
JENTERA ini bakal berada di bilik pameran BMW di seluruh negara mulai hujung bulan ini.
BMW Group Malaysia (BMW Malaysia) baru-baru ini mengumumkan kemasukan versi terbaharu kenderaan aktiviti sukannya (SAV) iaitu BMW X5 Performance Edition ke pasaran tempatan.
Varian taruhan syarikat automotif Jerman itu dikatakan menawarkan pengalaman pemanduan baharu kepada para pengguna, khasnya kepada mereka yang mahukan lebih prestasi pada sesebuah model SAV.
Model X5 mula diperkenalkan ke pasaran Malaysia pada tahun 2007. Sejak itu, sebanyak 665 unit BMW X5 telah menemui pemilik-pemilik baharu di seluruh negara. Pencapaian itu disifatkan sebagai percapaian terbaik oleh Ketua Pegawai Eksekutif BMW Malaysia, Dr. Gerhard Pils.
Secara amnya, BMW X5 Performance Edition mewarisi reka bentuk maskular yang terdapat pada siri BMW X. Pembaharuan luaran pada model itu jelas kelihatan menerusi pengenaan pakej aerodinamik BMW M yang meliputi bampar hadapan dan belakang.
Tambahan lain pada SAV tujuh tempat duduk itu ialah set lampu Bi-Xenon Adaptive dengan LED Corona Rings, rail bumbung dan rim aloi berukuran 20 inci. Bahagian dalaman pula menyaksikan stereng disalut material kulit, paddle shifter dan kemasan tona hitam.
Jentera itu dilengkapi enjin petrol enam silinder sebaris BMW TwinPower Turbo berserta teknologi Double Vanos, Valvetronic dan sistem suntikan bahan api BMW High Precision Injection. Ia berupaya menghamburkan kuasa setinggi 320hp iaitu tambahan 14hp jika dibandingkan dengan varian BMW X5 xDrive35i. Tork pula mencecah 450Nm.
Pecutan dari titik pegun ke 100 kilometer sejam (km/j) hanya mengambil masa 6.6 saat. Ia 0.2 saat lebih pantas berbanding varian X5 xDrive35i. Kadar purata penggunaan bahan api adalah sebanyak 10.1 liter bagi setiap 100km, manakala emisi karbon direkodkan sebanyak 236 gram setiap km.
Model baharu itu sudah ditingkatkan pemanduan dinamiknya menerusi agihan kuasa kilas iaitu sebanyak 40 peratus pada gandar hadapan dan bakinya disalurkan kepada roda belakang. Selain itu, sistem pemanduan xDrive juga meningkatkan prestasi optimum untuk semua jenis pemanduan.
BMW X5 Performance Edition yang didatangkan dalam pilihan warna putih dan hitam boleh didapati menerusi 16 buah pengedar sah BMW Malaysia mulai 30 Mac ini. Harga atas jalan tanpa insurans adalah RM588,800 seunit.
Model itu didatangkan bersama program BMW Service+ Repair Inclusive. Ia meliputi penyelenggaraan, penggantian, servis dan baik pulih komponen kereta. Tempoh jaminan adalah selama tiga tahun atau jarak perbatuan 60,000km (yang mana tiba dulu).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: