Ikan dianggarkan seberat satu tan dan berukuran kira-kira lima meter itu dipercayai tersasar dari Lautan Hindi dan memasuki ke kawasan Laut Andaman sebelum sesat dan terperangkap di Selat Melaka.
Difahamkan, sebelum itu, ikan berkenaan dilihat terapung sekitar jam 4 petang oleh nelayan dan terdampar kira-kira jam 12 tengah malam, kelmarin.
Nelayan yang enggan dikenali berkata, pada mulanya dia ternampak satu objek besar seperti longgokan sampah di tepi pantai berkenaan.
Bagaimanapun, apabila objek itu dihampiri, dia terkejut setelah mendapatinya seekor ikan yang besar dan tidak pernah dilihatnya sebelum ini.
“Saya dapati ikan paus itu telah pun mati,” katanya.
Ini merupakan kejadian ketiga bangkai haiwan marin terdampar di kawasan tersebut selepas tsunami pada 26 Disember 2004.
Pada 18 September 2006, penduduk Kampung Kepala Jalan terletak kira-kira tujuh kilometer dari lokasi penemuan itu pernah digemparkan dengan penemuan seekor penyu besar di pantai berkenaan.
Selepas itu, seekor bangkai ikan paus dari spesies Bryde’s Whale dianggarkan seberat 4,000 kilogram dan berukuran 12 meter ditemui di Kampung Pulau Sayak pada Februari tahun lalu.
Penemuan kelmarin, menarik orang ramai mengerumuni kawasan pantai untuk melihat dengan lebih dekat bangkai ikan paus berkenaan.
Dipercayai, ikan paus berkenaan mati di laut beberapa hari lalu dan bangkainya dihanyutkan ombak ke pesisiran Pantai Merdeka.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Perikanan Negeri berkata, pihaknya telah menghantar pegawai untuk menjalankan siasatan di lokasi penemuan berkenaan.
Berdasarkan maklumat, sampel darah ikan paus terbabit juga diambil untuk dihantar ke Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) di Rantau Abang, Terengganu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: