Gimik
Gimik sekumpulan lelaki yang memakai pakaian ala zaman batu sambil mengusung kambing panggang mencuri tumpuan tetamu dan pengunjung pada program Earth Hour.
KEMAMAN – Bagi melindungi alam semula jadi dan mendidik orang ramai menjaga ekosistem, dua resort terkemuka, Impiana Resort Cherating dan Resort World Kijal, bergelap daripada cahaya lampu selama 60 minit sempena kempen Earth Hour yang diadakan serentak seluruh dunia, malam kelmarin.

Menariknya, bagi program Earth Hour tahun ini, Impiana Resort Cherating menampilkan kelainan dengan mengetengahkan konsep zaman batu, dengan tangga yang menghala ke pesisir pantai tempat program itu berlangsung dihias umpama sebuah gua menggunakan barangan kitar semula.

Perasaan teruja kira-kira 200 tetamu dan pengunjung apabila suasana gelap di pesisir pantai resort diterangi sedikit dengan cahaya lilin, lampu minyak tanah dan unggun api, dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki berpakaian ala zaman batu dengan
membawa sebilah replika kapak besar dan seekor kambing.

Sambil menikmati pelbagai hidangan disediakan termasuk kambing panggang, tetamu dan pengunjung menikmati persembahan orkestra, persembahan api dan nyanyian dari ‘live band’ sejurus lampu dimatikan jam 8.30 malam.

Pengurus Bahagian Penginapan Impiana Resort Cherating, Noraini Ahmad berkata, pihaknya mengadakan program Earth Hour setiap tahun sebagai menyokong kempen diadakan serentak di seluruh dunia itu.

“Program ini menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang kita lakukan selari dengan visi korporat resort untuk menjaga ekosistem memandangkan lokasi resort terletak di tepi pantai,” katanya.

Katanya, paling penting kempen itu diharap dapat meningkatkan kesedaran dan mendidik tetamu mereka agar prihatin dan sama-sama menjaga alam sekitar demi generasi akan datang.

Sementara itu, sambutan Earth Hour di Resort World Kijal (dahulu dikenali sebagai Awana Kijal), turut meriah dengan kawasan pantainya hanya diterangi cahaya pelita dan unggun api selama sejam bermula jam 8.30 malam.

Tetamu dihiburkan dengan persembahan ‘live band’ dan makan malam hidangan berbeku sekali gus memberikan pengalaman bermakna buat semua yang hadir kerana pada masa sama dapat menghirup udara malam di pantai tempat penyu mendarat
suatu ketika dahulu itu.

Pengurus Bahagian Makanan dan Minumannya (F&B), Azman Abd Rahim berkata, penganjuran program itu sebagai menunjukkan pihaknya cakna akan isu penjagaan alam sekitar sekali gus memberi kesedaran kepada orang ramai.