Thursday, March 7, 2013
Anugerah memperingati P. Ramlee
BUAT julung-julung kalinya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersama Kumpulan Utusan dan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. bergabung tenaga dan idea untuk menghasilkan sebuah anugerah yang diberi nama Anugerah Tribute P. Ramlee.
Menurut Pengarah Program TV RTM, Suhaimi Jamalim, anugerah yang dijadualkan berlangsung pada bulan Mei 2013 itu diadakan sempena memperingati perjuangan seniman agung Tan Sri P. Ramlee serta mengiktiraf hasil kerja penggiat seni Malaysia.
Ujarnya, sebanyak sembilan anugerah akan dipertandingkan berdasarkan 10 buah telefilem yang ditayangkan di RTM1 bermula pada 4 November 2012 hingga 6 Januari 2013 melalui slot Tribute P. Ramlee di RTM1.
Pihaknya juga yakin anugerah tersebut bakal menjadi anugerah terbesar dan seterusnya diadakan setiap tahun.
“Walaupun anugerah ini pertama kali diadakan, kami akan pastikan penglibatan artis dan pengarah-pengarah lebih meluas untuk tahun-tahun yang akan datang.
“Saya juga mahu jadikan ia sebuah anugerah yang besar dan terunggul setiap tahun kerana ia melibatkan seniman agung Malaysia, P. Ramlee,” jelasnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Pencalonan Anugerah Tribute P. Ramlee, di Hotel Holiday Villa, Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, ujarnya, sembilan anugerah itu mewakili Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Skrip Terbaik, Pengarah Terbaik, Telefilem Terbaik, Videografi Terbaik dan Penampilan Khas Terbaik.
Sementara itu, menurut Pengarah Urusan Suhan Movies, Rosyam Nor, Anugerah Penampilan Khas Terbaik diwujudkan bagi menghargai pelakon-pelakon veteran pada era filem P. Ramlee.
“Memang saya memberi kepada setiap pengarah telefilem Tribute P. Ramlee untuk mengambil seorang pelakon veteran bagi menghargai jasa mereka,” jelasnya.
Mengulas mengenai kriteria 10 telefilem yang dipilih, ujar Rosyam, ia bukan telefilem biasa. Sebaliknya telefilem tersebut dihasilkan oleh pengarah-pengarah hebat dan berpengalaman.
Ujar Rosyam, sebagai penerbit untuk 10 buah telefilem tersebut, Rosyam juga meminta pengarah-pengarah tersebut menghasilkan telefilem berkisahkan mengenai lagu-lagu popular P. Ramlee.
Antara sepuluh telefilem yang dicalonkan menerusi slot Tribute P. Ramlee adalah Tunggu Sekejap arahan Along Kamaluddin, Selagi Cinta Berzikir (Eirma Fatima), Miang Buluh Keladi Birah (Bade Azmi), Di Mana Ku Cari Ganti (Osman Ali) dan Siapa Tipu Siapa (Aziz M. Osman) .
Selain itu, lima lagi telefilem yang dicalonkan adalah Getaran Jiwa (Michael Ang), Jodoh Kita (Ismail Yaakob), Titisan Kasih (Rashid Sibir), Pelamin Di Pusara (Murali Abdullah) dan Hanya Dikau (Amie Maziah).
Sebuah panel khas juri seramai tujuh orang turut dilantik bagi menilai kualiti setiap telefilem mengikut kategori-kategori yang ditetapkan.
Anugerah tersebut turut memberi peluang buat para pembaca membuat undian melalui borang pencalonan yang disiarkan dalam akhbar-akhbar Kumpulan Utusan dan Majalah URTV.
Melalui undian yang paling tepat dan terbanyak, para pembaca turut berpeluang memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM3,000.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: