Tuesday, March 5, 2013

Dayang takut lelaki

FIGURA yang memiliki vokal gemersik ini enggan berkongsi kisah peribadi dirinya dengan umum.


SEHINGGA kini penyanyi bersuara gemersik, Dayang Nurfaizah Awang Dowty atau Dayang, mengakui belum pernah bercinta dan tidak mempunyai kekasih.
Bukan sebab memilih atau tiada lelaki yang mendekati dirinya, tetapi ujar Dayang yang kini sudah menginjak usia 33 tahun itu, dia fobia untuk bercinta dan juga takut untuk mempunyai ikatan dengan insan bergelar lelaki.
Ditemui pada majlis sidang akhbar Pencalonan Anugerah Tribute P. Ramlee anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersama Kumpulan Utusan serta Syarikat Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. (Suhan Movies) di Hotel Holiday Villa, Subang, Dayang juga bercerita tentang nilai eksklusif diri serta perkembangan terbaharu karier seninya.
Kosmo!: Kenapakah Dayang fobia dengan lelaki dan takut untuk bercinta?
DAYANG: Setelah melihat dan membaca mengenai gosip percintaan rakan-rakan artis, saya jadi fobia dan takut untuk bercinta. Sebabnya, saya takut jika berkenalan dan bercinta nanti akan timbul gosip-gosip liar seterusnya memusnahkan karier nyanyian saya.
Adakah anda takut dengan gosip-gosip liar mengenai anda?
Gosip-gosip seperti itu (bercinta) tidak membantu dalam karier saya. Gosip percintaan artis menakutkan saya.
Mungkin juga anda terlalu memilih sehingga menyebabkan anda masih belum menemui lelaki dalam usia yang sudah mencecah 33 tahun?
Ya, saya akui agak memilih kerana saya percaya setiap wanita di dunia ini ada hak untuk memilih pasangan hidup. Kalau boleh saya mahu jumpa dengan seorang lelaki, bercinta dan berkahwin. Saya mahu buat semua itu sekali seumur hidup.
Apakah ciri-ciri lelaki idaman anda?
Saya tidak mahu meletakkan sebarang ciri-ciri kerana ia akan menutup peluang saya berkenalan dengan lelaki. Kalau saya letak dan tidak jumpa dengan ciri-ciri yang dimahukan, saya juga yang kecewa nanti.
Anda kini dilihat kurang muncul dalam sebarang majlis hiburan yang melibatkan media. Adakah anda meletakkan diri terlalu eksklusif?
Saya tidak pernah rasa diri eksklusif. Saya sebenarnya sibuk dengan jemputan mengadakan persembahan di majlis-majlis makan malam dan juga korporat.
Bagaimanakah peminat mahu tahu perkembangan terbaharu mengenai anda?
Saya ada Facebook dan Twitter. Jika saya ada persembahan, saya akan beritahu peminat menerusi dua medium tersebut. Saya juga baru ada Instagram dan menggunakan medium tersebut untuk lebih mendekatkan diri dengan peminat. Tetapi, perkara peribadi saya tidak akan kongsikan. Peribadi tetap peribadi bagi saya.
Beralih pada karier nyanyian, apakah perkembangan terbaharu anda?
Walaupun orang kenal saya, ia tidak bermakna saya perlu leka dan tidak mengeluarkan sebarang produk. Saya kini sedang mengumpul bahan untuk album terbaharu. Album rakaman konsert Anuar Zain bersama Dayang Nurfaizah yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas tahun lepas juga sudah berada di pasaran. Saya juga merancang untuk mengadakan mini showcase buat peminat-peminat pada tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: