Marsha, 28, berkata, dia tidak pernah mengenali pelakon drama Stanza Cinta itu secara rapat, apatah lagi dikatakan telah bergaduh.
"Saya tidak kenal Fathia ataupun pernah berkawan baik dengan dia, jadi macam mana pula dikatakan kami bermasam muka? Namun saya tidak nafikan kami ada bertemu ketika menghadiri majlis yang besar dan ramai artis.
"Saya tidak ada apa-apa masalah dengan dia. Tuduhan ini memang tidak masuk akal," ujarnya ketika ditemui selepas majlis pratonton filem animasi Bola Kampung The Movie, di Mid Valley, di sini pada Rabu.
Marsha diminta mengulas dakwaan hubungannya dengan pelakon wanita tersebut renggang selain kedua-dua mereka telah bermasam muka kerana berebut seorang lelaki.
"Saya mengaku saya pilih orang untuk berkawan rapat, sebagai artis saya sentiasa berhati-hati dalam soal berkawan.
"Saya lebih selesa berkawan dengan orang biasa berbanding dari kalangan selebriti," ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, perkara seperti ini adalah lumrah dalam dunia seni yang harus dilalui seorang artis.
"Saya sebenarnya cuba lari dengan perkara kontroversi seperti ini. Kalau boleh saya mahu fokus dengan kerja yang saya lakukan sekarang," katanya.
Bercakap tentang teman lelaki, Marsha mengakui dia kini sudah setahun hidup bersendiri dan menganggap kehidupannya lebih tenang selain memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya.
Marsha yang turut menyumbang suara untuk watak Puteri Amanda dalam Bola Kampung The Movie tersebut mengakui menimba pengalaman berharga dalam pembikinan filem animasi ini.
Dia turut menyanyikan lagu tema bertajuk Rindu dalam filem yang bakal ditayangkan pada 21 Mac depan ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: