|
SETIAP kali laungan azan dari sebuah masjid di Kampung Masjid, Pulau Pangkor, Perak menandakan masuk waktu solat, lelaki itu pasti bergegas ke sana.
Rumahnya terletak kira-kira satu kilometer (km) dari masjid tersebut. Dia hanya berjalan kaki ke sana. Selepas solat, dia terus bersiar-siar melihat pemandangan dan persekitaran Jeti Pulau Pangkor.
Jarak perjalanan dari rumah ke masjid dan ke jeti dianggarkan kira-kira 3 km sehala.
Begitulah rutin, Zakaria Awang yang kini berusia 94 tahun dalam menempuhi usia senjanya di pulau yang terkenal dengan produk ikan bilis itu.
"Setakat ini, bapa saya merupakan satu-satunya warga emas tertua di Pulau Pangkor. Rakan-rakannya yang membesar bersama di pulau ini sudah lama meninggal dunia," ujar Sabri Zakaria, salah seorang anak Zakaria yang kini bertugas sebagai Penyelia Majlis Perbandaran Manjung di pulau itu.
Tambah Sabri, bapanya itu gemar minum di kedai kopi berhampiran masjid itu.
Ketika Kosmo! bertemu dengan Zakaria atau lebih mesra dengan panggilan Pak Ya di teratak yang dihuninya bersama keluarga sejak tahun 1970-an di Kampung Masjid, fizikalnya masih kuat. Cuma dia menghadapi sedikit masalah pendengaran.
Menurut Zakaria, mandi lima kali sehari sebelum menunaikan solat merupakan rutinnya sejak kecil. Mungkin amalan itu jugalah antara rahsia tubuhnya sihat sehingga kini. Dia juga mahir matematik dan menghafal sifir dengan baik.
Dengan dialek Perak utara, masih mengingati tahun dan peristiwa penting yang berlaku di pulau itu, Pak Ya cukup ramah berkongsi maklumat zaman kecilnya.
Menyelusuri kisah hidupnya, Pak Ya memberitahu, Pulau Pangkor tidak seperti yang dilihat oleh generasi kini.
Lebih lapan dekad lalu iaitu ketika Pak Ya berusia sembilan tahun, Pulau Pangkor merupakan kawasan hutan tebal dan mempunyai penduduk sekitar 500 orang.
Keindahan, keputihan pasir pantai dan laut yang luas terbentang merupakan sumber rezeki kebanyakan penduduk pulau itu.
"Selain hasil laut, ibu bapa saya turut mencari ubi kayu di kawasan hutan pulau ini. Dengan keadaan rumah yang serba kekurangan, lampu minyak tanah dan telaga merupakan sumber yang kami manfaatkan sebaiknya," ujar Pak Ya.
Naik tongkang
Di Pulau Pangkor, kaum Cina merupakan majoriti dalam kalangan populasi penduduk diikuti kaum Melayu dan India.
Cerita Pak Ya, kaum Cina berketurunan Kong Pao dari Tanah Besar China mula menjejakkan kaki ke pulau tersebut menaiki tongkang pada tahun 1938.
Hasil kerja keras mereka, masyarakat tersebut menjadi nelayan dan mula membuka perniagaan memproses ikan kering secara kecil-kecilan.
"Saya juga merupakan seorang nelayan ketika itu. Walaupun kami bersaing dengan kaum Cina ketika itu, namun kami hidup aman dan damai. Saya dapat merasai suasana itu sehingga ke hari ini. Ikan pada masa itu dijual 80 sen sekati (600 gram)," ujarnya yang menggunakan palong sebagai alat untuk menangkap ikan di laut suatu ketika dahulu.
Mengulas mengenai sejarah nama Pulau Pangkor, Pak Ya ada jawapannya.
Menurut cerita orang-orang lama, pulau itu merupakan laluan bagi kapal-kapal pedagang yang belayar ke Tanah Melayu dan mereka telah melihat sesuatu yang pelik di pesisiran pantai.
"Dari laut, pedagang-pedagang ini melihat ramai orang sedang duduk mencangkung sambil membuang air besar di tepi pantai setiap kali melintasi pulau ini.
"Menjadi lumrah manusia yang tidak boleh melihat sesuatu yang aneh, mereka menggelarkan pulau ini sebagai pungkoq iaitu punggung dalam bahasa utara. Disebabkan peralihan masa, sebutan itu perlahan-lahan bertukar menjadi Pangkor," ujar bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Pangkor itu.
Tutur Pak Ya, jeti Pulau Pangkor yang tersergam indah pada hari ini tidak seperti jeti yang digunakan penduduk pulau itu suatu ketika dahulu.
Kawasan tepian pantai yang dipanggil Batu Kejik merupakan kawasan pelabuhan bot dan sampan untuk ke bandar Lumut bagi menjual hasil laut.
Bangga
"Saya bersyukur dengan perubahan jeti Pulau Pangkor. Dulu, semua ini tiada. Setiap hari saya lihat berpusu-pusu pelancong luar negara memasuki Pulau Pangkor. Saya berasa bangga menjadi warga pulau ini," ujarnya.
Peristiwa sedih sepanjang 94 tahun meniti kehidupannya di pulau itu ialah peristiwa rusuhan kaum di Pulau Pangkor pada tahun 1959. Tragedi itu berlaku sedekad lebih awal daripada rusuhan kaum terbesar di Malaysia pada 13 Mei 1969 di ibu negara.
Peristiwa itu telah mencetuskan rusuhan dan pergaduhan antara masyarakat Melayu dan Cina yang dianggap peristiwa hitam yang pernah terpalit dalam lipatan sejarah pulau itu.
"Saya dan keluarga hanya duduk di rumah, berdoa meminta keselamatan dan kesejahteraan keluarga serta penduduk daripada Allah," ujarnya.
Mempunyai pengalaman berada di bawah payung enam Perdana Menteri, Pak Ya menganggap Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pemimpin ulung yang telah membawa perubahan kepada pemikiran rakyat dan pembangunan Malaysia.
Dengan keluasan 2,200 hektar dan populasi penduduk kira-kira 25,000 orang, kebanyakan masyarakat di Pangkor bekerja sebagai nelayan selain dalam industri perhotelan.
Perasaan naik feri
Seorang penyambut tetamu di Pangkor Bayview Beach Resort yang terletak di Teluk Nipah, Norazuwa Md. Isa, 28, mengakui dia amat menyayangi pulau yang menjadi tanah kelahirannya.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu memberitahu, kos hidup di pulau itu tidak terlalu tinggi. Dengan pendapatan yang diperoleh, dia membantu suaminya yang menjalankan perniagaan kedai runcit di Teluk Kecil.
"Lima tahun saya bekerja di hotel ini. Tidak pernah terlintas di dalam hati untuk keluar dari Pulau Pangkor. Seluruh keluarga saya dan suami tinggal berdekatan dan ini memudahkan kami untuk menjalan aktiviti kekeluargaan," ujarnya.
Baginya, perkara istimewa yang dilalui oleh seluruh warga pulau yang terletak dalam daerah Manjung itu ialah panorama dan perasaan menaiki feri.
"Orang yang tinggal di tanah besar jarang mempunyai peluang seperti kami. Walaupun ramai yang beranggapan menaiki feri ke Lumut itu sesuatu yang merumitkan, bagi saya ia sesuatu yang menyeronokkan," jelasnya.
Seorang lagi penduduk yang mengusahakan perkhidmatan peralatan sukan air di Pantai Teluk Nipah, Mohd. Noor Jamalludin, 50. Bisnesnya itu merupakan satu sumbangan kepada penduduk tempatan.
Pemilik perusahaan Beach Boy Water Sport itu memberitahu, dia membuka peluang pekerjaan kepada penduduk terutamanya warga muda di Pulau Pangkor untuk meneruskan kelangsungan hidup di pulau tersebut.
"Sehingga kini, saya mempunyai tujuh orang staf yang kesemuanya merupakan anak jati pulau ini. Sukan air merupakan aktiviti wajib sekiranya pelancong ke pulau ini. Setakat ini, perniagaan saya mendapat sambutan lebih-lebih lagi ketika musim cuti sekolah.
"Dalam kesibukan saya menguruskan bisnes ini, saya juga berharap agar Pantai Teluk Nipah dijaga dengan baik terutama dari aspek kebersihan. Saya percaya, selagi pantai ini dijaga, pasti ramai pelancong akan terus berkunjung," ujar bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: