Sunday, March 10, 2013

Fiesta Batang Lupar 2013 meriah


ROHANI (tengah) dan beberapa artis sama-sama menyanyikan lagu patriotik pada Fiesta Batang Lupar di Pekan Lingga, Sri Aman semalam.


SRI AMAN - Fiesta Batang Lupar 2013 yang berlangsung di Pekan Lingga dekat sini semalam mendapat sambutan hebat daripada masyarakat setempat.
Kehadiran kira-kira 3,000 pengunjung yang tidak melepaskan peluang menyertai pelbagai aktiviti sejak pukul 7 pagi membuktikan fiesta itu menarik perhatian ramai.
Pelbagai acara menarik diadakan bagi memeriahkan program itu antaranya, pertandingan ratu kebaya, tarian poco-poco, kuiz dan karaoke.
Majlis pelancaran program itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim.
Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata, penganjuran fiesta itu dapat mendekatkan rakyat luar bandar dengan agensi-agensi di bawah kementerian tersebut.
"Melalui program ini, rakyat boleh mendapatkan maklumat dan berurusan dengan lebih mudah," katanya.
Antara agensi yang menyertai program itu ialah Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Bank Rakyat.
Fiesta itu turut dimeriahkan dengan kehadiran artis popular tanah air seperti Daus AF, Stanly AF, Azza Elite dan Ani Mayuni.
Penganjuran fiesta itu akan diadakan di lokasi terakhir di pekan Sebuyau, Samarahan hari ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: