|
MASIH menyembunyikan identiti dan gambar anak angkatnya, Edra Rafael yang kini memasuki usia dua tahun, Emelda tetap dengan pendiriannya sampai sekarang.
Kata Emelda atau nama sebenarnya Emelda Rosmila Abdul Hamid, 33, kehidupannya sebagai seorang ibu, pelakon dan pelajar separuh masa kini dilimpahi keceriaan setiap hari.
"Saya minta maaf, buat masa sekarang saya belum bersedia untuk menceritakan atau mendedahkan anak angkat saya kerana takut perkara yang tidak diingini berlaku kepadanya kalau saya berbuat demikian.
"Harap semua pihak menghormati keputusan saya kali ini," ujar Emelda atau mesra disapa Mel yang ditemui ketika tayangan perdana filem Sembunyi: Amukan Azazil di Cathay Cineleisure e@Curve, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Mahu anak
Emelda menegaskan, dia bukan seperti artis lain yang perlu berkongsi semua cerita peribadi dan tidak merasakan adalah perlu untuk mendedahkan identiti anak angkatnya.
"Biarlah anak saya membesar dengan normal seperti kanak-kanak lain kerana dia juga berhak untuk hidup sedemikian," ujar Emelda yang mahu mengunci mulut daripada membicarakan soal anak.
Sebelum ini, Emelda dan suaminya, Adlin Aman Ramlie pernah membawa anak angkatnya yang ketika itu berusia lima bulan sekitar Ogos tahun 2011 ke majlis akikah cucu penerbit kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman namun mereka enggan disiarkan gambar mereka bersama.
Dalam pada itu, katanya dia dan suami masih berusaha untuk memiliki zuriat sendiri dan tidak putus-putus berdoa.
"Saya tidak pernah putus asa, setiap hari kami mencuba dan berdoa supaya dikurniakan cahaya mata. Buat masa sekarang belum ada rezeki lagi dan kami menunggu rezeki dari Allah.
"Kami tidak merancang dan dalam masa sama kami turut menjalani rawatan di hospital atas nasihat doktor untuk memudahkan saya hamil.
"Tapi entah kenapa sampai sekarang belum dikurniakan cahaya mata, mungkin Tuhan mahu kami bermanja-manja dan bercinta terlebih dahulu," tambahnya. yang mengahwini Adlin pada 22 Mei 2009 di Ipoh, Perak.
|
Pengajian tahun akhir
Sementara itu, Emelda tidak lokek untuk berkongsi kehidupannya bergelar pelajar yang sudah hampir bergraduasi tidak lama lagi.
Emelda kini sedang mengikuti pengajian tahun akhir dalam bidang Ijazah Komunikasi di kampus luar Universiti Utara Malaysia (UUM).
"Tidak susah untuk membahagikan masa untuk rumah tangga, karier dan pelajaran kerana saya bukan pelajar sepenuh masa. Insya-Allah bulan Oktober ini saya akan menamatkan pengajian saya.
"Jadi, selain waktu kuliah itu saya gunakan untuk berlakon dan uruskan keluarga," ujar lulusan Diploma Senireka Grafik itu.
Pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu juga berkongsi pengalamannya berlakon dalam produksi Sembunyi: Amukan Azazil yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 28 Mac nanti.
Emelda melakonkan watak Melur, seorang wanita kampung yang bertukar sifatnya apabila terlalu dikongkong oleh suaminya, Atan (lakonan Sharnaaz Ahmad).
"Suami saya dalam filem ini sangat garang dan Melur merupakan seorang isteri yang akur dengan arahan suami. Berlakon dalam filem ini banyak cabarannya terutama apabila penggambaran dilakukan di dalam hutan pada bulan Ramadan.
"Tambah memenatkan apabila penggambaran tamat beberapa hari sebelum Hari Raya Puasa dan menerusi filem ini saya perlu menari dan menyanyi," ujar Emelda yang pertama kali digandingkan bersama Sharnaaz.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: