkan pula turut dipasarkan di beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat, England dan Sepanyol.
"Salah satu produk animasi yang kami terbitkan berjudul Ask Lara pula turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila tercalon dalam International Emmy Kids Awards pada bulan lalu," ujarnya tentang perkembangan syarikatnya itu.
Apabila ditanya mengenai sejauh mana perkembangan industri animasi di Malaysia, Edmund memberitahu bahawa animasi tempatan sememangnya mampu bersaing dengan animasi luar negara.
Jelasnya, pada masa ini Malaysia sebenarnya tidak ketandusan bakat anak tempatan dalam bidang animasi dan ramai yang berkebolehan untuk menghasilkan sesebuah produk yang bagus.
Ujar Edmund, pihaknya sangat yakin dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Animasia Studio mampu berdiri setanding dengan syarikat animasi antarabangsa.
"Kalau kita lihat sudah ada beberapa siri animasi yang dihasilkan syarikat tempatan mampu menembusi pasaran antarabangsa dan diminati ramai penonton.
"Paling utama produk yang dihasilkan perlulah bermutu dan berkualiti dan kami yakin syarikat ini mampu bersaing dengan syarikat animasi di luar negara menerusi beberapa perancangan yang akan dilaksanakan nanti," ujarnya.

PENGARAH Urusan Animasia Studio, Edmund Chan, telah menubuhkan syarikat dan rumah produksi ini sejak tahun 2005.


Filem pertama
Setelah menerbitkan beberapa siri animasi, kini Animasia Studio bakal tampil dengan filem animasi pertama mereka iaitu Bola Kampung The Movie yang akan ditayangkan pada 21 Mac ini.
Pengarahnya, Ah Loong berkata, sebelum ini pihaknya telah menerbitkan siri animasi Bola Kampung yang telah disiarkan di saluran RTM dan TV9 sejak tahun 2006.
"Sepanjang ditayangkan di kaca televisyen, Bola Kampung telah mendapat sambutan yang sangat baik daripada penonton dan pernah dinobatkan sebagai siri animasi nombor satu pada tahun yang sama.
"Selain itu, ia turut menjadi animasi pertama yang diterbitkan syarikat tempatan disiarkan ke 16 buah negara seperti Indonesia, Vietnam, Turki, Singapura dan Thailand menerusi saluran Disney Channel Asia pada tahun 2007 apabila dialih suara ke dalam bahasa Inggeris dengan menggunakan tajuk Football Kids," jelasnya.
Menurutnya, berdasarkan sambutan yang diterima, pada tahun 2009 pihak syarikat telah bersetuju untuk menerbitkan dalam versi filem iaitu Bola Kampung The Movie.
Mengenai proses penerbitan filem berkenaan, Ah Loong menjelaskan, seramai 100 orang yang terlibat dalam pembikinannya termasuk animator, pemuzik dan penyumbang suara untuk setiap karakter.
"Mungkin ramai yang berasakan kami mengambil tempoh yang panjang iaitu selama empat tahun untuk menghasilkannya. Sebenarnya, ia merupakan suatu perkara yang normal kerana penerbitan sesebuah filem animasi memang mengambil masa lama untuk disiapkan.
"Lagipun banyak proses yang perlu dilakukan seperti pemilihan skrip yang sesuai, menghasilkan story board dan penciptaan setiap karakter animasi agar nampak kelainan berbanding siri televisyen," ujarnya yang turut mengarahkan siri animasi Bola Kampung.
Menurutnya, selain tempoh masa yang panjang untuk menyiapkannya, ia turut melibatkan kos yang sangat besar itu sebanyak RM5 juta dan ia tidak termasuk dalam kos promosi.
"Apa yang menarik tentang Bola Kampung ini, ia menjadi filem animasi pertama berbahasa Melayu yang akan ditayangkan dalam bentuk stereoskopik tiga dimensi (3D). Jadi, penonton boleh menyaksikannya sama ada dalam versi 3D atau normal," ujarnya.

KIRI: Aktres Deana Yusof merupakan salah seorang penyumbang suara dalam filem animasi Bola Kampung.


Elemen tempatan
Berkenaan dengan cabaran sepanjang menghasilkan Bola Kampung The Movie, Chua Chong Tee selaku seorang lagi pengarah menyatakan, cabaran paling utama adalah memastikan filem itu mampu setanding dengan produk animasi yang pernah dihasilkan sebelum ini.
Jelasnya, mereka juga terpaksa mencari jalan cerita yang menarik sehinggakan skrip yang dihasilkan terpaksa diubah beberapa kali.
"Kalau boleh kami tidak mahu terikut-ikut dengan filem animasi seperti di luar negara. Jadi, antara langkah-langkah yang kami lakukan ialah menerapkan lebih banyak elemen tempatan dalam filem ini.
"Misalnya, memaparkan tentang budaya dan kehidupan di kampung yang agak jarang diterapkan dalam kebanyakan filem animasi. Menerusi cara ini ia bukan sahaja mampu menarik minat penonton Malaysia, malah penonton di luar negara sekiranya filem ini dipasarkan ke peringkat antarabangsa," ujarnya.
Mengenai harapannya terhadap filem ini, Choong Tee sememangnya sangat berharap agar para penonton dapat berbangga dengan produk yang dihasilkan oleh anak tempatan serta akan suka dan terhibur setelah menontonnya di pawagam nanti.
"Selain Bola Kampung The Movie, kami sudah merancang untuk menghasilkan beberapa buah filem animasi yang lain pada masa akan datang. Ketika ini kami mahu memberi tumpuan terhadap filem ini terlebih dahulu," jelasnya.
Bola Kampung The Movie mengisahkan tentang Amanda, seorang puteri dari dunia permainan maya Kingdom Hill telah dihantar ke Kampung Gong Lechar untuk mencari seorang wira yang digelar Suria Warrior untuk menyelamatkan Kingdom Hill yang sedang diserang virus.
Setibanya di Kampung Gong Lechar, Amanda telah kehilangan ingatan dan berkawan dengan wira-wira Bola Kampung seperti Iwan, Azizul, Sabok dan Kumar. Iwan pula menyangka Amanda merupakan sepupunya yang sedang bercuti sempena cuti persekolahan dan terus memperkenalkan puteri itu kepada rakan-rakannya.
Menariknya, filem ini turut menggunakan khidmat beberapa artis popular untuk menjadi penyumbang suara iaitu Ezlynn (Iwan), Afdlin Shauki (Sabok), Marsha Milan (Puteri Amanda), Aznil Nawawi (Lord Vilus), Douglas Lim (Szeto), Harun Salim Bachik (Tok Ayah), Deanna Yusoff (Queen) dan Aizat Amdan (Mat).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: