Saturday, March 2, 2013
Bunohan bakal monopoli FFM25
SETELAH tertangguh sekian lama, Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) akhirnya berlangsung. Ia dicetuskan dengan majlis perasmian dan penyampaian sembilan Anugerah Cipta yang berlangsung di The Curve, Petaling Jaya pada 27 Februari lalu.
FFM25 bakal diakhiri dengan upacara kemuncaknya pada malam ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya, Selangor dengan menampilkan persaingan untuk merebut sembilan Anugerah Perdana dan empat Anugerah Cipta.
Berdasarkan kejayaan filem Bunohan menggondol tiga Anugerah Cipta yang dianggap mampu membantu kemenangan untuk pencalonan-pencalonan utama dalam Anugerah FFM25 iaitu Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik, naskhah arahan Daid Said itu dijangka memonopoli Anugerah Perdana pada acara kemuncak FFM25 pada malam ini yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, Selangor.
Ini kerana saingan terdekat Bunohan untuk merebut Anugerah Perdana, khususnya menerusi kategori Filem Terbaik iaitu Ombak Rindu, 29 Februari dan S.A.M sekadar memenangi beberapa Anugerah Cipta yang dianggap kurang kuat dalam membantu untuk menggapai kemenangan pada malam ini.
Sebuah lagi filem yang turut dianggap sebagai pencabar terdekat Bunohan iaitu Songlap pula langsung gagal meraih sebarang Anugerah Cipta - kalah menerusi ketiga-tiga kategori penting Anugerah Cipta yang dimenangi Bunohan tersebut.
Namun, apa sahaja boleh berlaku dan persoalannya mampukah Songlap tanpa sebarang kemenangan menerusi Anugerah Cipta mengalahkan Bunohan untuk Anugerah Perdana terutamanya bagi kategori utama yang menyaksikan persaingan hebat kedua-dua buah filem iaitu Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik?
Bagi kategori lakonan, persaingan paling sengit dilihat dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik antara Bunohan dengan Songlap yang menyaksikan tiga pelakon Bunohan iaitu Faizal Hussein, Zahiril Adzim dan Pekin Ibrahim bersaing dengan Shaheizy Sam yang tercalon menerusi Songlap dan S.A.M. Namun, pilihan Kosmo! jatuh kepada Shaheizy Sam menerusi lakonan hebatnya dalam Songlap biarpun ketiga-tiga Faizal, Zahiril dan Pekin menunjukkan mutu lakonan yang tidak kurang kuat impaknya menerusi Bunohan.
Persaingan sengit antara Bunohan dan Songlap juga boleh dilihat dalam kategori-kategori lain untuk Anugerah Perdana iaitu Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik; serta bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik bagi Anugerah Cipta.
Bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik, persaingan sengit dlihat antara Maya Karin (Ombak Rindu) dan Nadiya Nisaa (Jiwa Taiko).
Biarpun pilihan Kosmo! lebih kepada Maya, namun Nadiya mampu membuat kejutan dengan memenangi kategori ini.
Bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Kosmo! memilih Bront Palarae (Jiwa Taiko) dan Normah Damanhuri (Songlap) masing-masing sebagai pemenangnya.
Walau apa pun ramalannya, keputusan muktamad FFM25 hanya boleh diketahui pada malam ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: