SANGKAR ini ditutup jaring halus bagi menghalang nyamuk daripada menggigit penghuninya.
|
SEPERTI seorang wanita yang mementingkan penjagaan diri dengan mengunjungi spa, haiwan peliharaan seperti kucing juga memerlukan penjagaan rapi dari hujung rambut hingga hujung kaki.
Tidak sekadar memastikan bulu sentiasa terurus, beberapa bahagian badan seperti tapak kaki, kuku, dubur dan telinga lain juga harus diberi perhatian.
Pusat sehenti haiwan peliharaan, Pets Heaven Store di Bandar Baru Bangi, Selangor, antara yang menawarkan perkhidmatan spa kucing seperti itu. Kedai milik bumiputera berkonsepkan butik itu menyediakan khidmat spa seluruh badan.
Pengarah Urusannya, Layla Lazim, 43, menjelaskan rawatan badan kucing dapat mengelakkan haiwan itu daripada mudah terkena penyakit sekali gus memudaratkan pemiliknya.
"Melakukan grooming (tata rias) perlu bagi kucing peliharaan kerana aspek kesihatan dan kebersihannya dapat dijaga.
"Ia seelok-eloknya dibuat sebanyak dua kali sebulan. Jika bulunya berpintal terutamanya bagi kucing berbulu lebat, ia seharusnya sentiasa dileraikan dengan sikat khas agar kekotoran tidak melekat," kata anak kelahiran Sepang, Selangor ini.
Tata rias
Perkhidmatan tersebut merangkumi proses membersihkan mata, telinga, alat sulit, memotong kuku serta memandi dan mengeringkan bulu. Proses mengurut lembut tubuh kucing pula membantu memperbaiki peredaran darah.
Bagi memastikan proses tersebut dibuat secara rapi dan teliti, ia dilakukan di kawasan hadapan kedai agar pengunjung melihat sendiri kerja tersebut berlangsung.
"Semuanya dijalankan di bilik khas berdinding kaca ini. Ia dilakukan dengan cara yang paling lembut. Daripada memandi hinggalah kepada proses memotong kuku," katanya.
Aktiviti membersih tubuh haiwan itu tidak dibuat secara semberono. Sebaliknya ia dilakukan sendiri oleh Layla yang mendapat pentauliahan daripada Akademi Dandanan Haiwan Peliharaan di Kuala Lumpur.

PETS Heaven cuma menerima haiwan peliharaan seperti kucing, arnab dan hamster.
Bagi memperoleh sijil yang diperakui di Jepun, Korea dan Amerika Syarikat itu, Layla sebelum ini mengikuti kursus singkat selama tiga hari tentang cara-cara menata rias haiwan tersebut.
Bukan sahaja menawarkan khidmat spa, Pets Heaven seolah-olah menjadi sebuah pusat peranginan buat kucing apabila turut memuatkan 'hotel' dengan beberapa buah sangkar.
Terdapat kira-kira 20 buah sangkar yang bertindak sebagai 'bilik' bagi kucing yang ditinggalkan pemiliknya di situ. Setiap bilik pula hanya menempatkan seekor kucing.
Seakan-akan hotel lima bintang, setiap sangkar akan ditutup dengan jaring khas bagi mengelakkan penghuninya digigit nyamuk.
Gigitan nyamuk boleh menyebabkan penyakit kepada kucing. Walaupun kucing dilindungi oleh bulu yang tebal tetapi nyamuk boleh mengigit telinga dan hidung mereka.
Selain kegatalan, penyakit yang menjadi kebimbangan utama adalah jika gigitan nyamuk menyebabkan hipersensitiviti dan penyakit cacing jantung pada kucing. Apabila nyamuk menggigit kucing, cacing jantung di dalam nyamuk akan berpindah pada kucing.
Cacing
Di dalam badan kucing, cacing jantung tadi boleh berkembang menjadi parasit. Bilangan cacing yang sedikit sahaja sudah mencukupi untuk membunuh kucing.
Gejala penyakit ini ini ialah kelesuan, muntah-muntah, batuk dan sukar bernafas.
Menurut pakar, gigitan nyamuk boleh memberi kesan yang buruk pada sistem imun kucing. Kesan pada luaran yang boleh dilihat adalah, luka-luka, bersisik atau ulser pada kawasan gigitan nyamuk di samping kehilangan bulu dan perubahan warna pada kawasan gigitan.
"Apabila kucing dihantar ke sini, kami akan memberi makan dua kali sehari mengikut keperluannya. Tetapi ia juga tertakluk mengikut cara asal penjaganya memberi makan.
"Kucing-kucing tersebut tidak dibiarkan di dalam sangkar sepanjang hari. Ia akan dibiarkan bebas antara 15 hingga 30 minit di taman khas mengikut giliran.
"Pada sebelah malam pula, kesemuanya akan ditemani dengan alunan zikir atau muzik ala spa bagi memberikan suasana yang selesa. Kaedah itu begitu popular di Thailand," kata ibu kepada tiga orang cahaya mata ini.
Walaupun baru dibuka bulan lalu, pusat tersebut kini telah mendapat tempahan daripada pemilik kucing yang tidak mahu ketinggalan mendapatkan layanan terbaik.
Menurut Layla, pusat sehenti tersebut tidak seharusnya diragui oleh pemilik yang beragama Islam kerana kebersihannya dipantau sepanjang masa.
"Bukan sahaja sangkar yang sentiasa dibersihkan, bahkan kami tidak menerima anjing untuk diletakkan di sini.
"Kami cuma menerima haiwan-haiwan seperti kucing, arnab dan hamster," katanya yang memiliki tiga orang pekerja.

PEMILIK boleh melihat sendiri proses menata rias kucing peliharaan mereka di Pets Heaven.
Layla telah menimba banyak pengalaman dalam bidang itu.
Biarpun dalam masa yang sama menjalankan bisnes pengiklanan, demi minat yang mendalam terhadap haiwan itu, dia telah mempelajari selok-belok haiwan peliharaan di beberapa buah negara yang terkenal dengan perkembangan bidang berkaitan.
"Perkara ini sudah lama berkembang di Amerika Syarikat, Jepun, Korea, Thailand dan Vietnam. Saya juga mendapat ilham daripada kejayaan negara-negara tersebut dalam menaikkan industri penjagaan haiwan peliharaan.
"Saya perlu mengetahui tabiatnya dengan banyak membaca. Minat dan pengalaman membela kucing sejak kecil menjadi penyumbang terbesar untuk saya mengenali kelakuan kucing," katanya yang kini memiliki tiga ekor kucing jenis campuran parsi.
Seperti menjaga seorang kanak-kanak, haiwan itu boleh dimanjakan dengan pelbagai cara. Cuba mempopularkan budaya memakaikan aksesori kepada kucing, jelas Layla memakaikan aksesori akan memperlihatkan haiwan itu seperti lebih manja.
"Mula-mula memang berasa tidak selesa, lama-kelamaan ia akan selesa apabila dikenakan baju, stoking, klip kepala dan topi," tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: